Dari mana datangnya cinta, dari mata turun ke hati… Benarkah? Untuk saya, cinta saya lahir dari hati, baru naik ke mata
..
2 hari lepas, semasa membuat bayaran di kaunter tunai Jusco, cashier wanita itu berkata kepada saya,
“Handsomenya suamiiii…!” matanya memandang saya.
Saya memandang kiri, kanan. Tiada siapa. Sahih dia sedang bercakap dengan saya. Saya yang berdiri di kaunter itu dengan Ertugrul, tersenyum. Tak pasti nak jawab apa. Mata perempuan itu kemudian menoleh ke arah lif.
Di dalam kereta saya bertanya kepada suami saya,
“Mehmet, awak nampak perempuan di kaunter tunai tadi?”
“Takde, Haiza.. kenapa?”
“Dia kata awak handsome.”
“Bodoh dia! Kan saya tunggu di lif..!?” kata Mehmet.
“Saya tak rasa bodoh, cuma saya pelik, bila pula dia nampak awak? Sebab yang ada dekat dengan saya hanya Ertugrul dan Mak. Pantas mata dia ya?!”
“Gatal!” kata Mak dari belakang.
Saya cuba mengingatkan beberapa hal yang terjadi sebelum ini.
Setahun lepas, ketika kami menunggu di pintu lif, yang juga di Jusco, ada seorang perempuan bertudung memakai t-shirt tangan pendek berwarna kuning. Sewaktu melangkah ke pintu lif, perempuan itu pun masuk sama dan tangannya terus menyeluk ke lengan Mehmet. Mehmet tak perasan, tapi bila memalingkan muka kepada perempuan itu, dia terkejut. Perempuan itu terus beralih ke sudut sana berdiri tersenyum sendiri. Saya melihat mukanya dengan rasa pelik bercampur jelek. Ketika duduk di kafeteria, saya bertanya Mehmet.
“Kenapa dengan dia ya, Met??”
“Ha’ah, dia buat apa tadi??”
“Awak masuk dulu, lepas tu dia terus lalu depan saya dan seluk lengan awak..”
“Masalahnya saya tak perasan waktu dia buat macam tu. Saya ingatkan awak!” keluh Mehmet.
“Mana rasa malu dia ya? Perempuan, bertudung pula tu, dan saya yakin dia nampak saya.”
“Sorry Haizam..”
“Tak.. bukan salah awak. Tapi saya pelik betul perempuan tu. Kenapa ya?? Takde maruah ke?”
Sehingga hari ini saya rasa pelik kejadian tu. Pelik manusia ni.
Pada penghujung tahun 1999, Mehmet datang ke Malaysia untuk bertemu saya buat pertama kali. Sehari selepas itu, seorang rakan baik saya datang bersama ibunya untuk melihat Mehmet. Ibunya sungguh teruja melihat Mehmet, cuba berbual dalam bahasa Inggeris. Saya memperkenalkan Mehmet dengan rakan saya itu serta ibunya. Sewaktu saya menghidangkan air, ibu rakan saya itu berkata…
“Ini anak perempuan saya, XXX namanya. Putihkan dia? Cantikkan? Di rumah makcik, ada ramai lagi. Semua kulitnya putih-putih, cantik-cantik!” katanya tersenyum sambil meneguk air oren yang saya hidangkan. Matanya melekat memandang Mehmet.
Waktu itu Mehmet melihat saya dan mencemikkan bibirnya. Saya tergelak. Pelik melihatkan perlakuan makcik tadi. Rakan saya si XXX itu memang putih ‘melesit’, tidak seperti saya yang ‘esmer‘ atau sawo matang. Namun tak sangka pula saya makcik tadi sanggup bercakap sedemikian. Manusia manusia..
Saya tidak terkesan apa-apa dengan hal seperti ini. Tidak juga marah. Terpulang kepada mereka yang suka melakukan hal seperti ini. Cuma saya rasa malu melihat wanita yang sanggup buat begitu demi lelaki.
Bercakap tentang lelaki, bagaimana anda memandang seorang lelaki yang lalu di hadapan anda?
1. Bayangkan, anda seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun (tingkatan 5) dan sedang duduk di padang sekolah pada waktu Pendidikan Jasmani. Di padang, ramai pelajar lelaki seusia anda, berlari ke hulu ke hilir mengejar bola. Bagaimana anda melihat mereka? Begitu juga ketika menunggu bas di perhentian. Ramai pelajar lelaki. Bagaimana anda memandang mereka?
2. Bayangkan, anda di terminal lapangan terbang KLiA. Anda seorang wanita (tidak kira sudah berkahwin atau belum). Ramai warga asing yang lalu lalang, pelbagai rupa. Katakanlah, anda terlihat sekumpulan atau seorang lelaki muda yang kacak dan segak lalu dan duduk di hadapan anda. Bagaimana anda melihat mereka?
3. Bayangkan, semasa kuliah, guru anda adalah seorang lelaki yang tampan dan memenuhi citarasa dan dia sedang mengajar di hadapan. Bagaimana anda melihatnya?
4. Bayangkan, seorang lelaki yang anda minati sedang duduk di meja makan sebelah sana sewaktu anda sedang duduk mengulangkaji di cafe. Bagaimana anda memandangnya? Apa perasaan anda waktu itu?
Saya pasti, masing-masing ada jawapannya sendiri. Tidak semua betul, dan tidak semua salah.
Bagi saya, apa jua keadaan, sebagai gadis mahupun wanita, single atau sudah berkahwin, kita tidak seharusnya memandang lelaki dengan perasaan dan fikiran yang tidak terkawal. Hadkan pandangan mata. Hormati sesama manusia. Saya tidak sarankan agar tidak memandang mana-mana lelaki yang ada di sekitar anda, tetapi hadkan. Fikirkan maruah anda sewaktu anda melihat mereka. Kita wanita, kita ada harga diri. Ada maruah. Sama ada anda cantik atau tidak, anda tidak perlu berlebih-lebihan ketika memandang lelaki. Jika memandang sepasang suami isteri dan anak-anaknya sedang berjalan, pandanglah wajah isterinya dahulu dan anak-anaknya sebelum anda memandang suaminya. Atau anda boleh abaikan dari melihat suaminya. Ini suatu tanda hormat.
Hadkan pandangan kita agar tidak tersasar. Memandang dan melihat dengan tujuan. Tujuan waspada, mengenalpasti, mengkaji tingkah laku dan sebagainya, tetapi tidak dengan tujuan yang lagha atau keluar dari etika adab. Jika anda pernah menonton telenovela Brazil, cuba lihat perlakuan kebanyakan wanita mereka. Sekali melihat lelaki kacak, pelbagai idea ‘murahan’ dipraktikkan. Hilang adab, hilang maruah diri. Kenapa harus jadi begitu? Begitu juga dengan kebanyakan wanita kita yang selalu terpesona melihat warga asing yang datang berkunjung ke sini. Apa hebatnya mereka sehingga anda perlu merenung wajah mereka seadanya? Satu, ini mungkin kali pertama anda melihat mereka, tetapi jangan sampai anda digelar orang ‘jakun’ yang tidak pernah tengok orang! Jika seorang lelaki tersenyum kepada anda, kenapa harus fikir dia menyukai anda? Relaks. Jangan gabra! Ini fenomena biasa selagi kita menjadi manusia. Balas senyumannya, dan fikir positif! Senyuman itu satu sedekah…
Cuba latih diri anda, tidak kira siapa lelaki pun yang lalu di hadapan anda, perhatikan mereka dengan had masa 2-3 saat setiap orang. Dan kemudian alih pandangan anda, mungkin pada buku atau bacaan, lantai, tangan atau barangan sekeliling anda. Begitu juga ketika melihat orang yang ‘handsome’ lalu di hadapan anda, tak usahlah dipandang habis-habisan. Ini tidak beretika, tidak berakhlak. Malah anda memberi satu persepsi kepadanya yang anda ini ‘wanita murahan’ atau anda menjadikan lelaki tadi lebih ‘perasan’! Jika anda melihat seseorang dengan persepsi, orang lain juga begitu. Kepada cashier perempuan di Jusco tadi, waktu itu saya tiba-tiba melihatnya seperti cipanzi yang sedang mengelip-ngelipkan matanya!
Saya yakin, ramai wanita mempunyai persepsi yang sama seperti saya. Bagi saya budaya ‘jakun’ ini perlu dibuang jauh-jauh. Memalukan diri sendiri dan memalukan kaum wanita. Apatah lagi jika anda meluahkannya. Sesuatu yang memalukan pada pendapat saya. Bagi wanita yang menghadapi masalah ini, juga jangan panik atau marah. Tidak perlu memeluk lengan suami anda erat-erat ketika berjalan kerana bimbang digoda. Relaks. Anda tampak lebih anggun dengan sikap tenang.
Saya pernah bertanya kepada suami saya,
“Apa yang membuatkan awak jatuh cinta dengan saya?”
“Kerana awak satu-satunya wanita yang tidak memuji saya ‘handsome’ dan awak tidak hairan dengan saya masa berkenalan dahulu!”
Ay Allah…
fikir-fikir@ayzagursoy.wordpress.com
