Bismillahirrahmanirrahim
15 September 2007, Sabtu – genap 18 tahun Bak meninggalkan Mak, saya dan kami semua.
Little Haj – Zahayu dan saya di Maktab 63, Makkah 1987
18 tahun yang lalu…
Saya cuba mengenang kembali tarikh 15 September 1989, Jumaat – hari saya kehilangan ayah yang amat saya sayangi. Saya berusia 8 tahun 10 bulan, hampir di akhir semester persekolahan. Hari sebelumnya, 14 September 1989, Khamis – saya pulang dari sekolah terus ke kilang Bak. Sampai sahaja di muka pintu pejabat, Mak beritahu yang mereka akan bawa Bak berubat di Johor dan saya tidak boleh ikut. Saya yang baru pulang saat itu terus merayu agar Mak membenarkan saya turut serta. Saya lari keluar menuju kepada Bak yang telah pun duduk di dalam kereta.
“Bak, Aja nak ikut. Bak, nak ikut…” rayu saya yang hampir menangis.
“Mari sini Bak peluk..” dan Bak memeluk saya.
Saya juga memeluk Bak dengan erat. Saya menangis sewaktu memeluknya, kerana saya tahu Bak sedang tenat dengan penyakitnya, dan kini dia harus dirawat. Tetapi saya tetap nak ikut serta.
“Bak sayang Aja. Aja jaga diri baik-baik ya, nak. Aja ingat Bak selalu, doakan Bak.. Bak sayang Aja..”
Bak terus memeluk saya lagi. Erat-erat, seolah-olah ini kali terakhir dia dan saya akan bertemu.
“Bak… Aja sayang Bak! Aja sayang Bak!.. Bak!..Bak!..” itu saja yang saya sebut waktu itu. Saya cukup ingat saat itu, saya menangis semahunya, saya dapat rasa saya akan kehilangan Bak. Saya lihat Bak juga menangis sewaktu memeluk saya.
Apalah yang boleh saya lakukan waktu itu, dalam usia itu. Saya menangis dan bertambah risau, bimbang dan tidak tenang setelah melihat Bak menangis. Adakah Bak akan meninggalkan saya? Ya Tuhan.. Ya Tuhan..
Zahayu, abang saya yang ketika itu berumur 13 tahun sedang makan di dalam pejabat. Mungkin dia belum dengar berita tentang Mak yang akan bertolak sebentar lagi. Saya menangis dan memujuk Mak untuk benarkan saya turut serta. Keadaan berlalu begitu pantas waktu itu, sekejap saja Mak mencium saya dan terus beredar bersama Bak, Kak Ngah, Bangah, dan kawan Bak, Pakcik Zali.
Saya pandang Bak dan Mak sehingga kelibat kereta hilang. Saya terpinga waktu itu. Kenapa dengan Bak? Kenapa tergesa-gesa? Kenapa di Johor? Bukan sekali Bak dikejarkan ke hospital. Hospital Tawakkal, Straits Hospital (nama dahulu), Hospital Besar Melaka dan beberapa hospital lain – semuanya saya pernah tidur untuk menemani Bak. Saya menjadi saksi atas kesihatan ayah saya. Saya melihat semuanya – dalam usia itu.
Malam itu malam Jumaat. Mak menelefon dari hotel di Johor. Rawatan untuk Bak di pusat perubatan Islam di sana akan dijalankan pada esok harinya. Berkali-kali saya meminta Mak memanggil Bak, saya hendak bercakap dengannya. Berkali-kali juga Mak memberitahu, Bak sesak nafas. Biar Bak rehat. Malam itu saya tidur di pejabat Bak, dengan abang saya Hanozzy dan isterinya Rosnah, juga Zahayu dan Mazby – anak saudara saya.
Esok harinya, saya dibawa ke rumah Kak Ngah. Mungkin Hanozzy ada kuncinya. Kira-kira jam 9 pagi, saya membasuh pinggan di rumah Kak Ngah. Saya tidak ke sekolah hari itu kerana Bak dan Mak tiada, baju sekolah juga tiada – semua di rumah. Sedang saya membasuh pinggan, saya teringat tentang Bak. Kata Mak di telefon semalam, Bak akan dirawat awal pagi – 8 atau 9 pagi. Fikir saya waktu itu, mungkin sekarang Bak sedang dirawat. Dalam 2 jam mungkin selesai, tengahari nanti mereka akan pulang. Saya sempat berdoa moga Allah mempermudah segalanya buat Bak. Allah panjangkanlah usia Bak.
Sebentar kemudian Kak Long datang dengan 5 orang anaknya. Perasaan saya waktu itu cukup positif. Satu – Bak sedang dirawat dan saya yakin Bak akan sihat. Kedua – Anak-anak Kak Long datang, perjumpaan dengan anak-anak buah kesayangan saya adalah waktu yang cukup menyeronokkan. Saya mendukung Asha’ari, yang baru berusia beberapa bulan itu.
“Semua diam, Pochik nak cakap ni..” kata Hanozzy.
Kami semua diam.
“Pochik harap semua sabar. Kak Long, Ayu, Aja.. Dengar ni.. Bak dah tak ada. Bak dah meninggal..” menggigil suara Hanozzy menahan sedih ketika menyampaikan berita itu.
Oh Tuhanku.. Oh Allah.. Oh Tuhanku..
Mata saya gelap.
Bak.
Mana Mak? Mak mana?
Bak. Bak saya kah?
Oh Tuhanku. Saya yang sedang mendukung Asha’ari terus tersandar di dinding dan jatuh. Lembik. Saya hampir pengsan.
Zahayu? Kasihan abang saya!!
Zahayu tidak dapat mengawal perasaan, dan terus mengamuk di dalam bilik tengah. Dia memukul apa saja dengan tangannya, menendang apa saja. Saya menangis. Dia menangis. Kami memanggil nama Bak. Ya Tuhanku, kami masih kecil, dia saja ayah yang menyayangi kami seadanya. Ya Tuhanku! Ya Allah…
Hanozzy terus mendapatkan Zahayu, memeluknya kuat. Zahayu terus menangis dan memberontak. Kak Long juga hampir terjerit dan terus menangis. Ini adalah di luar sangkaan kami. Ya Allah. Ya Allah..
Katil Mazby patah dihentak Zahayu. Hanozzy juga memeluk saya. Memujuk kami semua.
* * *
Ay Allah.. mengapalah ingatan itu masih ada di dalam fikiran?
* * *
Saya dan Zahayu mengikut Hanozzy pergi ke rumah-rumah saudara-saudara terdekat kami untuk memberitahu tentang kematian Bak. Kembali ke rumah, orang telah mula datang. Yang hadir sudah mula membantu Kak Long, Kak Rosnah untuk menyediakan tempat mandi dan entah apa-apa lagi..
Jiwa saya kosang waktu itu. Apa akan jadi dengan hidup saya esok hari? Bagaimana Mak tanpa Bak? Zahayu juga berdiri di suatu tempat – termenung. Mungkin dia juga memikirkan sama seperti saya.
Jenazah Bak sampai di depan rumah. Ya Allah. Jelas saya masih ingat van mayat dibuka. Jenazah Bak sudah dimandikan dan dikafan dari sana. Keranda diusung dibawa masuk ke ruang tamu. Mak terus mendapatkan saya, memeluk saya. Saya amat rindukan Mak, dan Bak yang sejak semalam meninggalkan saya.
Apabila wajah Bak dibuka, saya melihat wajah Bak sepuas-puasnya. Janggutnya yang mula tumbuh nipis itu saya perhatikan. Bak selalu ambil tangan saya dan gosokkan pada janggutnya – dan saya akan ketawa! Saya perhatikan matanya yang tutup rapat. Oh ya! Saya teringat beberapa hari sebelum itu saya ada mencabut sehelai keningnya yang tumbuh panjang. Ya Allah, inilah ayahku yang telah tiada nyawa lagi dalam dirinya. Ya Allah. Saya seperti tergamam, tetapi tidak boleh membuang masa. Ini kali terakhir saya dapat menyentuh jasadnya. Saya menciumnya 6 kali. Pipi kanan, pipi kiri dan dahi. Saya pegang rambutnya. Badannya ditutupi kain putih, kemas.
Selesai itu, Bak dibawa ke Telok Mas – di kawasan Masjid Khairiah. Pekerja-pekerja Bak semua datang, sanak saudara, keluarga… Saya duduk cukup dekat dengan lubang kubur. Saya lihat Bak dimasukkan ke dalam lahad, diiringkan, dibukakan ikatan pada mukanya. Setelah sempurna mereka patahkan beberapa dahan pohon berdaun dan letakkan di atas jenazah Bak. Diletakkan tanah sedikit dan kemudian ditutup dengan kepingan kayu.. dan akhirnya ditutup dengan tanah yang banyak.
Saya terpaku dan ralit melihatnya. Sehingga salah seorang pekerja kami memanggil saya memberitahu kain batik yang saya pakai waktu itu terjatuh ke tanah. Mujurlah masih ada seluar panjang di dalam. Baru saya teringat, yang seluar saya koyak. Saya hanya memakai baju yang Mak bawa semalam di pejabat. Di rumah Kak Ngah, saya dapati seluar saya terkoyak, dan tiada baju lain. Lantas saudara yang datang terus mengambil sehelai kain batik dan menyuruh saya memakainya di bahagian luar. Hendak ikat pun saya tak tahu, jadi saya pakai dan sisipkan saja.
Itu adalah kali kedua saya mendengar talqin. Seingat saya, dengan pakaian itu juga saya kemudiannya naik ke masjid bersama Mak, dan menunaikan solat sunat Jenazah sebelum Bak dikebumikan..
Apa yang berlaku ya? Ay Allah..
Allahim…
18 tahun berlalu, dan saya masih hidup meskipun tanpa Bak.
Mak, cukup tabah menghadapinya. Mak juga adalah Bak buat saya, dan Mak yang sejati. Ketika kami berbual di kalangan ahli keluarga, saya pernah bertanya kepada Kak Long, bagaimana dia boleh ada di rumah Kak Ngah pada hari Bak meninggal, sedangkan Kak Long tinggal di Alor Gajah waktu itu – jauh dari kami.
“Kak Long rasa tak sedap hati pasal Bak.. risau.. Jadi Kak Long sewa teksi dan bawa anak-anak semua ke kilang. Tapi Bak tiada, dan Pochik bawa kami semua ke rumah Kak Ngah,” jelas Kak Long.
Bak meninggal sebaik sahaja selesai mengambil wudhu’ dan ketika membaca doa, Bak terkulai. Menurut Mak, Bak sedang dipapah ketika itu. Kakinya terheret saja waktu Bak dipapah ke kereta untuk dikejarkan ke hospital. Bak meninggal setelah 52 hari pulang dari mengerjakan Haji tahun itu. Bak disahkan meninggal di Sultanah Aminah, Johor.
Apa pun saya mendoakan Bak – cinta hatiku itu – moga rohnya dicucuri rahmat dan keredhaan Allah senantiasa. Moga Bak ditempatkan di tempat orang-orang yang dikasihi Allah. Moga Allah mengampuni segala kesalahannya dan memberkati segala usahanya…Moga saya dapat bertemunya kelak..ya Allah..
Dan Mak – cinta, kekasih dan pahlawan hidupku itu – terima kasih yang tak terhingga buat Mak. Mak adalah segala-galanya, pembela dan pejuang nasib saya dan Zahayu yang yatim. Mak amat istimewa. Doa-doa terbaik kami senantiasa untuk Mak. Moga Allah meredhai dan merahmati ibu saya selalu..
Terima kasih buat Kak Ngah dan Bangah yang memegang wasiat Bak untuk tinggal bersama Mak dan menjaga kami semua. Terima kasih kerana berkongsi dan menumpangkan saya dan Zahayu hidup selama 12 tahun di rumah Kak Ngah dan Bangah. Mengerjakan Haji, Umrah, lawatan-lawatan melihat dunia.. Mengajar saya erti perkongsian hidup.. Saya amat menghargai segala-galanya. Saya sayangkan kamu!
Terima kasih buat Pochik, abang saya yang penyayang dan tegas. Kak Rosnah yang memujuk saya, sama-sama membesarkan saya. Terima kasih Pochik yang mewakili Bak semasa mendaftarkan saya sekolah menengah, menemani Mak dan saya melawat Mehmet di Turki, menjadi wali ketika menikahkan saya dan untuk segala-galanya! Saya sayangkan Pochik!
Terima kasih Kak Long kerana rajin melayan kehendak saya ketika saya memerlukan. Mandi laut, jalan-jalan waktu malam di pantai sambil makan Roti John.. Kak Long temankan saya ketika Mak sakit di Hospital Pantai dan mendengar semua masalah saya waktu itu. Kak Long ajar saya bawa kereta sampai ke Bukit Jalil, ajar naik LRT keliling KL.. Pujuk doktor agar benarkan saya pulang dari hospital semasa saya dibedah kerana appendix.. dan ya.. banyak! Terima kasih Kak Long, saya hargai semuanya.. saya sayang kamu!
Terima kasih abangku Zahayu – yang sama-sama membesar sebagai anak yatim terhormat. Kita tidak meminta-minta, kita tidak menagih keperluan dari orang lain. Kita diberi hak oleh Bak dan Mak – dan kita hidup sebenarnya dengan hak kita sendiri. Kita diberi peruntukan dan kita layak memperolehinya. Kita tidak membebankan sesiapa. Kita juga tiada pilihan sewaktu kita masih kecil, ketika kita belum berupaya mengubah apa-apa. Kita berkongsi banyak cerita, banyak kesedihan dan kegembiraan bersama. Syukurlah kita mempunyai Bak dan Mak yang hebat! Melihat kamu juga yatim seperti saya, saya berkeyakinan untuk hidup dan melihat hari depan. Terima kasih Zahayu, kerana sama-sama menemani hidup sebagai anak yatim yang banyak tekanan hati… Saya sayang kamu!
Terima kasih!
Dan yang paling utama, kepada Allah, kepada Tuhanku yang satu.. Kepada Tuhanku yang amat mengasihi dan belas kasihan selalu kepadaku.. Aku amat bersyukur kepadaMu wahai Allah, bersyukur dan bersyukur.. atas segala-galanya ya Allah. Ampunkanlah dosa-dosa kami semua, redhailah hidup dan mati kami ya Allah, tunjukkan jalan yang benar dan pimpinlah kami kepadaMu ya Allah.. ya Allah.. ya Allah..
______________
Yetimnur@blog.ayzagursoy.com


