Daripada: SOPHA SULAIMAN
BELUM pun selesai bantahan Indonesia terhadap Malaysia kerana menggunakan lagu Rasa Sayang dalam promosi kempen Tahun Melawat Malaysia 2007, kini timbul pula dakwaan bahawa Malaysia menggunakan satu lagi lagu warisan negara itu, “Indiang Sungai Garinggiang” pada Forum Festival Asia di Osaka, Jepun.
Perwakilan Indonesia dikatakan memprotes Tourism Pelancongan Malaysia kerana tidak memberikan penjelasan bahawa lagu itu berasal dari wilayah Sumatera Barat Indonesia.
Indonesia yang turut serta dalam festival pelancongan pada 12 hingga 14 Oktober lepas, tidak senang dengan penggunaan lagu itu dan menghantar surat bantahan kepada pejabat Tourism Malaysia pada 19 Oktober lalu.
Lagu “Rasa Sayang” yang dinyanyikan oleh etnik serantau sejak dulu, kini tidak lagi memberi makna untuk menunjukkan rasa kasih dan sayang antara rakyat Malaysia dengan rakyat Indonesia.
Lagu yang selama ini menjadi jambatan hubungan budaya kedua negara sudah mulai dipertikaikan hak milik dan penciptanya.
Namun lagu yang menjadi siulan rakyat kedua negara tanpa mengira keaslian lagu itu kini turut dikaitkan dengan kes-kes penganiayaan pekerja Indonesia di Malaysia dan pelbagai kes yang melibatkan rakyat Indonesia.
Malah lagu yang sering didendangkan bersama oleh artis Malaysia dan Indonesia juga dikaitkan dengan isu politik seperti Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan serta blok Ambalat yang menjadi “rebutan” kedua-dua negara.
Kemungkinan lagu, filem dan variasi bidang kesenian juga akan merenggangkan Malaysia – Indonesia jika isu terus diperbesar dan dipertikaikan. Sedangkan satu ketika dulu bidang kesenian menyumbang kepada hubungan rapat antara rakyat kedua negara.
Sejak kebelakangan ini hubungan Malaysia – Indonesia dilihat turun naik, apatah lagi dengan kehadiran semakin ramai pekerja Indonesia yang mencari rezeki di Malaysia.
Sebarang kes di Malaysia walaupun sekecil mana pun akan diangkat menjadi isu di Indonesia walaupun kes-kes itu masih dalam siasatan dan sedang dibicarakan di mahkamah.
Apakah wajar isu lagu Rasa Sayang, penganiayaan terhadap tenaga kerja, tangkapan pekerja asing juga dikaitkan dengan pembelian kapal selam pertama oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Pembelian Scorpene secara rasmi dinamakan Kapal Diraja (KD) Tunku Abdul Rahman bagi mengenang jasa Perdana Menteri Malaysia pertama yang juga Bapa Kemerdekaan turut mendapat perhatian media di Indonesia.
Seorang pensyarah sebuah universiti menyifatkan pembelian kapal selam bernilai RM1.3 bilion bertujuan untuk “menakut-nakutkan Indonesia” dan bukan untuk berperang dengan negara jirannya.
Apakah wajar kenyataan seumpama itu dikeluar dan disiarkan oleh media tempatan.
Maka tidak hairan jika isu-isu sedemikian terus disensasikan dan boleh mempengaruhi rakyat negara ini untuk terus membenci Malaysia.
Sehingga di satu peringkat dakwaan dibuat bahawa rakyat Malaysia kini semakin angkuh dengan kemajuan pembangunan yang dikatakan turut disumbangkan oleh pekerja Indonesia.
Kemarahan rakyat Indonesia terbaru meletus apabila sebilangan mahasiswa mengadakan tunjuk perasaan di hadapan Konsul Malaysia di Medan.
Sebuah negara lain tidak boleh mengawal media negara lain selagi pemerintah negara itu sendiri tidak mampu mengawalnya. Tetapi media juga memainkan peranan dan tanggungjawab untuk menjaga hubungan baik antara kedua- dua negara, tanpa terkecuali dengan jirannya.
Mengambil sikap “berperang” antara media bukanlah satu jalan keluar sebaliknya mengundang keadaan yang lebih sulit buat kedua-dua kerajaan untuk memperbaiki hubungan yang keretakan.
Sebelum ini Indonesia dikatakan cukup berbangga dengan kebebasan media yang kononnya berada di tempat yang lebih baik jika dibandingkan kebebasan media di Malaysia, yang didakwa mereka dikawal pemerintah.
Bagaimanapun kebebasan media juga boleh menyumbangkan kepada kehancuran jika ia menyemarakkan kebencian antara rakyat yang selama ini cukup rapat dan memiliki sejarah hubungan yang panjang.
Naib Presiden Indonesia, Jusuff Kalla ketika mengulas hubungan Malaysia -Indonesia masa kini berkata hanya kemajuan ekonomi yang membuatkan sesuatu bangsa dihargai dan dihormati.
Politik kebencian dan tiadanya kepercayaan diri sebagai bangsa besar menjadikan Indonesia tidak bergerak maju seiring China, Singapura dan Malaysia walaupun negara ini mempunyai kekayaan alam semula jadi dan tenaga yang ramai, kata Jusuf di Makassar semalam.
“Mahu marah setiap hari, kita akan jadi bangsa pemarah. Benar kita harus mempertahankan maruah tetapi harus diingat, terdapat 1.5 juta warga Indonesia di Malaysia,” kata Ketua Umum Parti Golkar itu seperti disiarkan oleh akhbar Kompas.
– Utusan
Nota Kaki:
Beberapa minggu lepas saya terbaca satu komentar di sebuah weblog WordPress milik seorang saudara Indonesia kita. Dek kerana ter’emosi’ waktu itu, saya telah menghantar komen panjang kepadanya. Memang tak seharusnya hal kecil-kecil diperbesarkan hingga menyebabkan kita bermusuhan tanpa sebab munasabah. Cuma saya menasihati diri sendiri, janganlah merendah-rendahkan sesama insan. Tidak kira apa bangsa sekali pun, mereka tetap manusia, ada naluri seperti kita. Saya teringat suatu waktu saya sampai di KLiA awal pagi bersama suami dan ibu saya. Meskipun suami saya warga Turki, tetapi dibenarkan untuk beratur di bahagian yang dikhaskan untuk Malaysian. Pihak imigresen juga menyambut dengan muka manis dan berbudi bahasa, tambahan ada kad expatriate. Saya berterima kasih untuk itu, tetapi sejurus selepas mengecop pasport saya, kakitangan imigresen itu bertempik dan mengherdik kasar seorang warga Nepal yang datang bertanya sesuatu kepadanya. Saya terkejut dan rasa kasihan, melihat hampir 20-30 orang warga Nepal yang duduk dan berbaring di lantai.. tidak dapat melepasi imigresen dan telah tunggu berjam-jam (ini pun petugas imigresen yang beritahu). Diherdik kerana menurut petugas itu, sudah berapa kali mereka bertanya hal yang sama. Fikir saya, semuanya bersebab. Petugas itu pasti marah kerana diganggu berkali-kali dengan pertanyaan sama. Manakala warga Nepal itu pasti cukup letih menanti bila waktu mereka boleh melepasi imigresen. Saya kasihan semuanya. Baik petugas mahupun warga asing Nepal itu, kedua-duanya insan seperti saya, yang saya perlu hormati. Tak tahu nak mengadilinya bagaimana. Bagi saya, berbudi bahasalah selagi termampu. Atau diam itu lebih baik jika tidak dapat berkata sesuatu yang baik dan yang hak. For Malaysians, usah pandang rendah kepada warga asing yg datang bekerja sebagai buruh am atau pembantu rumah, dan bukan sebagai Expatriate. Dan untuk warga asing yang ke sini, usah wasangka dan jaga tingkah laku supaya masyarakat setempat menghargai kehadiran kamu semua ke sini. Bumi ini milik Allah, untuk kita kongsi bersama mencari rezeki dan membina kehidupan. Kasih sayang sesama manusia tak ada sempadan bangsa, agama, ataupun kedudukan… Hmm.. tambah dengan isu perang media, apa nak jadi ni, ya? Moga Allah beri kedamaian hati kita untuk berfikir yang baik-baik. Amin.
..Ay Allah, susah kalau hidup tak ada akhlak…
tulis-tulis @ayzagursoy.wordpress.com
