Petua ini saya perolehi dari ibu mertua saya, Fatma Gürsoy. Pada suatu malam saya mengikut suami saya ke Internet Cafe dengan berjalan kaki lebih kurang 2.5 km jaraknya dari rumah. Malam itu amat sejuk. Kadar suhunya -2 darjah celcius. Meskipun dinasihati supaya memakai pakaian tebal, saya ketika itu teruja untuk merasa kesejukan -2 darjah itu dengan sehelai jaket nipis, sarung tangan dan selapis stocking. Hujan turun renyai-renyai. Di pertengahan jalan, hujan yang turun renyai-renyai tadi turun seperti ais hancur, berterbangan ditiup angin malam yang cukup dingin. Di Denizli menurut suami saya, salji biasanya turun dalam kadar sederhana, tidak seperti di Gümüşhane, yang kadar sederhananya lebih tinggi, dan ada mencecah setinggi 1 meter. Oh Allah, mengapa saya tidak di Gümüşhane, ya?! Atau kenapa tidak di Erzurum dengan kesejukan mencapai -30 darjah?
Saya dan suami pulang ke rumah pada jam 11 malam, setelah 2 jam di luar. Kaki saya sejuk seperti ais. Beku. Saya segera ke ‘soba‘ dan memanaskan diri. Setengah jam kemudian…
…saya terlantar di katil dengan 3 lapis yorgan tebal. Seram sejuk. Menggigil tanpa henti dan mula demam. Saya separuh ketawa dan separuh menangis. Ketawa kerana ibu mertua saya tersenyum sambil menggeleng-geleng kepala mendengar penjelasan suami saya, dan menangis kerana tidak tahan kesejukan ‘luarbiasa’ ini. Ibu mertua saya atau Anne (panggilan untuk ibu) segera memerah buah lemon kuning.
Anne menghulur segelas kecil pati limon kuning yang telah diperah. Tanpa gula dan tanpa bancuhan air. Hanya pati. Saya meneguknya.
“Ay Allah, Anneciğimmm.. masamnya yaaaw!”
“İç..iç..(minum..minum..)” jawab Anne.
“Mehmedim, berapa biji punya limon ni??” tanya saya kepada suami.
“Berapa ya Anne?” Tanya suami saya kepada ibunya.
“Beş..” kata Anne sambil menunjukkan 5 jarinya.
Padanlah masam sangat. Rasa hilang lidah sekejap. Ibu saya pula risau kalau-kalau saya diserang sakit perut. Saya terus menggigil kerana seram sejuk dan akhirnya terlena.
45 minit kemudian saya terbangun. Yorgan setebal 3 lapis kini terasa cukup panas. Gigil saya hilang. Demam saya kebah. Saya ke ruang tamu. Anne, Baba, Mak, Ertuğrul dan suami saya masih belum tidur..
“Oh, dah bangun ‘bebek‘ ni.. Boleh sediakan kami teh?” seloroh Mehmet dan mereka semua tergelak.
* * * * *
Lemon atau Limon yang berwarna kuning ini mempunyai khasiat yang cukup baik untuk kesihatan. Saya telah diserang ‘kejutan’ demam sejuk ini beberapa kali, dan dengan izin Allah limon inilah penawarnya. Sepanjang waktu itu saya tidak ke klinik, tidak mengambil ubat demam. Ia juga baik untuk flu atau selsema. Jika demam, anda akan kebah. Jika kesejukan, anda akan rasa lebih selesa setelah minum jus/pati limon. Sebaiknya diminum tanpa gula, tanpa bancuhan air. Jika boleh, perah 3-4 biji limon untuk sekali minum.
Bagi yang tidak tahan masam :
1. Kupas 4-5 biji buah limon kuning sehingga nampak isinya
2. Potong di bahagian tengah dan asingkan bijinya
3. Masukkan dalam mesin pengisar, isikan 2-3 gelas air, dan tambah gula jika mahu.
4. Kisar.
5. Sedia untuk diminum. Lebih baik jika diminum bersama isi / hampas yang dikisar sekali. Anda juga boleh menapisnya jika mahu.
Dalam sehari, cuba minum 2-3 kali (ketika sakit). Seminggu 1-3 kali. Ikut kesesuaian. Lebih sihat diminum setiap hari.
Petua ini sesuai untuk merawat demam, selsema, seram sejuk, sakit tekak dan batuk. Tentang kesan sampingan, setakat ini Alhamdulillah tiada, meski bagi yang alah pada benda masam.
Cubalah!
Glossari: Yorgan – selimut tebal; Beş – lima; bebek – anak kecil/bayi; soba - tempat pembakar kayu/pemanas

