Keluar dari pemeriksaan imigresen di Istanbul Atatürk Havalimanı, kami menarik bag turun ke bawah tanah. Membeli token untuk menaiki tren Metro yang akan merentasi beberapa stesyen – CNR Expo, Yenibosna, Atakoy, Bakirkoy, Zeytinburnu, Merter, Davutpasa, dan Terazidere. Saya mengamati pemandangan damai petang di Istanbul sepanjang perjalanan. Fikiran saya melayang mengingati waktu musim panas 2003 yang lepas, saya dan Zafer berulang-alik berkali-kali dari lapangan terbang ke Aksaray, sedang Mak saya tinggalkan di Flamingo Hotel Istanbul di Namik Kemal Cad. Ay Allah.. hari-hari penuh kesulitan itu telah pun berlalu, dan Engkau kembalikan aku ke sini semula dengan kemudahan… syukur ya Allah..
Kami berhenti di Esenler Otogar atau Terminal Bas Esenler. Hawa sejuk petang itu mendirikan bulu roma.
“Macam mana Haiza? Sejuk?” tanya Mehmet.
“Sejuk, sedap ni..” jawab saya.
“Nanti waktu malam kita tengok macam mana, sedap ke tidak..” usik Mehmet sambil tersenyum.
Kami menuju ke pejabat bas ekspress Pamukkale. Servisnya bagus, ada makanan ringan disediakan 2 kali sepanjang perjalanan, menyediakan teh panas atau minuman sejuk, berhenti di 2 atau 3 stesyen dan biasanya sampai tepat waktu. Selain itu ada bas-bas lain yang lebih baik seperti Varan dan juga Ulusoy, harga yang ditawarkan juga lebih mahal. Kami berehat di ruang menunggu Pamukkale. Setelah membersihkan Erturgrul, saya dan Mak ke tingkat atas membersihkan diri dan bersolat. Bas akan bergerak jam 8 malam. Selesai makan kebap yang dibeli Huseyin, saya membawa Ertugrul bersiar di luar pejabat Pamukkale. Hari sudah gelap meskipun waktu masih awal.
Terminal Bas Esenler ~ Esenler Otogar
Mehmet mengajak saya membeli kad telefon di kompleks seberang jalan sana. Skirt-skirt labuh gaya Turki kegemaran saya dijual pelbagai gaya. Rambang mata dibuatnya.
Kembali ke pejabat Pamukkale, saya memberitahu Mak -
“Mak, banyak skirt kat seberang sana Mak.. cantik-cantik.”
“Iya? Ada masa lagi ni, jom kita tengok-tengok..” balas Mak.
“Tapi sejuk sangat kat luar sana, Mak..”
“Sejuk sedap..” kata Mak.
Mehmet tergelak. Saya dan Mak berpimpin menuju luar. Tak sampai seminit berjalan dalam angin kuat malam itu Mak berhenti.
“Ya Allah, sejuknya. Tak tahan macam ni..” kata Mak memandang wajah saya.
Saya tersenyum. Memang benar, angin cukup sejuk. Mak yang berbaju kurung batik suteranya yang nipis tak mungkin akan tahan. Kami masuk semula. Jam 7.45 malam, beg mula dipunggah masuk ke dalam bas. Mehmet membawa kami semua naik, saya duduk bersama Mak dan memangku Ertugrul. Manakala Mehmet duduk bersama Huseyin. Jam 8 malam bas bergerak meninggalkan Esenler Otogar.
Panorama Istanbul pada waktu malam cukup mempesonakan. Bas menyeberangi jambatan mega yang menghubungkan Turki Eropah dan Turki Asia. Ertugrul yang tadi ralit memerhati luar, nyenyak tidur dalam pelukan saya. Perjalanan dari Istanbul ke Denizli memakan masa selama 11 jam dengan bas, dan 15-16 jam dengan keretapi. Sewaktu bas melintasi kawasan yang berlaku gempa bumi besar beberapa tahun lepas, saya lihat ada sedikit perubahan. Ada lampu-lampu bangunan yang menyala. Berbanding tahun-tahun sebelumnya, tempat ini sunyi dan gelap-gelita pada waktu malam, kerana tiada berpenghuni kesan gempa yang mengorbankan banyak nyawa. Saya beristighfar. Saya masih ingat tahun terjadinya malapetaka ngeri itu. Gambar-gambar dan berita manusia terperangkap dan terkorban akibat gempa bumi amat menyedihkan. Mehmet yang waktu itu sahabat baik saya, turut menghantar banyak gambar dan artikel terjemahan. Dalam kejadian itu, ada seorang ibu menanti anaknya yang masih kecil terperangkap dalam runtuhan bangunan, tidak putus asa memanggil-manggil nama anaknya dan memohon kepada Allah tanpa henti. 11 hari kemudian anak itu menjawab panggilan ibunya dan dengan izin Allah, anak itu dapat diselamatkan. Maha Suci Allah…
Sesekali Mehmet memangku Ertugrul yang sedang tidur, kemudian beralih kepada Huseyin. Bas berhenti seketika di Kaptan Dinlenme Tesisleri, Dinar – yang terletak di hujung Afyon, sudah hampir dengan Denizli. Jam sudah pukul 5.30 pagi dan matahari pagi mulai terang.
[o-oo! saya kena siapkan juadah utk iftar! will be continued]


