Lebih kurang 1 jam setengah perjalan dari kawasan perhentian Dinar, kami akhirnya sampai ke Denizli. Patung replika ayam jantan lambang bagi Denizli juga telah kelihatan sayup-sayup di tengah jalan sana. Bas menyusur masuk ke Denizli Otogar. Syukur kepada Allah, kami selamat sampai ke Denizli. Beg-beg dipunggah keluar dan kami mendapatkan teksi untuk ke rumah Anne. Ertuğrul juga sudah bangun dari tidurnya.
Hawa pagi itu sungguh sejuk dan nyaman. Hati saya berdebar-debar, entah bagaimana reaksi Anne melihat cucunya nanti. Saya bersihkan Ertuğrul dan kemaskan rambutnya yang panjang. Kami sengaja membiarkan rambutnya panjang untuk dilihat oleh Babaanne dan keluarganya di sini. Teksi bergerak laju dan akhirnya berhenti di hadapan rumah Anne. Kami mengeluarkan beg-beg dan dibawa masuk ke perkarangan rumah.
Hüseyin memimpin Ertuğrul dan menyembunyikannya di tepi pintu.
Loceng pintu ditekan sekali.
“Kim o? Ertuğrul!? Ertuğrul geldimi?! Yavrum?!” terdengar suara dari atas menuju ke pintu.
(Siapa tu? Ertuğrul?! Ertuğrul dah datang ke?! Nyawaku?!)
Kami mendiamkan diri, ingin lihat apa yang terjadi.
Pintu dibuka. Anne menjenguk keluar dan…
“Oh, yavrum benim! Allahh…!” jerit Anne sebaik saja Hüseyin menunjukkan Ertuğrul padanya.
Anne terus memeluk Ertuğrul erat dan menciumnya berkali-kali. Mehmet mendapatkan ibunya, begitu juga saya. Kami bersalaman dan berpelukan, begitu juga dengan Mak. Pagi itu sungguh menggembirakan. Pertemuan seorang nenek dengan cucu pertamanya.
Kami masuk ke ruang tamu. Rumah Anne seperti biasa, pagi-pagi begini harum dengan bau sabun. Kali ini kami ditempatkan di bilik bahagian belakang yang berbalkoni. Mak di bilik depan dengan dua buah katil. Satu lagi untuk Ogy yang akan datang minggu depan.
“Sayangnya cucu saya ni! Rindunya cucu saya ni! Sihat, maşaallah!!” kata Anne sambil memangku Ertuğrul.
Pipi saya yang tersenyum dari tadi kini terasa sedikit sengal.
Lama sangat tersenyum agaknya. Saya dan Mehmet kemudian ke bilik Baba untuk menunjukkan Ertugrul.
“Baba, ini Nurhaiza. Baba apa khabar?” tanya saya dan mencium tangan Baba.
“Nurhaiza..? Oh, selamat datang, selamat datang kızım..” jawab Baba.
Ertugrul bersalaman dan mengucup tangan dedenya. Baba memegang tangan Ertugrul dan mencium pipinya.
“Baba rehat, tamam mı? Baru lepas ambil ubat, ‘kan? Baba tidurlah dulu..” kata Mehmet sambil mengajak kami ke ruang tamu semula, tidak mahu mengganggu Baba yang baru mula tidur.
Saya ke dapur membantu Anne membawa makanan ke ruang tamu untuk sarapan pagi. Jam sudah pukul 8.45 pagi. Huseyin keluar sebentar membeli roti.
“Anne, ada dapat kiriman pos daripada saya dalam beberapa hari ini?” tanya saya.
“Hmm.. belum lagi rasanya. Kamu ada hantar barang?” balas Anne.
“Ya..bungkusan kecil saja. Saya hantar 3 minggu sebelum ini..” jawab saya.
“Insyaallah 2-3 hari lagi sampai harapnya..” kata Anne.
Pagi itu kami bersarapan ringkas. Çay (teh), peynir (keju), bal (madu lebah asli), zeytin (buah zaitun) dan roti baguette. Segar rasanya setelah ‘pekena’ teh pekat.
“Syukurlah kamu semua selamat sampai ke sini. Syukur kepada Allah…” ujar Anne.
“Alhamdulillah Anne.. Semasa di lapangan terbang Malaysia, ada masalah sikit. Hampir-hampir tiada tempat duduk untuk flight pagi semalam,” beritahu Mehmet.
“Budak kecil ni pula tak boleh tidur. Dari rumah sampailah dah masuk dalam kapal terbang. Syukurlah dalam bas semalam dia dapat tidur. Lihat tu, dah mula aktif!”
Ertuğrul mula masuk keluar dari pintu ruang tamu, masuk ke bilik sebelah, ke dapur, ke bilik air dan serata tempat. Hüseyin mengekorinya dari belakang. Adik ipar yang tua setahun dari saya itu rupanya memohon cuti beberapa hari daripada pihak universiti, semata-mata untuk Ertuğrul. Macam-macam
“Terima kasih kerana menjaga cucu saya sebaik ini!” kata Anne sambil mencium saya dan tangannya memeluk bahu saya.
Syukur kepada Allah untuk segalanya. Setiap hari saya berdoa, meskipun jarak kami amat jauh, moga Allah dekatkan hati kami selalu….
-will be continued-

