Resepi ini saya perolehi daripada ibu mertua saya, Fatma Gursoy. Banyak saya pelajari masakan daripadanya, ada juga yang saya rekod dengan Handycam. Masa yang terluang sewaktu memasak saya manfaatkan dengan mengambil nota resepi dan melihat cara-caranya memasak. Di bawah ada resepi membuat kofte cara ibu mertua saya. Ada banyak cara sebenarnya untuk membuat kofte, ikut cara masing-masing, tetapi asasnya masih sama.
Bahan-bahan :
a. Daging lembu kisar 1 kg (Kalau kisar sendiri daging, campurkan sedikit lemak.. Resepi asal menggunakan daging anak kambing biri-biri)
b. Kofte Baharat 2 sudu besar
c. Kimyon 1 sudu besar
d. Telur 2 biji
e. 5 keping roti biasa atau boleh gunakan setengah batang roti baguette
f. Bawang besar 1-2 biji (diparut/kisar/cincang halus)
g. Garam secukup rasa
h. Daun maydanoz
i. Sesudu kecil serbuk lada hitam
Cara membuatnya : Sediakan daging kisar, campurkan bawang yang telah dicincang, kofte baharat, kimyon dan garam. Gaulkan kesemuanya sehingga sebati.
Roti – ada dua cara. Satu, roti dibakar terlebih dahulu dan kemudiannya dikisar menjadi serbuk kasar sebelum dicampur bersama daging kisar dan bahan-bahan tadi. Selain dibakar, cara kedua adalah basahkan roti dengan air suam. Setelah roti lembut, perahkan airnya sedikit. Manakala rotinya diramas dan digaul bersama bahan-bahan tadi. Gaulkan hingga sebati. Pastikan daging jangan terlalu basah. Jika basah sangat, tabur sedikit tepung gandum di atasnya dan gaul semula.
Rasa semua sudah elok, cukup masin etc, masukkan daun Maydanoz yang telah dicincang dan telur. Gaul lagi hingga sebati. Biarkan 5-10 minit. Kepal-kepalkan leper atau bulat, terpulang – dan sedia untuk dimasak. Kepal kesemuanya dan simpan di dalam bekas. Pastikan anda menyimpan baki daging yang belum dimasak di bahagian sejuk beku dan ia boleh tahan sehingga 1-2 minggu. Daging akan jadi masam jika anda tidak meletakkannya di bahagian sejuk beku.
Jika menggoreng, sebaiknya digoreng dengan minyak zaitun (pilih jenis light, bukan untuk penyediaan salad) dalam 7-12 minit. Boleh juga gunakan minyak bunga matahari. (Guna minyak sawit pun tiada masalah, cuma jika nak lagi umph, minyak zaitun dan bunga matahari adalah lebih sesuai). Namun kofte juga boleh dipanggang seperti satay…
Selain menggoreng, kofte juga boleh dipanggang di atas api
Apabila masak, toskan minyak. Hidangkan dengan bawang besar (yang kuning tu), lemon kuning dihiris dan diperah atasnya bersama tomato yang dipotong dadu atau salata. Yummy!
Tips:
1. Maydanoz = Italian Parsley
2. Kimyon – Cumin
3. Kofte Baharat – Campuran rempah-ratus khas untuk kofte. Jika tidak ada bahan ini, cuba gunakan serbuk kari ayam & daging Adabi (saya sudah cuba, 90% sama)
Dulu saya buat kofte letak bulgur halus. Saya rendam bulgur sampai kembang, toskan dan gaul bersama daging menggantikan serbuk roti. Rasanya sedap. Disebabkan Mehmet pun mengiyakan rasanya, jadi saya fikir boleh jadi resepi saya ini betul. Berbulan-bulan saya buat begitu..suatu hari dia call ibunya.. Kata ibu Mehmet, buat kofte tak letak bulgur.. what?!
.. saya tergelak bila teringat hal tu, tapi saya fikir, saya dah terjumpa satu resepi baru. Cuba ya!
Selamat berbuka puasa
@ayzagursoy.wordpress.com


[...] saya membuatkannya kofte. Petang semalam selepas menghadiri kelas di IPPM, saya menyediakan adunan kofte dan salata untuk dihidangkan semasa [...]