02/05/2008 11:05am (Utusan Malaysia)
WASHINGTON 2 Mei – Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Naza, Tan Sri S.M Nasimuddin S.M Amin meninggal dunia akibat kanser paru-paru pada Khamis pagi di Los Angeles, California.
Nasimuddin, 53 yang juga Ketua Pegawai Eksekutif konglomerat itu, menerima rawatan penyakit kanser di sebuah hospital swasta di Long Beach sejak Januari tahun ini, kata Konsul Malaysia Ahmad Asmawi memberitahu Bernama melalui perbualan telefon dari Los Angeles.
Ahmad berkata isteri Nasimuddin, Puan Sri Zaleha Ismail dan anak-anak mereka berada di sisi Allahyarham ketika beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada kira-kira pukul 9 pagi waktu tempatan Khamis pagi.
Persatuan Islam Malaysia Amerika Utara akan menguruskan penghantaran jenazah beliau ke Malaysia dan mengadakan solat jenazah di Pusat Islam.
Jenazah Allahyarham akan diterbangkan ke Malaysia dengan pesawat Penerbangan Malaysia MH 94 pada pukul 1.40 pagi Sabtu pagi, kata Ahmad. – Bernama
* * * * *
(utusan.com.my – 3 Mei 2008 )
KUALA LUMPUR 2 Mei – Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Naza, Tan Sri S.M Nasimuddin S.M Amin meninggal dunia akibat kanser paru-paru di Los Angeles, California, Amerika Syarikat.
Allahyarham yang merupakan salah seorang ahli perniagaan Melayu terkaya menghembuskan nafas terakhir pada pukul 10.15 pagi Khamis waktu Los Angeles (1.15 pagi Jumaat waktu Malaysia).
Allahyarham yang berusia 53 tahun meninggalkan seorang balu, Puan Sri Zaleha Ismail dan lima orang anak serta seorang cucu lelaki.
Isteri dan anak-anaknya berada di sisi ketika Allahyarham kembali ke rahmatullah di sebuah hospital swasta di Long Beach, Los Angeles.
Presiden Naza Kia Sdn. Bhd., Datuk S.M Shalahuddin S.M Amin memberitahu, Allahyarham adiknya itu dikesan menghidap kanser tahap keempat ketika mendapatkan rawatan di hospital swasta itu pada awal tahun ini.
“Tujuan asal Allahyarham ke Los Angeles adalah untuk menemani isterinya membuat pemeriksaan rutin. Isterinya menghidap kanser payu dara sejak tiga tahun lalu.
“Akibat kerap batuk, Allahyarham turut melakukan pemeriksaan di hospital yang sama dan disahkan menghidap kanser.
“Keadaan kesihatan Allahyarham menjadi semakin kritikal tiga minggu lalu,” kata Shalahuddin pada sidang akhbar di sini hari ini.
Shalahuddin merupakan salah seorang daripada 10 adik-beradik Allahyarham yang turut membangunkan perniagaan Kumpulan Naza bersama-sama Nasimuddin sejak tahun 1975, mula-mulanya dengan mengimport kenderaan terpakai ke negara ini.
Persatuan Islam Malaysia Amerika Utara akan menguruskan penghantaran jenazah Allahyarham ke Malaysia dan mengadakan solat jenazah di Pusat Islam di Los Angeles.
Jenazah Allahyarham akan diterbangkan ke tanah air dengan pesawat Penerbangan Malaysia MH94 pada pukul 1.40 pagi esok dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pagi Ahad.
Nasimuddin dilahirkan pada 25 Januari 1955. Beliau menerima pendidikan di Sekolah Menengah Tuanku Muhammad di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Allahyarham memulakan perniagaan automotifnya ketika berumur 21 tahun dengan modal RM80,000 yang dikumpul semasa bekerja dengan ayahnya dalam perniagaan pembinaan.
Dalam tempoh setahun sahaja, beliau membuat keuntungan berjuta. Sejak itu, Allahyarham mencipta kejayaan demi kejayaan dalam perniagaan.
Kumpulan Naza ditubuhkan oleh Nasimuddin dengan sokongan keluarganya. Hari ini Kumpulan Naza mempunyai 14 cabang perniagaan, antaranya perdagangan kereta dan motosikal, pembuatan, kejuruteraan, perladangan, kredit dan pajakan, hartanah, operasi perhotelan, makanan serta agensi insurans.
Kumpulan itu juga merupakan pemegang francais di Malaysia untuk kenderaan Ferrari, Kia, Peugeot, Brabus, Hamann dan motosikal Ducati di samping turut memegang permit import bagi kenderaan Mercedes Benz dan Mazda.
Selain itu, Kumpulan Naza terlibat dalam pembangunan hartanah melalui Naza TTDI Sdn. Bhd. dan memiliki hotel di Malaysia dan Amerika Syarikat. Kumpulan Naza memiliki Hotel Howard Johnson di Torrance dan Crowne Plaza Hotel di San Pedro, Los Angeles.
Menurut Shalahuddin, pihaknya belum dapat memastikan masa sebenar ketibaan jenazah Allahyarham di Kuala Lumpur tetapi sedang membuat segala persiapan yang perlu untuk mengebumikan Allahyarham di Tanah Perkuburan Batu 9, Hulu Langat, Selangor bersebelahan pusara arwah ibunya.
“Sebelum itu, kami merancang memberi peluang kepada semua kenalan Allahyarham untuk membuat penghormatan terakhir di Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta pada tengah hari Ahad sebelum jenazah dibawa ke Hulu Langat,” tambahnya.
Kediaman Allahyarham terletak di kawasan perumahan elit di Bukit Tunku tidak jauh dari Masjid Wilayah Persekutuan.

