“Anne, kahwinkan Zafer lekas…” kata Mehmet.
Itu yang selalu disarankan kepada Anne, ibu mertua saya. Setiap kali menelefon dari Turki, setiap kali itu beliau akan menangis kerana rindukan kami, khasnya Ertugrul. Anne tak pernah putus asa mengajak kami pulang untuk tinggal di Turki.
Begitu juga Mehmet, setiap kali menelefon ibunya, dia memujuk Anne agar bersabar dan moga dengan izin Allah kami semua akan ke sana kelak. Paling tidak pun, menyarankan agar adik-adiknya lekas dikahwinkan.
“Kamu tu datang ke sini, bawa anak perempuan saya dengan cucu saya sekali. Musim luruh ni balik ya?” pujuk Anne.
Dua hari lepas, Anne menghubungi kami. Beliau dan Zafer berada di Istanbul untuk memilih cincin merisik.
“Cincin merisik? Oh senyap-senyap pergi ya..” sakat Mehmet kepada ibunya.
JAUH DI MATA, DEKAT DI HATI
“Babaanne, tengok Etuy pegang apa? Ni Etuy punya 123..” Ertugrul menunjukkan kalkulator saintifiknya.
“Cakap – hesap makinesi (kalkulator),” ajar Mehmet.
“Ey, bukan.. apa ni Mama? Ka-ke-lae-te, kan Mama?”
Semua berderai ketawa melihat keletah Ertugrul berbalah untuk tidak bercakap Turkce.
OMUR BOYU MUTLULUKLAR
“Tahniah Zafer, Nurcan..” ucap saya.
“Terima kasih, Nurhaiza Yenge..”
Mehmet tersenyum.
“Ay Ayza.. Dia tetap nak kita juga… “
Saya doakan moga Zafer dan bakal tunangannya Nurcan, diberi rahmat dan kemudahan oleh Allah. Semoga yang terbaik mengiringi kalian hendaknya. Amin ya Rabbi.

