Pada penghujung musim sejuk 2006, kami merancang untuk pulang bercuti ke Turki. Saya dan suami berkali-kali memujuk Mak untuk turut serta – atau saya akan batalkan rancangan ini. Ibu mertua saya (yang saya panggil Anne) juga berkali-kali mengajak Mak untuk turut serta jika kami semua datang ke Turki. Mahu tidak mahu, melihatkan saya menangis bagai anak kecil, Mak akhirnya setuju. Kebetulan masa itu MAS mengadakan promosi harga rendah bagi tiket penerbangan. Saya dan suami ke pejabat MAS di Mahkota Century Hotel dan membeli tiket untuk 4 orang dewasa dan 1 untuk kanak-kanak.
Kami mula menyiapkan barang-barang keperluan. Zafer suka nanas dalam tin, Baba suka manisan.. Anne dan Huseyin.. oh ya bagaimana dengan Necla Yenge, Fercami Dayi, Saffet dan anak-anaknya Zehra dan Mukaddes.. Nuri Bey, Zahide Yenge, Oguz, Ahmet, Mine, Kubra, Tugce, Muruvvet Hanim… jiran sebelah rumah Anne? Wasile, Ayse Teyze, Fatma Teyze..
Saya tersenyum mengingatkan wajah-wajah mereka. Mereka ini selalu ada waktu saya di sana. Untuk kanak-kanak saya sediakan coklat dan manisan ketika mereka bertandang ke rumah Anne nanti.
Mak yang seawalnya tidak mahu pergi, tiba-tiba mencetuskan idea baru..
“Tak nak ajak Pochik sekali?” tanya Mak spontan.
“Pochik? BESTNYA! Kita call dia?” tanya saya.
Kami menelefon Ogy. Mak minta dia menemani Mak dan kami semasa di sana.
“Kalau setuju beritahu lekas.. malam ini nak book tiket, sebab banyak tarikh dah penuh,” beritahu saya.
Kami menunggu panggilan Ogy. Apabila difikirkan semula, cadangan Mak memang spontan dan saya tak tahu apa maklum balas Ogy. Mesti sukar untuk membuat keputusan.
“Berapa lama?” tanya Ogy dalam panggilan seterusnya.
“3 minggu… Mak belanja separuh harga tiket Ogy..” jawab Mak.
Kami menunggu lagi. Setiap kali telefon berdering, kami ketawa. Ogy mesti pening.
“Lamanya 3 minggu lebih..” kata Ogy.
“Tak nak tak apa…” ugut Mak.
“Eh nantilah dulu.. aduhh..” keluh Ogy.
Setelah berbincang dengan Kak Rosnah dan anak-anaknya, mereka akhirnya bersetuju. Ogy akan datang setelah 1 minggu kami ke Turki.
“Confirm!” kata Ogy.
“Okay! Nanti Aja sediakan guide ke Denizli,” balas saya.
Esoknya kami membeli satu lagi tiket untuk Ogy. Di pejabat, saya serahkan tiket itu padanya.
“Ha? Dah beli?” Ogy nampak cemas. Saya dan Bangah ketawa.
“Habis, keluarga Mehmet tahu Pochik pun datang ni?” tanya Ogy.
“Tahu.. Mehmet dah telefon keluarganya.. Mereka semua nak jumpa Pochik,” jawab saya.
* * * * *
4 March 06 – Jam 5 pagi kami bertolak ke KLiA dan menunaikan solat Subuh di sana. KLiA penuh sesak dengan orang ramai, khasnya di kaunter penerbangan MAS. Tiket promosi yang ditawarkan MAS mendapat sambutan menggalakkan. Barisan beratur panjang. Sampai di kaunter, kami diberitahu penerbangan kami belum confirm, dan mungkin perlu tunggu untuk ambil flight lain. Jam sudah pukul 8.30 pagi. Ahli keluarga yang menghantar kami telah keletihan menunggu. 5 minit lagi sebelum pukul 9 pagi petugas MAS memaklumkan ada 4 seat untuk kami dan diminta lekas ke balai menunggu.
Bergegas saya menarik tangan Mak, Mehmet mendukung Ertugrul. Kami sudah terlewat. Pengumuman telah dibuat. Ay Allah, inilah padahnya membeli tiket promosi. Bergegas-gegas. Kami adalah penumpang terakhir yang terlewat masuk ke pesawat. Bersyukur saya kepada Allah paling tidaknya, ada flight untuk kami pagi ini. Penerbangan kali ini tidak transit di mana-mana, terus-menerus Kuala Lumpur ke Istanbul selama 10 jam. Sebelum ini kami pernah transit di Cairo selama 2 jam, Dubai 1 jam, Bahrain semalaman…
Kami sampai di Istanbul jam 2.45 petang. Ay Allah, rindunya saya pada tanah ini. Dan yang paling seronoknya Ertugrul, yang akan pertama kali berjumpa dengan Babaanne, Dede dan Amca-amcanya. Ertugrul adalah penyebab utama kami pulang ke Turki 2006. Selesai urusan imigresen dan mengambil bag, kami menuju keluar.
Huseyin yang telah menunggu hampir 1 jam, terus datang memeluk abangnya, menyapa saya dan mencium tangan Mak. Dan ya, Ertugrul yang baru berusia 2 tahun 3 bulan itu terus mencium tangan Huseyin. Bila dipeluk Huseyin, Ertugrul pun membalas dan terus minta didukung. Kami juga menelefon Anne memberitahu yang kami telah selamat sampai. Ertugrul juga kumat-kamit mulutnya bercakap pelat dengan Babaanne. Sayang Ertugrul!
-willbecontinueD-
