Syukur Alhamdulillah, esok AyzaGursoy.Com akan menghantar parcel lagi ke Liverpool. Dua hari lepas AyzaGursoy.Com ke Yorkshire, UK. Dalam banyak negara luar, EU dan GB (Great Britain) adalah antara pengunjung tertinggi yang berkunjung ke AyzaGursoy.Com dalam tempoh 7 bulan beroperasi sepenuhnya menerusi online shop. Selain itu Australia, United Arab Emirates serta Singapore dan diikuti beberapa buah negara lain yang kerap singgah di kedai maya AyzaGursoy.Com.
Saya menulis bukan untuk berbangga. Tidak sama sekali. Cuma ingin merangsang minda sendiri dan minda pembaca, bahawa dunia Internet adalah sebuah dunia yang real dan bukan fantasi. Internet boleh digunakan untuk 1001 tujuan baik dan 1001 tujuan tidak baik. Sama peratusannya. Pilihan adalah di tangan kita sendiri.
Saya mengenali banyak insan menerusi Internet. Mehmet G. – suami saya yang suatu ketika dahulu sahabat baik yang banyak memberi sumber maklumat berkenaan perkembangan Islam di Turki, sejarah Usmaniyah dan apa saja tentang Turki. Dia juga yang merubah pemikiran sempit saya tentang sekularisme di Turki dan hakikat sebenarnya; Robby Ikrar – sahabat baik saya daripada Indonesia yang bertugas di bawah kedutaan Indonesia (KBRI) di Ankara dan Morocco, Selim Keskin yang menyalurkan maklumat tentang pelbagai gedung barangan wholesale di Istanbul, Fahri yang kematian ibu dari Gaziantep, Emine Mustafa – turkish yang tinggal di Australia yang mengajar saya membuat dolma menggunakan daun kobis, Suhairul Azrin – sahabat yang saya kenal pada musim bola piala dunia 2000 yang kini bertugas di Nias di bawah naungan MERCY, Moen Qandlore – sahabat baik dari India yang bertugas di Aljaber Group, Doha; Salima dari Uganda yang bercerita tentang kaum etniknya yang menyembah pokok, Ustaz Hasrizal – ustaz muda yang saya hormati penulisan dan pandangannya di Saifulislam.Com, Zamri di Indhibat yang memberi bantuan untuk masalah insomnia dan ramai lagi yang saya tak sempat tulis di sini… Ini belum termasuk tutor dan pensyarah-pensyarah online saya, rakan-rakan kelas dan rakan perbincangan forum untuk setiap semester.. masyarakat maya yang luas!
Mereka ini wujud. Dan kewujudan mereka membantu saya membentuk satu masyarakat atau komuniti di alam Internet. Sejak 1997 menggunakan perkhidmatan Internet, ranking komuniti rakan tertinggi yang saya perolehi sehingga kini adalah daripada Turki, dan Malaysia adalah ranking yang paling bawah!
(Apa saya perlu fikirkan? Malaysian tidak suka saya, mungkin, huh?! Atau mungkin anda rakan sebangsa atau serumpun saya yang seterusnya?
)
SURAT vs E-MEL
Ketika di Tingkatan 4 (SDHS) pada tahun 1996, kami sekelas diminta untuk mengarang surat tidak rasmi. Guru Bahasa Inggeris kami seorang wanita yang penyabar. Untuk menjadikan kelas Bahasa Inggeris kami lebih aktif, cikgu dengan kerjasama sebuah sekolah di Kuala Lumpur telah bertukar nama dan alamat. Seminggu berlalu, cikgu membawa 51 pucuk surat yang ditujukan kepada 51 orang pelajar di kelas saya, yang terdiri daripada 4 orang pelajar Melayu, 2 orang pelajar India dan selebihnya pelajar Cina dan seorang Cina Baba. Saya turut menerima sepucuk surat. Mulai hari itu kami mula menulis dengan lebih serius dan memastikan isi serta penggunaan bahasa adalah betul sebelum surat-surat kami dipos ke sekolah berkenaan. Kelas Bahasa Inggeris kami menjadi seronok sejak itu. Kami membacakan surat-surat yang kami terima di hadapan kelas, dan tertawa apabila ada yang menulis bahasa rojak. Ianya satu proses pembelajaran yang cukup baik! (meski kami tidak pernah bertemu dengan rakan-rakan dari sekolah KL itu..)
Suatu hari, cikgu memberitahu kami bahawa kami perlu memperbaiki bahasa Inggeris menjadi lebih baik, kerana kali ini kami diberi kesempatan untuk menulis surat di peringkat antarabangsa menerusi IYS (International Youth Service). Kami juga diminta memilih jantina rakan dan mencadangkan 5 negara yang diminati. Semasa mengisi daftar nama, saya telah memilih Arab Saudi, Iran, Egypt, England dan Turkey. Sebulan kemudian, sewaktu kelas Bahasa Inggeris, cikgu mengedarkan slip-slip nama yang dihantar oleh IYS ke sekolah kami. Daripada 5 buah negara yang saya pilih… di belakang slip tertulis :
Gamze Özçelik .. alamatnya dan Düzce, Turkey.
Yippie! Gembira saya hari itu. Ehsanullah rakan sekelas saya juga mendapat rakan dari Turki, seorang gadis bernama Filiz. Kelas bahasa Inggeris kami meriah sehingga ke akhir tahun. Surat yang ditulis ditunjukkan kepada cikgu untuk dinilai. Setiap bulan saya menulis kepada Gamze dan setiap bulan saya menerima sampul surat warna-warni daripadanya. Kami meraikan ulangtahun dengan menghantar hadiah, memperkenalkan negara masing-masing dengan bertukar-tukar poskad, merekodkan suara di kaset dan bertukar-tukar lagu. Saya mendapat banyak maklumat tambahan tentang Turki daripada Gamze, kerana sejak kunjungan pertama saya ke Turki ketika Tingkatan 3 pada tahun 1995, pengetahun saya tidak banyak berkenaan Turki.
Sejak masuk ke kolej dan Gamze mengambil peperiksaan besar pada tahun akhirnya di sekolah tinggi, kami terputus sementara. Tambah lagi dengan bencana gempa bumi, surat saya tidak lagi berjawab. Setelah bertahun menjejakinya menerusi Internet, suatu hari pada awal 2004, saya bertemunya di ICQ.
“Nurhaiza, ini saya, Gamze!”
“Gamze? Gamze Özçelik??”
“Ada Gamze lain yang kamu kenal?” tanyanya.
“Bagaimana saya boleh pasti kamu ini Gamze saya yang lama menghilang?” tanya saya.
“Tak percaya?”
“Hampir tidak percaya. Buktikan.” kata saya.
“Kamu masih ingat saya sebut SEL-AMAT TiNG-GAL dalam kaset yang saya hantar kepada kamu?” jawabnya.
Oh Tuhan! Saya merindui Gamze meski tidak pernah bersua muka dengannya. Dan kami masih terus berkawan…
REALİTİ dan HATİ BUDİ
Saya meyakini niat dan hati budi. Tidak kira ia wujud secara fizikal di hadapan mata atau maya, yang penting ketulusan dan hati budi. Untuk menerima yang tulus, kita juga perlu ikhlas. Ikhlas di alam realiti, dan ikhlas dalam alam yang BUKAN realiti. Dalam erti kata lain, ikhlas itu mesti jadi darah daging. Kerana ia bukan sesuatu yang boleh dibuat-buat mengikut waktu dan keadaan. Ia adalah sikap dan akhlak.
Selamat menikmati derik-derik hujan malam yang mendamaikan…
Wassalam.
- Nurhaiza Zubir
Melaka, MALAYSIA
Fikirsantai@ayzagursoy.wordpress.com


selamaleykum…
terima kasih atas ukhuwwah antara kita sekeluarga. lama saya tak dengar khabar berita dari Mehmet Hocam.
Sampaikan salam saya untuknya..
Assalamualaikum.
Saya menjadi lebih rapat dengan adik saya, Donut, melalui hubungan maya. Bagi saya, ia saluran yang sangat selesa. Terima kasih adikku.
Aleykum selam Hasrizal Hocam,
Terima kasih kerana sudi singgah ke sini. Dan terima kasih juga atas ukhuwah yang terbina. Mehmet dan kami semua Alhamdulillah, Ustaz..
Katanya ada hasrat nak bertemu Ustaz jika dia berkesempatan. Mudah-mudahan ya. Salam dari Mehmet dan kami semua utk Ustaz sekeluarga.
Alaikum salam Kak Ngah,
Ya, saluran ini yang merapatkan kita. Ia beri ruang untuk fikir sebelum membuat tindakan. Yup, ianya sangat selesa. Salute untuk KN yang sentiasa terbuka untuk semua positive things!
[...] 13, 2007 yazan: Ayza Gursoy (Malayca / Bahasa Melayu) Allah’a şükürler olsun ki AyzaGursoy.Com Liverpool İngiltere’ye bir sipariş paketi [...]