Tajuk ini mungkin tiada kena mengena dengan keseluruhan tulisan ini. Namun tajuk ini yang terlintas di fikiran saya untuk menulis catatan waktu ini.
Hari ini Mehmet ke Kuala Lumpur bersama Hakan, Fatih dan Ömer, untuk berjumpa beberapa kenalan warga Turki yang tinggal di sana. Antaranya En. Yilmaz wakil hizmet dan En. Ömer yang menterjemah Risale-i Nur karya Said Nursi ke Bahasa Melayu. Saya sempat berjumpa suami saya kurang 1 jam setelah dia pulang dari tempat kerjanya sebelum bertolak. Syukurlah saya sempat menyediakan hidangan ringkas, tapi panas-panas.
Sudah 2 kali saya menerima panggilan dari Mehmet. Yang lainnya putus-putus kerana handphone yang sudah berusia. Sejak handphone baru saya yang canggih dicuri oleh warga ‘HiNDRAF’ tahun lepas, saya tidak berminat lagi dengan telefon tangan. Membazir saja saya mendapatkan telefon yang bagus, sempat mengambil nombor pendaftaran kereta pencuri HiNDRAF itu, tetapi sia-sia saja. Tidak dapat dikesan. Oleh itu saya tidak akan membazir lagi dengan telefon tangan, lebih baik saya salurkan untuk buku, komputer, pda, handycam dan yang sewaktu dengannya. BUKAN TELEFON. Saya sempat berpesan pada Mehmet untuk mencampakkan telefon zaman batu itu ke Sungai Kelang kalau dia berkesempatan ke situ..
Jam sudah pukul 11.04 malam. Rindunya saya pada Mehmet. Semoga dia pulang dengan selamat malam ini, Amin ya Allah.
* * * * *
“Mak, bagaimana kalau lelaki nak bersalam dengan kita walaupun kita tak boleh salam sebenarnya?” tanya saya pada Mak semasa bersantai petang tadi.
“Tak payah salam. Angguk saja pun dah memadai..” jawab Mak.
“Tapi Mak, kalau dia dah hulur tangan depan-depan orang, takkan kita taknak sambut Mak?” soal saya lagi.
Hal ini pernah saya tanyakan kepada Ustazah Fatimah yang mengajar saya di Tingkatan 3 dan 4 di St. David’s High School. Meski sekolah ini bekas sekolah mubaligh dan kelihatan tidak begitu Islamik, tetapi tenaga pengajar pendidikan Islamnya berjuang habis-habisan untuk mengajar kami. Ustazah Fatimah adalah yang terbaik pernah saya jumpa.
“Macam mana Ustazah?”
“Tak usah salam..”
“Kalau saya simpan tangan saya di belakang tudung dan salam beralaskannya, boleh? Hanya untuk hormat, Ustazah?!”
“Hakikatnya awak tahu, tak bolehkan? Jangan matlamat membenarkan cara..” senyum Ustazah meleret jelas di mata saya.
Parah. Meskipun begitu, saya tetap mengelakkannya. Saya lebihkan senyuman dan mengangguk kepala untuk zahirkan hormat. Saya pernah dikecam dengan sikap tidak mahu bersalaman. Pada guru dan rakan-rakan lelaki yang ingin bersalaman pada hari terakhir persekolahan, saya gantikan dengan ucapan ‘terima kasih’ dan ‘jumpa lagi’.
Suatu hari di Turki pada pertengahan tahun, rumah Anne diziarahi keluarga Fercami Dayı. Semua memerhatikan saya dan meminta saya bersalam dengan ayah saudara Mehmet. Oh Tuhan. Saya mengangguk saja, tetapi saya diminta bersalam. Secara terpaksa saya bersalam, mengucup tangannya dan meletakkannya di dahi. Fikiran saya masih teringatkan kata-kata Ustazah Fatimah.
Baru-baru ini saya mengunjungi satu majlis perkahwinan saudara dekat. Bapa pengantin itu sepupu lelaki saya, dan kerana gembira melihat kami datang, dia memeluk Mehmet dan terus menangkap tangan saya untuk bersalaman. Bagaimana tu? Begitu juga sewaktu hari perkahwinan saya, tetamu yang datang untuk menepung tawar rata-ratanya bersalaman dengan kedua-dua mempelai, tidak kira tetamu lelaki atau perempuan, majoritinya menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan saya. Secara jujur, saya hulurkan tangan menyambut salam-salam mereka walaupun terpaksa. Bagaimana tu? Saya pasti, hukum tetap hukum. Dosa tetap dosa.
Nanti saya sambung lagi. Mehmet telefon..
fikirsantai@ayzagürsoy.wordpress

[...] Aralık 2, 2007 yazan: Ayza Gursoy Sambungan dari Cinta dan Mazhab.. [...]