Sambungan dari Cinta dan Mazhab..
Itu tentang bersalaman. Saya alihkan kepada subjek air sembahyang atau wudhu’. Suami saya bermazhab Hanafi, manakala saya Syafie. Saya selalu hati-hati berjalan di sekitar suami saya jika saya berwudhu’ kerana takut bersentuhan, dan wudhu’ saya batal. Tapi tidak untuk mazhab Hanafi. Suami saya boleh menyakat lagi untuk menyentuh kulit saya kerana ia tidak membatalkan wudhu’nya selagi tiada perasaan apa-apa sewaktu bersentuhan. Errghh! Geramnya!
Saya bersolat wajib, ada sunat sebelum dan selepas yang ringkas. Syafie ada rutin doa dan zikir selepas solat. Mehmet akan solat lebih panjang daripada saya. Zuhur misalnya, 4 rakaat sunat sebelum, 4 rakaat solat wajib, dan 4 rakaat solat sunat selepas. Dan terpulang jika ingin menambah sunat lagi. Ada banyak kelebihan dalam mazhab Syafie dan banyak kelebihan Hanafi. Beberapa kali saya diajak untuk bertukar mazhab, namun saya memutuskan untuk mempelajarinya se’detail’ Syafie, dan setelah itu saya akan menukarnya. Mazhab bukan isu ringkas untuk jadi ikut-ikutan tanpa ilmu. Ia adalah ikutan dengan ilmu.
Kenapa perlu berilmu sebelum menukar mazhab? Ceritanya mudah. Supaya jelas dan tiada salah faham sewaktu mengamalkannya. Saya pernah menukar mazhab seketika, itu pun sewaktu bertawaf mengelilingi Ka’abah. Orang-orang yang bertawaf ada yang tinggi, rendah, besar, kecil.. campur semua lelaki perempuan. Ada yang punyai belas kasihan tidak melanggar sesama sendiri, ada yang bersiku tajam asyik menyiku sepanjang jalan. Belum lagi yang buat barisan, berkumpulan, berlari-lari anak dan pelbagainya. Saya tidak terkecuali dari menjadi mangsa yang sering tersentuh bahagian pipi. Tapi itu cerita lain. Itu cerita ibadah umrah atau haji. Ini cerita ringkas pengalaman saya sewaktu di Turki. Ketika itu saya pregnant 4 bulan setengah, musim cukup panas dan saya sekeluarga ke Antalya mengunjungi rumah saudara Mehmet. Ada dua keluarga, satu anak Saffet Yenge, dan satu lagi kakak Saffet Yenge. Oh Tuhan. Keluarga kakak Saffet Yenge ini telalu sosial. Jauh beza dengan keluarga suami saya. Meskipun terlalu sosial, budi bahasanya, hormatnya dan cara mereka memuliakan tetamu, saya tidak dapat nafikannya. Itu memang darah daging orang Turki. Tak kisahlah orang jahat atau orang baik, perompak Turki pun berbudi bahasa. Di Antalya, cuaca cukup panas. Panoramanya juga cantik. Pantainya indah sekali. Di jalanan bersepah pengunjung baik yang berbangsa Turki mahupun pengunjung asing, mereka hanya memakai bikini untuk ke pantai. Saya terkejut dengan keadaan ini, tapi itulah Antalya sewaktu musim panas. Malam harinya ada percikan bunga api di sana sini yang anda dapat lihat di udara. Semasa bersantai di balkoni rumah Zehra – anak Saffet Yenge, ada beberapa kereta kuda berhias lalu. Sama seperti kereta kuda dalam cerita dongeng Cinderella. Cantik suasana malam di Antalya. Sungguh, ini realiti. Tapi saya bukan hairan untuk bercerita tentang mistik di Antalya. Masih tentang cerita mazhab dan ilmu.
Kejadian 1 : Salah satu rumah yang saya kunjungi di Antalya adalah mereka yang memang biasa minum minuman keras. Saya dapat tahu pun dari bisik-bisik, telinga ke telinga. Satu perkara yang saya tidak tahan adalah adat berkunjung yang memakan masa berjam-jam. Tidak sah jika tidak mencecah 5-6 jam sekali kunjungan. Jadi, hari itu kami dijamu dengan makan tengahari. Ibu mertua saya ke dapur memastikan yang semuanya ‘okay’ dan selamat untuk dijamah. Salata yang disediakan cukup sedap hari itu. Dalam ramai-ramai itu, ada pula berseloroh, “Macam-macam cara buat salata yang sedap. Ada resepi yang letak wain.. apa nama wain tu?”
Kejadian 2 : Keluarga Zehra di Antalya mengajak kami ke suatu taman rekreasi yang ada air terjun. Ramai orang hari itu. Yang datang bersama kami ada 2-3 kereta. Ramai juga, siap dengan bekalan makanan dan pakaian. Saya dibawa rata melihat-lihat kawasan rekreasi itu. Kerana semalamnya saya tidak dapat tidur, dan saya dehidrat kekurangan air, saya tidak ceria. Wajah saya pucat. Saya jadi begitu kerana tidak tahan dengan Antalya yang ‘out’ daripada senarai kunjungan saya. Cantiknya Antalya tidak sedikit pun menggembirakan hati saya. Saya ingin lekas pulang ke Denizli, yang damai dan banyak air mata air yang bersih. Mata saya bebas di Denizli. Disebabkan saya yang tidak ‘teruja’ dengan keindahan taman rekreasi yang ramai orang mandi-manda itu dan kesihatan yang kurang memuaskan, Mehmet minta untuk pulang. Jadi, kerana saya, semua orang terpaksa pulang. Tidak jadi untuk berpiknik. Mereka tertanya-tanya, kenapa dengan saya? Saya tidak sihat? Saya tidak suka dengan layanan mereka? Saya diamkan diri, dan terus ‘memucat’.
Kejadian 3 : Waktu di Antalya terpaksa disingkatkan. Saya ingin pulang ke Denizli meskipun Saffet Yenge belum lagi puas berjumpa Zehra dan cucunya Fewzi. Namun mereka tak sampai hati membiarkan saya pulang saja bersama Mehmet dan Mak. Jadi kami bersiap. Zafer adik bongsu Mehmet ikut saja. Saya yakin dia pun tidak selesa di Antalya seperti saya. Petangnya kami turun dan menunggu di perhentian syarikat bas Pamukkale.
Kejadian 4 : Ini sambungan daripada kejadian 3. Semasa menunggu bas untuk ke terminal bas utama, saya terlihat seekor anak anjing berwarna hitam yang bulu-bulunya kebasahan. Mukanya comel sekali, dan duduk di atas kerusi berdekatan saya. Sejurus kemudian Saffet Yenge menghampiri saya, “Silakan Haiza, kenapa tak duduk? Nanti letih kaki kamu?!” Bukankan ini suatu pelawaan yang baik? Ya, tapi waktu itu saya menjawab, “Tak apa Saffet Yenge, saya berdiri sahaja. Terima kasih. Lagipun ada anak anjing di situ..” Saffet Yenge tersenyum, dan terus ke arah anak anjing itu. Dia mencuit-cuit mulut anak anjing itu yang kadang-kadang menjelirkan lidahnya. Dia kemudian mengambil dan bermain-main anak anjing itu sebelum duduk di kerusi. Oh Tuhan! Apa yang sepatut saya fikirkan sekarang?
Kejadian 5 : Sampai di terminal bas Antalya, sudah masuk waktu Maghrib. Kami mengambil masa beberapa minit sebelum naik ke bas. Sewaktu di dalam bas, Saffet Yenge naik sambil membawa bungkusan yang berisi roti simit dan beberapa jenis yang lain. Dia menghulurkan 2-3 keping roti kepada saya dan kembali duduk di sebelah Mak. Menurut Mak, Saffet Yenge melayannya baik sekali, membancuhkan teh, menyiatkan roti.. Oh Tuhan!
5 kejadian ini sebenarnya tiada apa-apa yang menarik. Ia adalah perspektif saya yang ‘jumud’ ketika berusia awal 22 tahun, yang hakikatnya masih mentah dalam menilai banyak perkara.
Saya akan sambung lagi..
fikirsantai@ayzagursoy.wordpress

[...] Aralık 4, 2007 yazan: Ayza Gursoy Sambungan dari Cinta dan Mazhab II.. [...]