Sedikit petikan bacaan jam 2.09 pagi ini..
Adapun Rasulullah s.a.w seorang yang amat fasih sekali dalam kata-kata dan amat manis sekali dalam tutur bicara. Baginda pernah berucap, ujarnya : Saya adalah orang yang sangat fasih bertutur dalam bahasa Arab.
Kata bicara Baginda sentiasa padat, lengkap, tidak panjang, tidak pendek sehingga amat mudah bagi orang yang mendengarnya untuk menghafalkan dan menurut arahannya. Apabila bercakap, suara Baginda sangat nyaring, indah tekanannya apabila didengar. Baginda tidak berbicara tanpa perlu. Tiada berkata-kata dalam ketika redha atau marah, kecuali yang hak semata-mata. Apabila mendengar ada orang yang berbicara kurang baik, Baginda akan memalingkan mukanya dari orang itu. Tetapi apabila ada sesuatu yang harus disampaikan, sedangkan ia benci kepadanya, maka Baginda akan menggunakan kata-kata kiasan atau sindiran.
Apabila Baginda berbicara dalam sesuatu majlis, semua para hadirin akan mendengar dengan penuh minat. Apabila Baginda selesai dari bicaranya, barulah para hadirin pula berbicara, seorang demi seorang tanpa bertelingkah antara satu dengan yang lain. Dalam semua perbicaraannya, Baginda sering isikan dengan kata-kata yang hak dan nasihat-nasihat berguna.
Baginda seringkali tersenyum dan tertawa di hadapan para sahabatnya. Sering terharu terhadap apa saja yang dibicarakan oleh mereka, malah kadang-kadang Baginda turut sama dalam perbicaraan itu. Ada kalanya Baginda tertawa agak melebar sedikit hingga ternampak gigi-gigi serinya. Manakala para sahabat turut ketawa sama, tetapi tidak lebih dari sekuntum senyuman, kerana menuruti jejak langkah Baginda sambil menghormati kedudukannya di dalam majlis.
Dari muka surat 394-395 : Percakapan Rasulullah dan ketawanya… [Bimbingan Mu’minin – Imam Ghazali)
(Oh Allah, saya sudah lama jatuh cinta dengan lelaki hebat ini…
)
Salawat dan salam atas Baginda Rasulullah s.a.w..

