Saya mula mengenali Cevşen El Kebir (Jawshan Al Kabir) pada penghujung tahun 1997. Seminggu setelah usai peperiksaan SPM, kami sekeluarga ke Mesir dan kemudian ke Makkah dan Madinah untuk menyambut awal Ramadhan di sana. Di Makkah, saya telah berkenalan dengan seorang teman. Namanya Nagihan Duman, berasal daripada Adapazarı, Turki. Selama di sana, setiap hari saya bersolat dengannya. Sehingga malam terakhir, saya memberitahunya bahawa saya akan pulang ke Malaysia malam itu. Saya juga memintanya untuk menanti saya di tempat biasa untuk solat Isya’ bersama. Di bilik hotel, saya mencari-mencari sesuatu yang boleh saya berikan padanya sebagai tanda ingatan. Saya berikan sekeping gambar yang saya simpan di dalam autograf, sehelai kain batik ibu, dan beberapa keping setem Malaysia yang saya selalu bawa bersama untuk diberi kepada kenalan baru. Bersamanya saya catatkan satu nota berserta alamat buat Nagihan.
Saya dan ibu kembali ke Masjidil Haram, di tempat selalu kami bersolat bersama Nagihan dan kakaknya. Selesai solat Isya’, kami bersalaman dan berpelukan mengucapkan selamat tinggal. Waktu itu Nagihan terus membuka kalungnya dan menyarungkan ke leher saya. Waktu makin hampir, kami perlu tawaf wida’.
Itulah kali terakhir saya bertemu Nagihan.
Kalung itu ada sebuah loket, yang tertera tulisan Cevşen el Kebir. Loket it terpateri kemas dan saya tidak dapat melihat isinya. Sejak itu saya terus-terusan mencari apakah isi Cevşen itu. Awal tahun 1998, saya mula meneroka dunia Internet dan saya menggunakan medium tersebut mencari Cevşen. Mesin carian waktu itu tidaklah sehebat hari ini dengan isi dan carian yang terbatas. Sehingga saya bertemu sahabat baik saya Mehmet di pertengahan 1998, saya mendapat maklumat penuh tentang Cevşen dan fadhilatnya. Mehmet juga mengirimkan helaian-helaian doa Sakinah, dan juga Cevşen sendiri yang di’scan’ satu persatu. Saya juga diperkenalkan dengan Hocaefendi Fethullah M Gülen, dan saya terus menerima kiriman buku-buku beliau dari Turki.
Setelah berkahwin, pengamatan tentang Cevşen lebih jelas dengan penerangan Mehmet. Ia suatu tasbihat, yang memuji-muji Allah, menyeru namaNya dan kebesaranNya. Saya bukanlah pengulas yang baik, tetapi yakinilah, bahawa Cevşen el Kebir ini amat bermanfaat untuk banyak perkara. Baik dibaca ketika sihat dan sakit, ketika berhadapan dengan kegembiraan atau kebimbangan, malah untuk banyak keadaan lagi selain menjadi zikir awalan sebelum memulai do’a.
Semasa mengunjungi kedai-kedai buku di Denizli, saya dapati pelbagai jenis Cevşen tersedia, baik yang ringkas, mahu pun Cevşen yang penuh. Ia menjadi amalan zaman-berzaman sejak era Uthmaniyyah lagi, tetapi ia kurang popular di kalangan Sunni kerana dipelopor oleh kebanyakan Syi’ah. Meski begitu, ia bukan amalan menyongsang dan tidak bertentangan sama sekali dengan Sunni. Apatah lagi setelah ia diangkat semula oleh Bediuzzaman Said Nursi ke dalam dunia Islam secara menyeluruh.
Anda boleh dapatkan teks penuh Cevşen El Kebir ini secara online di website -> http://www.saidnursi.de/cevsen/index.html dan terjemahan di dalam bahasa Inggeris juga disediakan untuk rujukan makna.
Terima kasih kepada Nagihan atas kalung tasbihatnya yang istimewa sekali isinya. Moga ia bermanfaat buat kita semua.
Wassalam.
jawshan@ ayzagursoy.wordpress.com



cevşeni daha iyi incelemenzi tavsiye ederim
Selam Ammar. Elimde cevsen mevcud. Hakkinda genis malumatim var. Her zaman okuyorum. Tesekkur ederim.