Ahad 15/4/07
Hari ini abangku Hanozzy mengadakan kenduri kesyukuran. Pertama kerana masuk rumah baru, kedua kerana Ika berjaya masuk universiti, ketiga Mak menyertakan sekali untuk bacaan doa utk arwah Bak dan keempat Kak Ngah ingin menyambut hari lahir Alum yang ke 22 tahun.
Pagi lagi Mak dah memasak, dan petangnya kami sekeluarga membawa periuk berisi kari daging Mak ke rumah Ogy. Khemah dah dipasang, Rosman dan isterinya Siti Munirah, Chik Rahmah, Makcik Yon, semua sedang duduk-duduk di sofa luar. Sementara Mehmet keluarkan makanan, Ayu datang. Lama aku tak jumpa Ayu. Syukurlah di kesempatan ini aku bertemu semula dengan abangku itu. Beransur petang Kak Ngah menyusul bersama Bangah dan Alum dengan 2 kek hari jadinya. Lan datang membawa pinggan mangkuk dan bekas menyaji makanan. Biasalah kalau Lan dah datang bertandang, tak kering gusi kami ketawa dengan lawak selambanya, dan Ogy tak putus2 idea nak menyakat Lan.
Kemudian Kak Enab datang, kami memotong buah dan menyaji kuih muih. Malamnya selesai solat Isya’, tetamu mula datang dan majlis bermula dengan bacaan Yasin dan doa-doa. Ustaz Said yang selalu kami undang dalam setiap majlis tidak berkesempatan datang kerana menunaikan Umrah. Jadi Ustaz Romainor yang tinggal berdekatan Ogy dipanggil untuk mengetuai bacaan doa.
Aku melepaskan kerinduan pada tempat ini, yang sejak kecil aku tinggal dan meninggalkannya setelah Bak meninggal 18 tahun dahulu. Aku melihat tanah yang luas, ada banyak kolam ikan, ada kandang itik yang putih dan pandai berenang, barisan pokok kelapa di kiri dan kanan, deretan pokok-pokok buahan yang kami tanam adik beradik. Di bahagian kanan ada bahagian tinggi, ada jambatan kecil yang panjang Bak bina untuk kami menjangkau bahagian sana. Di atas sana ada pohon buah yang aku tanam, pokok Limau Bali. Di tepinya ada cerun yang di bawahnya ada kolam ikan.
Setiap hari aku akan luangkan masa untuk melihat pokok limau bali itu, dari berputik, berbunga dan berbuah. Lebih kurang 10 kolam termasuk satu kolam besar di belakang sana. Di tengah-tengah kebun ada tanah yang luas, cukup luas utk Ayu yang ketika itu berumur 11 tahun curi-curi memandu kereta Bak. Ada arnab tompok-tompok yang suka makan kangkung, ada itik yang setiap hari bertelur, ada angsa yang suka mengejar dan menyudu, ay Allah.. Di kebun juga ada sebuah pondok kecil, sebahagian utk stor menyimpan barang2, sebahagian lagi utk rehat2. Di tepi pondok ada sebuah perigi tanah yang amat jernih. Bak pacakkan kayu, dan ada 2-3 anak tangga kayu untuk sampai kepada airnya. Bak gunakan air itu untuk mengambil wudhu’ ketika bersolat di pondok. Setiap hari pekerja-pekerja Bak akan membawa 1-2 kereta sorong yang penuh dengan telur itik. Sampai di rumah telur-telur dimasukkan dalam besen diisi air untuk dicuci dan dibersihkan daripada najis yang terlekat. Kerja mencuci telur itik antara yang aku suka lakukan bila ada kelapangan atau hujung minggu. Yang retak Mak akan asingkan dan biasanya kami buat telur dadar. Ada sebahagian pekerja-pekerja membelinya dengan harga murah dan biasanya Mak berikan saja pada mereka. Perusahaan Tani Bak memang menyeronokkan, dan selain ‘main business’ kawat Bak.
Perusahaan Tani adalah satu usaha Bak mengajar anak-anak asas perniagaan, dan pulangannya amat memberangsangkan. Tebu-tebu di kebun, ditebang dan dibawa ke rumah. Meski baru berumur 7-8 tahun, aku boleh mesin tebu sendiri. Setiap kali ada kesempatan, aku akan mesin dan minum air tebu ‘PURE’ .. iyy seronoknya. Aku belajar kisar arang dan juga ketulan-ketulan tanah liat menjadi serbuk untuk membuat telur asin. Tanah liat diambil dari kebun. Aku tahu membuat telur asin, mencelup telur dalam cecair tanah liat bergaram dan memupuknya dengan arang. Susun sehingga 5 tingkat bekas telur dan masukkan dalam kotak yang Bak tempah khas utk telur asin berserta alamat, tarikh matang dan sebagainya. Aku waktu itu Bak beri peluang utk tulis tarikh matang atas kotak-kotak itu. Di kebun juga aku belajar memancing dari Pakcik Yasin, bekas banduan yang Bak ambil bekerja di kebun. Dia tebang buluh untuk buat kayu pancing, belikan mata kail dan tali tangsi. Aku lari merentas kebun Pak Lang utk ke rumah meminta Mak beberapa ekor udang untuk jadikan umpan, manakala Pakcik Yasin cangkulkan tanah utk carikan cacing. Di kebun juga aku melepaskan segala tekanan dan aku rasa cukup ‘adventure’ bila ke kebun. Petik timun waktu musim banjir, kacang panjang, ubi kayu. Lidi daun kelapa aku gubah jadi hiasan dinding dan cikgu ambilnya utk pameran di sekolah. Kebun adalah khazanah hidup aku waktu kecil.
Aku melihatnya.. dengan mata hati.
Tanah kebun telah diambil oleh pihak pemaju perumahan, dan yang ada cuma udara dan lokasinya.
Aku tersenyum memandang ke arah tanah itu, dan tanah tapak rumah abangku ini. Rumah Pak Lang juga telah tiada. Rumah arwah Bibik… Hmmm.. aku semakin jauh meninggalkan zaman itu.
Malam ini majlis Ogy berjalan dengan sempurna. Aku bertemu muka-muka yang telah lama aku tidak temui. Antara yang paling aku gembira bertemunya adalah Nek Chik. Dia sudah tua dan bongkok tetapi wajahnya tenang-tenang saja. Apabila orang semua sudah beransur keluar untuk makan di khemah, aku mendapatkan Nek Chik.
“Nek.. kenal Aja tak?”
“Kenal… sihat?”
“Sihat, Alhamdulillah. Nenek sihat?”
“Sihat.. Mana anak engkau? Sorang je ye?”
“Sorang je Nek..”
Masa aku kecil Nek Chik bekerja di rumah kami. Dia seorang yang baik hati dan penyayang. Kerana sayangkan Nek Chik aku selalu tak benarkan dia pulang setelah selesai kerjanya. Aku akan kunci pintu dapur, pintu depan dan menyimpan kunci itu dalam poket. Biasanya Mak dan Nek Chik akan memujuk aku untuk membuka pintu dengan pelbagai alasan yang akhirnya aku mengalah dan membuka pintu untuknya. Ada waktu Nek Chik akan beri alasan untuk bersihkan belakang rumah, dan dalam senyap-senyap dia menghilang dan waktu tu aku akan menangis semahunya.
Aku sempat tunjukkan Nek Chik pada Mehmet, dan Mak telah bawakan Ertugrul padanya. Syukurlah, malam ini banyak kebaikan yang berlaku.
Aku bersyukur kepada Allah atas segala-galanya. Moga Allah meredhai kami semua, dan melimpahi kami dengan rahmat dan kasih sayang…
-yetimnur
4.55 am
17/4/07
Allahimm…
hidup @ayzagursoy.wordpress

memang keluarga bisnes la….
teringin juga nak buat bisnes tapi ilmu dan selok belok bisnes tak sehebat arwah ayah kak ayza