Sejak kecil saya selalu mengalami suatu suasana sewaktu tidur, seperti sedar tetapi masih tidur, saya bangun menerawang ke seluruh rumah, tanpa berjalan tetapi terapung-apung. Paling jelas saya ingat ketika saya berumur 8 tahun, setiap kali saya tersekat di ‘alam’ itu, tidak dapat keluar dan tidak dapat tidur (meski saya sedang tidur), saya biasanya akan mengangkat sebelah kaki dan menghentakkannya ke tilam. Dan dengan itu saya akan tersedar dan dapat ‘keluar’ dari ‘alam’ itu.
Ini bukan khayalan. Bukan mitos. Tetapi inilah yang saya hadapi bertahun-tahun sejak kecil hingga kini. Jika semasa ayah saya masih hidup, ayah selalu membacakan doa di dalam air dan memberi saya minum, agar saya tidak berasa takut untuk tidur.
Suatu kejadian berlaku sewaktu saya berumur 11 tahun, petang itu saya menonton cerita di televisyen bersama ibu. Saya terlelap seketika dan kemudian saya ‘terperangkap’ ke dalam ‘alam’ antara sedar dan tidur itu. Mata saya terbuka, tangan kaki saya kaku. Saya tidak boleh bergerak, tetapi mata saya boleh lihat persekitaran. Saya tidak boleh bersuara dan menggerakkan apa saja, meski pun jari. Ibu melihat saya, dan kembali menonton tv. Dalam hati saya meronta-ronta dan menjerit-jerit meminta ibu menggerakkan saya supaya dapat keluar dari terperangkap di ‘alam’ itu. Ibu kembali memandang saya, dan kali ini ibu fikir saya bergurau kerana tidak bergerak dan tidak bercakap apa-apa. Ibu menggeletek pinggang saya, leher saya. Saya tidak bergerak. Ibu memanggil saya dan meminta saya berhenti melakukan aksi kaku itu, tetapi dia tidak sedar yang saya sebenarnya sedang tidur dengan mata terbuka.
Setelah beberapa ketika, ibu melihat muka saya dan akhirnya menarik tangan saya dan menggoncang badan saya.
“Ya Allah, kenapa ni? Ketindih?” tanya ibu.
Saya tak tahu apa yang berlaku. Saya kerap mengalami masalah itu. Baik ibu bapa, keluarga dan saya sendiri, tidak pernah mengamalkan sebarang amalan yang bercanggah dengan amalan Islam. Jauh sekali untuk berurusan dengan dukun, bomoh dan seangkatannya. Itu bukan amalan keluarga saya, dan dengan izin Allah, moga saya dijauhkan dari hal-hal yang berkaitan itu.
Ada waktu, sepanjang malam saya tidak dapat tidur kerana hal ini. Sebelum tidur solat sunat, baca Al Qur’an, berwudhu’ sebelum tidur, sehingga ada waktu kerana terlalu kerap berlaku, saya pernah memeluk Al Qur’an sewaktu tidur. Begitu juga dengan peraturan biasa harian, seperti adab keluar masuk tandas, menjaga kebersihan diri dan persekitaran, tidak keluar pada waktu-waktu tertentu, dan banyak lagi.
Namun, ia terjadi dan tetap terjadi.
Suatu hari Ustaz Said memberitahu saya untuk membaca do’a Haikal, dan menyimpan salinan 7 ayat Haikal itu di bawah bantal sewaktu tidur. Syukurlah, ada juga kurangnya. Tetapi ia tidak sekali-kali hilang. Saya bertanya kawan-kawan yang pernah dengar dengan hal ini, tetapi ramai yang mengatakan ia didalangi makhluk halus seperti jin dan entah apa-apa lagi. Ia lebih memusangkan fikiran saya. Ibu nasihatkan saya supaya selalu positif, dan selalu baca Al Qur’an. Daripada pembacaan, saya fikir ini mungkin apa yang dipanggil sleep paralysis.
Saya selalu terbang ketika masuk ke ‘alam’ itu. Terbang ke seluruh rumah, atas atap, sekitar luar rumah malah pernah diterbangkan selaju-lajunya ke merata tempat, ada yang dekat, dan ada yang jauh. Yang paling pelik adalah, semua yang saya lihat itu benar. Jika malam ini saya terbang dan melihat ada bola badminton di belakang pasu bunga luar, esoknya saya lihat, ia benar-benar ada.
Abang saya juga mengalami masalah yang sama. Jika malam ini saya terkena, malam esok dia akan kena. Tetapi syukurlah, abang saya tidak lagi menghadapi masalah itu. Tetapi saya masih. Suatu hari abang saya menyarankan, jika terasa hendak terkena, minta ibu pegang tangan saya sewaktu kami tidur. Jadi, suatu malam, saya memberitahu ibu, saya rasa saya akan terkena malam itu. Ibu menggenggam tangan saya, dan kami pun tidur. Sejurus kami tidur, tangan saya yang menggenggam tangan ibu bergoncang. Ibu mengejutkan saya dan saya membaca doa lalu tidur kembali. Sekali lagi terjadi, tangan saya yang digenggam ibu menggeletar dan akhirnya bergoncang kuat. Ya Allah, ibu akhirnya mengalah setelah kejadian yang sama berkali-kali berlaku pada malam itu dan ibu berpindah tempat tidur.
Ada waktu saya terasa kepala saya ditekan tembus isi katil dan amat menyakitkan. Ada waktu nafas saya disekat dan tidak boleh bernafas. Terasa hampir maut! Jika terbang menerobos ke dalam tempat sempit, badan saya akan jadi sakit-sakit akibat dilanggar apa saja sewaktu diheret terbang. Jika mulut saya membaca ayatul Kursi, ada sesuatu yang menekup mulut saya agar berhenti membaca. Oleh sebab itu, latihan berzikir dan membaca surah di dalam hati saya amalkan selalu. Hanya hati saya yang dapat membantu membaca ayat-ayat Qur’an sewaktu saya di dalam separa sedar itu.
Apa yang berlaku ya?
Sejak 2-3 tahun ini, keadaan ‘masalah’ itu sedikit berubah. Apabila mula terlelap dan ‘masuk’ ke ‘alam’ itu, saya kini sedikit sebanyak dapat mengawal ‘arah tuju’ pergerakan saya. Ada waktu, dengan izin Allah, saya dapat loloskan diri, keluar sendiri dari terperangkap. Tapi sukar.
HIPNOTIS
Suatu hari Mehmet menghipnotis saya.
“Pusatkan tumpuan awak di kepala. Bawa semuanya di kepala.” kata Mehmet.
Saya memusatkan tumpuan.
“Kaki dan tangan awak sekarang terasa berat sekarang. Amat berat. Tak boleh diangkat.”
Ya, saya rasa cukup berat. Langsung tak boleh digerakkan.
“Amat berat. Awak tak boleh gerakkan apa-apa kerana berat ini. Sekarang saya ikat tangan kanan awak dengan belon. Tangan awak akan rasa amat ringan selepas ni..”
Ya Tuhan. Ia benar-benar ringan.
“Biarkan belon itu angkat tangan awak, Haizam.. biarkan..”
Tangan kanan saya perlahan-lahan naik sendiri, terasa seperti tali belon itu menarik pergelangan tangan saya ke atas.
“Sekarang saya buka ikatan tali belon itu..”
Saya rasa tangan saya terkulai jatuh tiba-tiba.
* * * * * *
Hipnotis yang dibuat Mehmet itu menjadi. Saya dapat rasa arahan yang diberikan atas tumpuan berpusat itu, berhasil. Sepanjang proses hipnotis itu, Mehmet telah mengarahkan banyak aktiviti seperti berenang, berlari, dan akhirnya berehat di atas rumput bersebelahan sungai yang jernih airnya. Saya rasa segar setelah tersedar dari proses hipnotis itu. Cuma, saya tidak suka dengan proses hipnotis. Kerana saya rasa ia mengingatkan saya dengan ‘gangguan’ tidur itu.
Hari ini Mehmet mencuba untuk kali kedua ke atas saya. Arahan lebih ringkas, kerana saya mudah masuk ke ‘alam’ pemusatan tumpuan itu.
“Awak cuba keluarkan diri awak dari badan.. sehingga awak rasa cukup ringan..”
Saya mendengar.
“Cuba lihat pada siling, ada satu tali. Pegang tali itu, dan tarik diri awak.”
Dengan mata terpejam, saya nampak siling dan tali itu. Saya menariknya. Kepala saya mula terangkat. Tiba-tiba saya terasa jari saya digenggam jari halus yang lembut berisi. Jari-jari itu menarik jari-jari saya.
“ERTUGRUL!!” jerkah Mehmet.
“Etuy nak Mamaaaa….” katanya mencebik, sambil jarinya menarik-narik lagi jari saya.
Saya tergelak. Oh Tuhan, saya hampir terbangun kerana menarik tali di siling. Dan syukurlah Ertugrul mengejutkan saya..
* * * * * * *
Saya fikir, masalah ’sedar’ sewaktu tidur itu mungkin boleh diatasi dengan arahan diri saya sendiri. Jika Mehmet boleh mengarah saya sewaktu saya dihipnotis, saya akan cuba mengarah minda saya untuk melakukan sesuatu sewaktu saya ter’masuk’ ke ‘alam’ itu dan.. ya, kita akan lihat apa hasilnya nanti!


Assalamualaikum Donut,
KN pernah dengar isu Aja susah hendak tidur ini melalui Mak tetapi tidak tahu ceritanya seperti yang di tuliskan di sini.
Sebenarnya KN pun pernah melaluinya tetapi tidaklah kerap. Biasanya ia berlaku apabila KN terlalu letih atau pun tidur agak lewat.
BN pun pernah kena. Selalunya apabila dia ketindih, BN mengeluarkan bunyi yang aneh. KN akan gerakkan badan dia dan semuanya ok semula!
Adakalanya kaki dia menyentak2 dan KN pasti terkejut.
Peliknya jika kita kira 1, 2, 3… hingga 20, kakinya pasti menyentak semula dalam tempoh kiraan yang sama.
Setelah 2-3 kali terkejut dari tidur yang tidak lena, KN pasti naik ‘hangin’ dan suruh dia berhenti dengan suara yang agak kuat seperti ‘STOP’!!! Peliknya dia ikut arahan itu dan sentakkan berhenti terus.
Aduhai, misterinya kita adik-beradik, hihihi!!!
Alaikum salam KNku,
Memang betul, waktu terlalu letih pun boleh jadi macam tu. Sama juga kalau tukar waktu tidur, misalnya hari ini biasa tidur jam 11 mlm, esok lusa jam 10 malam, pun boleh terjadi. Tapi yang tak bestnya kalau berlaku bila-bila masa, itu yang pening.
Kita jarang share cerita ni kan? Aja rasa dia ada satu zone yang kita terlepas masuk tanpa sengaja semasa tidur. KN cakap (tentang Bangah) yang hal tu berlaku dalam tempo kiraan yang sama tu pun betul. Itu sebab kalau satu malam banyak kali kena, kena tukar tempat tidur.
Masa KN kena, bila bangun badan letih tak?
Ihihihi, adik beradik misteri ya Ngah? Jeng jeng jeng!
p/s: Nak suruh Mehmet sergah macam KN buat tu juga, STOPP! Good idea!
Asaalamualaikum Donut,
Seharian KN ke bengkel penulisan PTS hari ini, jadi terlewat menjengok ke sini. KN sampai ke Melaka senja tadi.
Tidur yang terganggu memang meletihkan. Rasa penat kerana walau pun tidur, ‘perut’ (otak) bercakap2 dan tidur kita tidak lena. Agaknya kita termasuk dalam ‘twilight zone’!
Sebaiknya kita teruskan berdoa kepada Allah dan memohon supaya diberi jalan keluar yang dapat menyelesaikan gangguan ini. Sambil itu KN ada amalkan satu ikhtiar…
Apabila KN berjaga malam (kerana menulis contohnya), sebaik saja ada rasa mengantuk, KN terus berhenti apa yang KN sedang buat dan pergi tidur dengan segera.
Biasanya sambil membaca doa tidur, Al Fatihah dan tiga Qul, KN akan terus terlena dan esoknya KN bangun dengan rasa cukup segar…
‘Trick’nya ialah kena tidur sebaik saja rasa mengantuk datang. Jangan tunggu2 lagi. Terus masuk tidur. InsyaAllah, tidur kita nyenyak dan tiada gangguan.
Kekadang ketika sedang ralit menulis, KN melawan rasa mengantuk dengan terus menulis. Akibatnya apabila KN sudah bersedia untuk tidur, KN akan terperangkap dengan gangguan seperti yang Aja alami.
ada ubatnya,InsyaALLAH…tapi saya tak sempat nak tulis…InsyaALLAH dalam masa terdekat ni saya cuba emailkan
Assalamualaikum,
Kak Ngah, terima kasih kerana sempat luang waktu untuk beri tips dan komen di sini. Thanks KN!
Zamri, jangan susah-susah.. orang berbudi, kita berbahasa.. bantuan hari tu pun kak ayza belum sempat balas lagi..
salam.. saya kadang2 mengalami masalah yg sama..
cume pasal dejavu xde. dejavu saya alami masa saya kecik2 sahaja… dah besar benda tu dh hilang..
cume kena tindih ni selalu… kadang2 selalu bawak buku doa kecik time tido.. last2 benda tu semakin pandai die x tindih lagi. tapi, macam berada di sebelah saya.. mungkin katil saya jrg tido, sebab tu kena…
Salam guest,
Ketindih tu salah satu cara nak elak dia jgn tidur terlentang, dan kalau tidur mengiring pula, pastikan tak ada kaki tangan atau parts badan kita yang terhimpit, sbb bila darah mula tak jalan, waktu tu ketindih tu mula. Paling tidak pun, jika berlaku berkali-kali dalam satu malam, sekali kamu dapat bangun tu cuba tukar tempat tidur dan baca surah-surah 3 Qul, Fatihah dan Ayatul Qursi juga.
Tentang ‘benda’ tu makin pandai, hakikat tu memang benar. Cuma, jika sudah masuk dalam zon separa sedar itu, jika kamu boleh buat, mula baca ayatul kursi sebanyak2nya dan kemana pun diterbangkan kamu, akhirnya terpaksa dilepaskan semula. Jika di sebelah kamu, dia akan tinggalkan kamu.
Memang weird nak bincang perkara ni secara terbuka, tapi sekurang-kurangnya kita dapat share maklumat ttgnya. InshaAllah kita selalu di bawah lindunganNya.