Ibu saya selalu tidak ada selera makan, dan beliau berkongsi satu penyakit yang sama dengan suami saya, iaitu alahan perut. Waktu-waktu mereka diserang alahan ini, biasanya saya menyediakan masakan yang berasas kentang. Jom cuba resepi di bawah ini…
Bahan-bahan:
1. Kentang 10 biji – dikupas kulitnya dan dipotong dadu (16 atau 18 potongan)
2. 1 biji bawang besar (yang warna kuning) potong dadu
3. 3 biji tomato merah – dipotong dadu
4. Herba kisar Oregano
5. Garam secukup rasa
6. 5 sudu besar minyak zaitun
Cara membuatnya:
Panaskan minyak zaitun, masukkan bawang dan kacau hingga layu. Kemudian masukkan tomato yang telah dipotong dadu dan kacau. Pastikan api kecil. Setelah tomato hampir hancur, masukkan pula kentang dan kacau rata.
Tutup tudung periuk atau frying pan, dan kacau perlahan setiap 4-5 minit untuk pastikan kentang masak rata. Sebaiknya gunakan periuk tebal untuk mengelakkan kentang melekat, dan pastikan penutupnya ditutup rapat dengan api yang perlahan agar air kentang dan tomato tidak lekas kering. Usah tambah air. Untuk pastikan kentang sudah masak, ambil garfu dan cucukkan pada kentang. Jika sudah lembut, masukkan garam secukup rasa dan taburkan sesudu kecil herba oregano ke dalam masakan tadi dan kacau rata. Sedia untuk dihidang. Ianya cukup sedap untuk dimakan begitu saja, namun boleh juga dimakan bersama roti atau nasi.
Anda juga boleh masukkan sedikit daging yang telah dipotong kecil-kecil sewaktu memasukkan tomato. Pastikan periuk ditutup rapat dan biarkan daging dan tomato merenih dengan api yang kecil. Campuran air daging dan tomato akan menghasilkan rasa seperti perasa MSG, dan ianya akan menjadi lebih sedap dengan menambah sedikit garam dan perahan lemon. Selamat mencuba!
Nota: Anda juga boleh menggunakan Oregano segar – cincang halus sebelum memasukkan ke dalam masakan.


