Sambungan dari Cinta dan Mazhab II..
Yang harus dan tak harus saya fikir untuk 5 kejadian sebelum ini…
Kejadian satu : Kita ada adab bertandang dan adat merai tetamu. Secara hak, tuan rumah ini telah pun merai saya sekeluarga seadanya. Saya bersyukur dan berterima kasih untuk itu. Seharusnya saya buang wasangka, apa jua wasangka. Ibu mertua saya ada bersama mereka sewaktu menyediakan yemek. Saya tidak boleh mengukur seseorang dengan hanya dengan tudung kepala dan menutup aurat semata-mata. Saya harus melihat dengan perspektif meluas. MELUAS. Hakikatnya tuan rumah itu pun maklum dengan pegangan kami semua. Ay Allah.
Kejadian dua : Ya, saya yakin hari itu jika saya tidak ‘memucat’ (dan saya bukan sengaja ‘memucat’kan diri), piknik hari itu akan diteruskan sehingga ada yang mandi-manda. Saya kira, itu hampir pasti terjadi. Saya juga tidak mahu bayangkan pakaian yang mereka bakal sarungkan untuk mandi-manda. Cuma saya kesal, kerana saya, semua orang terpaksa batalkan piknik hari itu. Seharusnya saya dan Mehmet cuba merancang sesuatu untuk keluar sebentar dari tempat tersebut untuk pelbagai alasan yang tidak memberi kesan kepada sesiapa. Mereka tidak tahu yang saya seorang yang ‘anti sosial’ dan tidak suka dengan kesosialan mereka. Saya silap untuk mempamerkan sikap itu. Mehmet, Zafer, Anne dan Mak, juga bukan seperti mereka, tetapi mereka tidak pula memperlihatkan sikap seperti saya. Saya belajar dari kesilapan ini.
Kejadian tiga : Saya tidak tahu apa harus saya buat waktu itu. Ketidak selesaan di Antalya, panas terik dan hawa kering, dehidrat, tidak sihat, membuat saya ingin lekas pulang. Mereka pula lebih fokus kepada saya kerana saya orang asing. Kalaulah saya boleh jadi halimunan.
Mungkin jika saya di usia ini, saya tidak akan mendesak untuk pulang. Saya akan mencari alternatif lain. Apa saja alternatif yang munasabah untuk tidak dilihat sebagai orang yang tidak masbuk! Saya perlu jadi mukminah yang positif yang menggunakan fikiran, bukan emosi.
Kejadian empat : Oh Allah, hal ini saya amat tidak suka. Sebab? Sebab saya ketika itu dangkal pengetahuan tentang Hanafi. Sewaktu Saffet Yenge bermain anjing itu sambil menyentuh mulut, saya sudah hilang sabar sebenarnya. Saya mendekati Mehmet dan bertanya, “Mehmedim, tak salah ke dia buat begitu? Mehmet, saya tak faham, kenapa semua di Antalya macam tak tahu hukum??” Mehmet diam saja, dan melangkah ke tepi jalan memerhatikan bas. Saya bingung. Zafer memandang saya. Senyum.
“Zafer, kamu pegang anjing tak?”
“Tidak. Saya tak suka anjing.”
“Dalam mazhab kamu benarkan kamu pegang?”
“Ya.. kenapa Nurhaiza?”
“Dalam mazhab saya, jika basah seperti anak anjing tadi, tak boleh pegang. Jika kita sentuh lidah atau air liurnya, atau tersentuh waktu ia basah, kena samak..” jawab saya sambil menerangkan cara-cara samak.
“Ohh.. Syafie begitu?! Dalam Hanafi, kalau kamu ada wudhu’ dan memegang anjing, kamu boleh terus menunaikan solat. Paling tidak pun basuh tangan sahaja. Cuma saya dan semua ahli keluarga tak suka dengan anjing. Dalam Hanafi tak masalah..”
Oh Allah. Padanlah Mehmet diam saja. Tetapi bagaimana saya boleh tahu jika tiada siapa yang memberitahu. Terima kasih Zafer. Meski ringkas, saya faham. Saya teringat ketika saya mengambil Anne dan Zafer dari KLiA pada tahun 2002, dan singgah di perhentian R&R, saya memberitahunya untuk solat Jamak kerana masa tidak lama. Zafer mengangguk berkali-kali, tetapi dia tidak solat Jamak. Saya tidak tahu kenapa. Sekarang saya tahu, semua ini kerana ada hukum-hukum yang dia patuhi dalam mazhab Hanafi yang berlainan dalam mazhab Syafie.
Bukankah ilmu itu penting sebelum bertukar ke mazhab lain?
Ada banyak lagi perkara yang berlaku sebelum ini mengajar saya tentang hakikat Hanafi.
Kejadian 5 : Apa pun yang saya rasa, sama ada suka atau pun salah faham, Saffet Yenge tidak terkesan apa-apa. Syukurlah saya masih belum fasih berbahasa Turkçe. Jika tidak, pasti sudah ada yang salah faham. Yang pasti, mereka sayangkan saya meski budaya dan cara kami berbeza. Saya ucapkan ribuan terima kasih untuk Saffet Yenge, Zehra sekeluarga, Gül Aişe dan sesiapa saja yang merai kami di Antalya. Saya hargainya.
Saya bersyukur untuk hari ini. Saya telah sampai hingga ke hari ini. Meninggalkan usia lepas yang masih banyak dengan topik ‘tidak tahu’. Dengan izin Allah moga hari depan, kita akan lebih matang, lebih berakal, lebih rasional. Yang lebih saya inginkan adalah, tidak tersasar dari jalan Allah. Saya tidak mahu masuk ke golongan yang beranggapan apa yang dilakukan sudah cukup betul dan menidakkan orang lain tanpa mengkaji sesuatu kebenaran atau kesilapan itu terlebih dahulu.
Saya pernah diajar kalimah ini sewaktu menghadiri Summer Camp di SABHA Training Centre Ulu Langat pada 1997. Anda di golongan yang mana satu?
1. Dia tak tahu, dan dia tak tahu apa yang dia tak tahu.
2. Dia tak tahu, tetapi dia tahu apa yang dia tak tahu.
3. Dia tahu, tetapi dia tidak tahu apa yang dia tahu.
4. Dia tahu, dan dia tahu apa yang dia tahu dan tak tahu.
Wassalam.
fikirsantai@ayzagursoy.wordpress.com

birde anlayabilseydik cok hos olurdu:)