Feeds:
Yazılar
Yorumlar

Akhbar: PPSMI Dimansuh 2012

mh_01.1
MUKTAMAD…Muhyiddin Yassin berkata sesuatu selepas mengumumkan keputusan Kabinet mengenai dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik pada sidang akhbar di Kementerian Pelajaran, Putrajaya, semalam. Turut hadir Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi (tengah) dan Ketua Pengarah Pelajaran, Alimuddin Mohd. Dom. – Utusan/Zaki Amiruddin

PUTRAJAYA 8 Julai – Mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam bahasa Melayu di sekolah kebangsaan manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil mulai 2012.

Keputusan Kabinet hari ini mengubah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilaksanakan pada 2003.

Serentak itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan strategi untuk memartabatkan bahasa Melayu (MBM) serta memantapkan penguasaan bahasa Inggeris (MBI) di semua peringkat persekolahan.

Kerajaan juga menawarkan pendekatan baru dalam pengajaran Sains dan Matematik bagi meningkatkan keupayaan murid untuk menguasai kedua-dua cabang ilmu itu dan teknologi demi masa depan negara.

Kata beliau, keputusan memansuhkan PPSMI dibuat setelah kerajaan meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai dasar itu yang menunjukkan ia tidak dapat dilaksanakan seperti dihasratkan.

Justeru untuk memastikan pemansuhan itu tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti PPSMI, pengajaran dan peperiksaan untuk kedua-dua mata pelajaran itu akan dibuat dalam dwi bahasa sehingga kohort terakhir PPSMI tamat pada 2014.

“Pelaksanaan (sepenuhnya dalam bahasa Melayu) akan dibuat secara bertahap di tahun satu dan tahun empat di sekolah rendah dan tingkatan satu dan empat di sekolah menengah bermula pada 2012.

“Perubahan ini bagaimanapun tidak melibatkan tingkatan enam dan matrikulasi,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Menurut Muhyiddin, pemantauan Kementerian Pelajaran tahun lalu mendapati hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik.

Begitu juga secara purata peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53 hingga 58 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.

Pada masa sama, kata beliau, peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus bagi sekolah luar bandar.

“Bagi mata pelajaran Matematik, pencapaian murid bandar merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus manakala pencapaian murid luar bandar merosot daripada 80.9 peratus kepada 77 peratus.

Jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik semakin melebar semasa PPSMI dilaksanakan,” katanya.

Muhyiddin berkata, selain pemantauan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran, Laporan Trends in Mathematics and Science Study 2007 menyatakan kedudukan murid Malaysia dalam mata pelajaran Sains merosot daripada tangga ke-20 pada 2003 ke tangga ke-21 pada 2007.

“Bagi mata pelajaran Matematik pula, kedudukan murid merosot daripada tangga ke-10 pada 2003 ke tangga ke-20 pada 2007,” katanya.

Muhyiddin memberitahu, kajian universiti-universiti tempatan pula mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah nominal, iaitu tidak lebih tiga peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI.

“Tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid terutamanya di luar bandar masih rendah menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

“Berdasarkan pengamatan ini, kerajaan yakin Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa yang mudah difahami oleh murid iaitu bahasa Melayu di sekolah kebangsaan, bahasa Cina di SJKC dan bahasa Tamil (SJKT),” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia, 9 Julai 2009.

* * *

Pautan-pautan lain untuk isu PPSMI :

Keputusan tepat – Ungku Aziz (Utusan Malaysia)

Saya sedih – Dr. Mahathir (Utusan Malaysia)

(Bahasa jiwa bangsa. Oh Allah, selamatkanlah bahasaku…)

PPSMi @ ayzagursoy.wordpress

Mama & Malaysia

ismailmamaimig

Spouse Program dibatalkan??? Oh, sejak bila?
..

ismailmama2

Baru minggu lepas Baba saya ke Jabatan Imigresen. Mereka berikan senarai semak supaya Baba sediakan semua dokumen untuk lanjutan Spouse Program. Tak cakap apa-apa pun?!
..


ismailmama3
Ahh.. Ahh! Kasihan Baba saya, Mama saya. Banyak dokumen perlu disediakan. Kenapa perlu buang masa Baba dan Mama saya?! Mama saya sudah tanyakan tadi semasa di imigresen, “Kenapa batal? Minggu lepas tak beritahu pun?” Dan pegawai imigresen itu beritahu, “Ini bukan dari kita, Puan. Ini pihak kementerian yang beri arahan..” Oh Mamaku, Babaku.. jangan bersedih ya?!
..

ismailmama4
Saya pun ikut tadi, Abang Ertugrul pun ikut sama. Mereka mahu lihat kami sekeluarga semasa buat permohonan. Mama penat dukung saya semasa berdiri di kaunter. Kami dua beradik Mama pakaikan baju warna biru muda, tau! Ghee :D .. Hmm, kerana Spouse Program telah dibatalkan, jadi Baba saya membuat permohonan Social Pass. Baba saya juga buat permohonan untuk PR (Permanent Resident)..
..

ismailmama5
Saya lihat Mama isi borang. Dalam borang itu bertanyakan apa alasan Baba saya untuk memohon mendapat taraf Penduduk Tetap. Heish, susah sangatkah nak jawab? Baba saya kan kahwin dengan Mama saya. Jap saya kira.. Saya, abang, dua-dua lahir di sini. Kamikan warganegara.. saya baru ambil MyKid saya hari ini. Hmm, apa lagi? Kalau nak dikira dengan jari kecil saya takkan cukup untuk menyenaraikan seribu alasan kukuh mengapa Baba saya layak mendapatkan taraf PR.  Baba kata, proses ini ambil masa dari 1 hingga 3 tahun. Kenapa lama sangat? Heish, susahkan Mama dengan Baba, yaw!! Harap-harap semuanya berjalan dengan mudah.
..

ismailmama6
Hm, Baba dan Mama minta Abang Ertugrul dan saya doakan semoga permohonan itu berjaya. Saya harap pun macam tu, kerana Mama sudah cukup merajuk dengan Malaysia. :(
Baru-baru ini Mama ditawarkan lagi untuk menjadi warganegara Turki. Ey Allahim! Mama saya sudah banyak terguris dengan ketidak adilan undang-undang negara ini. Mama cinta bahasanya, mengangkat bangsanya, menghargai negaranya. Tetapi negara membenci bahasanya, merendahkan bangsanya, dan menidakkan haknya. Ey Allahim! Mudahkanlah permohonan ini. Janganlah kebencian dan perasaan tergurisnya menyebabkan Mama saya tidak di sini lagi nanti. Amin ya Rab.

Ismail Zubeyr Gazi Gursoy
@ayzagursoywordpress.com

Azan

Malam tadi sewaktu keluar sebentar untuk ke Jusco, kereta kami berhenti untuk lampu merah. Saya menutup radio sebaik saja mendengar laungan azan dari surau Al Awwam yang hampir dengan jalanraya.

Sejak umur saya belasan tahun, surau ini sudah banyak berbakti. Antara yang paling penting adalah melaungkan azan, menandakan waktu solat sudah masuk. Setiap kali azan berkumandang, dalam hati saya selalu berterima kasih kepada muazzin yang setia melaungkan azan, tetapi saya terkilan sesuatu. Setelah berpindah, saya tidak lagi dengar azan daripadanya.

Hari ini, saya mendengarnya kembali. Dan seperti biasa saya berterima kasih di dalam hati, dan rasa terkilan itu tetap ada.

Andai saya mempunyai satu cara untuk menyampaikan kepada muazzin berkenaan, tanpa dia merasa kecil hati, alangkah baiknya…

Sejak dulu saya tidak suka cara dia melaungkan azan, meski saya berterima kasih kepadanya. ‘Lagu’nya amat meleset, amat tidak berseni dan amat tidak memikat. Ada waktu kalimahnya tidak lengkap, azan bercampur iqamat. Sungguh. Tapi kasihan, si muazzin itulah yang sering bertugas apabila sampai waktunya. Seolah-olah ahli jemaah masjid tidak bertelinga sehingga tidak dapat melatihnya dengan baik.

Dan hari ini saya mendengarnya lagi. Muazzinnya saya kira berbeza dari yang dulu, tetapi mutu penyampaian azannya tetap sama. Tidak menarik hingga mengeluarkan rasa tidak tertarik. Mujur saya selalu menginsafkan diri bahawa laungan azan itu adalah kalimah yang amat suci dan tinggi sekali, dan untuk itu saya abaikan selalu apa yang tidak lunak di telinga saya.

SERONOK SOLAT DI MAKKAH?

Saya selalu perhatikan, ramai orang suka bercerita tentang kehebatan bersolat di tanah suci Makkah, juga Madinah. Ia memang benar. Bererti bukan saya seorang yang merasakan sedemikian, tetapi semua orang menikmati keindahan bersolat di sana.

Azan adalah salah satu perkara terbesar dalam diri saya yang mendorong untuk bersolat. Bukan bersolat nanti-nanti, tetapi bersolat pada masanya. Azan yang berkualiti adalah azan yang mampu membangkitkan perasaan yang tidak sabar-sabar untuk solat. Baik di Makkah, atau di Madinah, kualiti azannya jelas sungguh hebat. Caranya menyebut permulaan ALLAHHHH itu pun sudah menggegarkan jiwa saya, menusuk hati. (Cuba dengar cara muazzin yang azan di Masjidil Haram/Masjidin Nabawi. Tak ada? Cari di internet, download dan dengar berkali-kali!). Cara mereka azan menjadikan kita ingin cepat-cepat turut serta berjemaah di masjid.

Ada banyak faktor lain yang membuat kita rasa terdorong untuk bersolat di Masjidil Haram/Masjidin Nabawi, tetapi bagi saya, salah satunya adalah tarikan dari sisi teknik azan itu dilaungkan.

Di Turki, saya menikmati azan yang ‘lazat’ didengar (oh, mereka banyak vibration! :D ) Saya bukan maksudkan di masjid-masjid besar seperti Masjid Biru sahaja, tetapi masjid-masjid kecil dalam taman pun azan mereka serupa.

selimiyeSalah seorang peserta sedang memperdengarkan azan dalam pertandingan azan yang diadakan di Masjid Selimiye, Edirne – Turki.

LATIHAN

Saya tidak tahu ke mana harus dibawa hal ini, tetapi saya fikir, muazzin yang azan di masjid atau surau haruslah dilatih. Tidak boleh tangkap muat sahaja tanpa ada mutu yang boleh menghidupkan perasaan syahdu kepada si pendengar azan. Kalimah yang disebut dalam azan bukan kalimah-kalimah biasa, ianya bagi saya harus disampaikan dengan cara paling baik dan paling berseni. Jika tidak menyamai muazzin Makkah sekalipun, tetapi mereka ini mesti diberi latihan yang bersungguh-sungguh. Jika menonton Akademi Fantasia, ramai bijak memberi komen ‘pitching lari’, ’suara flat’ dan sebagainya itu, AZAN juga tidak terkecuali.

Saya tidak katakan semua masjid/surau begitu. Tidak. Tetapi saya membayangkan, alangkah baiknya jika semua muazzin yang memikul tugas melaungkan azan itu dilatih terlebih dahulu. Yang pastinya, di masjid-masjid besar, perkara yang saya sebutkan ini tidak berlaku. Masjid Al Azhim adalah yang terbaik bagi saya, diikuti masjid Al Alami dan lain-lainnya.

Saya maksudkan muazzin untuk masjid kecil dan juga surau. Mereka ini juga bertugas sama seperti Muazzin masjid-masjid besar, benar bukan? Jadi mereka harus diberi latihan yang sama.

PAGI SUBUH

Surau di taman saya baru dibangunkan 2 tahun yang lepas. Sedikit waktu dahulu ada muazzinnya, tetapi kini setahu saya muazzinnya tidak tetap. Ada kalanya ia langsung tidak melaungkan azan, dan solat jemaah hanya didirikan oleh pelajar-pelajar Islam warga asing yang bermukim di sini.

Saya teringat suatu pagi, lebih kurang jam 5.30 pagi, angin bertiup kencang di luar. Bersiul bunyi angin, diiringi dentuman guruh dan hujan yang sungguh lebat. Apabila masuk waktu, saya dengar sayup-sayup bunyi azan berkumandang dari surau baru taman saya itu. Suaranya lunak dan azan dialun sebaik-baiknya dalam ketegangan angin ribut yang masih belum berhenti. Kerana azannya sungguh baik (bagi saya), satu persatu kalimahnya meresap ke jiwa saya..”Allah Maha Besar, Allah Maha Besar..” Mata saya masih tertutup dek kerana angin sejuk luar yang masuk di celah-celah tingkap, kalimahnya menyerap lagi.. “Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allahhhh, tiada Tuhan yang disembah melainkan Allaaaahhh!” .. Mata saya sedikit terbuka, masih mamai. Angin terus-terusan membawa suara muazzin ke telinga saya, “Marilah menunaikan solaaaaaat, marilah menuju kejayaaaaaannn..!”

Alangkah itu!

Mata saya tidak boleh tertutup lagi. Kaki tangan saya minta dibangunkan. Muazzin itu dalam ribut kuat telah melaungkan dengan lunak sekali, memanggil-manggil, mengejutkan jiwa-jiwa yang sedang tidur. Azan pagi itu buat saya banyak berfikir. Terima kasih kepada si muazzin dan saya tidak terkilan subuh itu. (Bukankah baik jika setiap Subuh ianya begitu?)

HARAPAN

Hakikatnya, saya menghargai semua azan yang dilaungkan, lunak mahupun tidak. Tetapi harapan saya, jika seseorang ingin menjadi muazzin – sama ada ditugaskan atau secara sukarela – berusahalah sebaik-baiknya sewaktu menyampaikan azan. Ia amat bermakna kepada saya dan seluruh umat Islam. Baikilah mutu azan yang dilaungkan, kerana ia memberi kesan mendalam kepada si pendengarnya.

Dan..

…kerana laungan muazzin itu bukan main-main, ia suatu seruan yang sungguh besar!

kritik@ayzagursoy.wordpress.com

Teringat Bilal bin Rabah.. Oh Allah, pasti hebat!

* Gambar di atas – diambil dari www.thewhitepath.com

Anakku

Sebelum Ismail Zubeyr lahir, saya berjanji kepada diri untuk beri komitmen yang lebih baik daripada dahulu. Lebih lagi dengan pengalaman yang telah kami lalui bersama Mukhlis Ertugrul yang sudah hampir 5 tahun lebih, Insyaallah saya boleh melakukan lebih baik.

ismailmama

Ismail Zubeyr sudah masuk 4 bulan. Awalnya kami sangka Ismail sama seperti Ertugrul sewaktu kecil. Ertugrul tidak banyak ragam, selalu beri kerjasama dan tidak sering menangis panjang pada awal-awal kelahirannya. Berbeza dengan Ismail, orangnya cukup aktif, jika menangis dia akan menangis semahu-mahunya. Tidak ada tolak ansur atas apa-apa kelewatan, dalam erti kata lain, semuanya mesti siap sebelum dia menangis. Ismail suka dipujuk dan dipeluk lama-lama. Tidur dalam pelukan Mama adalah satu nikmat terbesar, atau kalau tidak, Ismail akan merajuk dan menangis lebih lama. Zaman Ertugrul, saya adalah orang terakhir yang dapat disebutnya. Ba-ba, Ne-ne di antara yang terawal dapat disebut. Berbeza dengan Ismail, yang sudah mampu menyebut Ma-ma, Me-me.. Oh Allah, panggilan itu membuatkan saya lebih bersemangat. Meragam? Oh tak mengapa, saya sanggup semuanya! :D

ertugrulmama

Sejak 3 minggu lalu, saya menyediakan jadual waktu untuk Ertugrul. Saya menaipkan jadual itu di hadapannya. Bermula daripada hari Isnin sehingga Jumaat. Rutinnya setiap hari saya senaraikan, daripada bangun, menggosok gigi, mencuci muka sehingga kepada menyiapkan kerja sekolah, membaca buku dan sebagainya. Alhamdulillah, nampaknya sepanjang 3 minggu ini saya tidak perlu marah-marah, kerana Ertugrul lebih selesa mengikut jadualnya. Dia tahu bila waktu menonton TV, bila waktu rehat, waktu menyiapkan kerja etc. Sejak membuat keputusan untuk menghantar Ertugrul ke KUMON dan tidak menghantarnya lagi ke Tadikom, saya lihat prestasinya jauh lebih baik. 3 bulan belajar di Tadikom, Ertugrul hanya diajar menulis A sehingga C (huruf kecil dan besar), mewarna, dan menulis angka, terlalu asas. Amat membuang masa bagi saya. Berbanding di KUMON, dalam masa 3 bulan Ertugrul telah jauh melangkah.  Matematik Ertugrul sudah mencapai tahap Darjah 2, dan pembacaan Bahasa Inggerisnya jauh lebih baik. Guru-guru amat supportive dan positif (tidak jumud seperti di Tadikom BB). Bahasa Melayu, pendidikan Islam, mewarna, melukis, menyanyi, bersosial dan seumpamanya itu, saya dan Mehmet melatihnya dari rumah. Tidak ada yang mustahil jika kita yakin boleh dan bersungguh-sungguh.

Meniliti dan mengamati sikap dan kelakuan kedua-dua anak kecil ini amat menyeronokkan. Abaikan semua kepenatan dan keletihan dan nilai semula apa yang dipelajari dari kedua-dua makhluk kecil yang baru mendiami dunia, ia suatu ilmu yang amat berharga. Menghayati bagaimana Allah membentuk peribadi manusia dari seawal dia lahir ke dunia dan menyesuaikan diri dengan perkembangan mereka, kemudian beransur-ansur menyalurkan ilmu kepada anak-anak ini. Syukurlah kepada Allah.

Saya akan terus belajar untuk membesarkan anak-anak kurniaan Allah. Cantik buruk bukan ukurannya, tetapi pengisian dalam jiwa dan ketinggian akhlaknya. Moga Allah beri kekuatan kepada kami yang serba kekurangan dan serba lemah ini, untuk memimpin mereka menjadi generasi yang tidak tersesat. Amin ya Rabb.

Rejab telah pun tiba..

Salam Rejab saya ucapkan buat semua pengunjung dan pembaca blog AyzaGursoy.WordPress.Com.

Malam ini sudah masuk 1 Rejab.

Allah, oh Allah. Telah Kau sampai kami sehingga hari ini.

Jom lekas, jangan buang masa. Isi Rejab ini dengan sebaiknya.

- Ayza Gursoy

Eski Gönderiler »