Hari ini 26 Ogos. Tinggal beberapa hari lagi menjelang Ramadhan. Ay Allah, betapa saya malah semua daripada kita merindui Ramadhan ini.
Jam ini, 4.22 pagi – hati saya teringat kepada seorang sahabat saya – Driyah, yang kini saya kira saat ini sudah pun berlepas meninggalkan Istanbul dan Dubai (transit) menuju ke Indonesia. Insyaallah jam 7 petang ini Driyah berserta dua orang anaknya yang masih kecil itu selamat sampai ke destinasinya. Moga kalian tiba dengan selamat, Amin!
Saya masih teringat tulisan Driyah, yang mengharapkan Ramadhan ini beliau akan dapat bersolat tarawih di masjid, merayakan Ramadhan dengan cara biasa masyarakat kita berbanding orang Turki. Dalam tulisannya selalu menyatakan kesal dengan persekitaran Kusadasi, yang bebas pergaulan dan kurang menjunjung akhlak Muslim di kalangan penduduknya. Beliau memprotes penerapan pengaruh Ataturk yang diwajibkan kerajaan terhadap warganegara Turki seawal kanak-kanak sekolah rendah, undang-undang tidak membenarkan pemakaian tudung untuk pelajar perempuan di sekolah, tiada subjek pendidikan Islam di peringkat sekolah rendah secara formal, penyisihan yang dilakukan terhadap kaum Kurdish.. Banyak. Banyak yang dipersoalkan Driyah, dan akhirnya membawa beliau untuk kembali ke Indonesia.
Ay Allah.
Saya terkesan dengan berita kepulangannya ke Indonesia. Adakah Turki seteruk seperti yang dilihatnya? Saya berbalas mesej dengan Driyah mendapatkan input dari kacamatanya.
Ay Allah.
Saya meneliti informasi yang diberi Driyah, dan saya kembali menyoal suami saya. Sebagai rakyat Turki, pasti dia lebih maklum, lebih kenal isi bumi cerita bangsanya sendiri. Panjang lebar kami berbincang dan menzahirkan pendapat. Dan dari pengetahuan dan pengalaman saya, masih terlalu banyak positif berbanding negatif yang ada di Turki. Tetapi mengenangkan tempat tinggal Driyah adalah di Kusadasi, saya berhenti seketika. Kusadasi, Mugla, Antalya dan seumpamanya ini adalah antara tempat kunjungan ternama pelancong dari dalam dan luar negara. Saya sendiri kurang selesa dengan Antalya pada hari pertama lagi saya ke sana. Alamnya amat mempesonakan, tetapi tidak persekitarannya. Mungkin itulah yang dihadapi Driyah. Meski saya menyarankannya untuk berpindah dari Kusadasi ke tempat-tempat lain yang lebih Islamik, Driyah masih ada banyak alasan untuk meninggalkan Turki buat masa ini.

Memang tidak dibudayakan kaum wanita bersolat di masjid, tetapi masih ada kaum wanita yang berbuat demikian, dan tidak pula dihalang. Solat Tarawih dihadiri oleh kaum lelaki dan perempuan. Sama juga seperti di sini. Masjid-masjid di Turki memang banyak, jalan sedikit ada masjid, baik dalam taman perumahan, di kampung-kampung. Bak kata orang Melaka – “berlambak banyaknye!” Tiada sebab kaum wanita tidak boleh bersolat di masjid. Cuma, meskipun masjid-masjidnya ‘berlambak’, makmum di kalangan orang lelaki juga ‘berlambak’ ramainya setiap kali masuk waktu solat. Itu belum lagi waktu solat Jumaat. Waktu solat Subuh pun masjid penuh dengan makmum lelaki. Jika tanyakan saya, saya akan rasa segan untuk bersolat di masjid yang penuh dengan makmum lelaki, apa lagi dengan membawa anak-anak. Kecuali jika semasa musafir atau jarak yang jauh dari rumah yang menyebabkan saya perlu untuk masuk ke masjid untuk bersolat. Kecuali juga jika ruang mengambil wudhunya diasingkan lelaki perempuan, manakala tempat solat wanita ada di bahagian atas, saya tiada masalah untuk itu.
Berlainan dengan Malaysia (lebih sesuai saya katakan Melaka
), masjid tak selalu penuh. Masjid MiTC itu luas, tetapi tak setiap waktu solat barisan safnya penuh. Ada masa 2 saf, 3 saf. Tak ramai sangat. Malah ada ruang besar untuk makmum perempuan di bahagian bawah, dan keseluruhan tingkat atas. Surau di kawasan rumah saya juga diazankan oleh pelajar-pelajar asing (Arab biasanya), dan dipenuhi oleh mereka yang bukan penduduk di sini. Kaum ibu tak ramai yang mengunjungi surau walaupun hanya depan rumah.
Berbalik kepada permasalahan Turki yang menerap pengaruh Ataturk di kalangan anak-anak kecil sekolah rendah dan tiada matapelajaran Islam. Di Malaysia tidak ada Ataturk, tetapi anak-anak kecil Malaysia peringkat sekolah rendah masih terdedah dengan pelbagai perkara yang tidak positif. Belum lagi yang sudah remaja dan ke peringkat pendidikan tinggi. Meski kita rasakan subjek pendidikan Islam di sekolah adalah tidak mencukupi, tapi masih ramai yang tidak dapat menguasainya pun. Masih ramai yang tersasar walau sudah diberi asas ilmu Islam, masih ramai yang tidak menghargai subjek itu pun, masih ramai yang menawarkan diri untuk keluar dari Islam, bukan?

Soal tudung juga begitu. Jika di Turki tudung diharamkan di sekolah, universiti dan intitusi awam, tapi tak bermakna ia diharamkan sama sekali untuk semua rakyat. Pilihan di tangan sendiri, sama ada untuk menyekolahkan anak-anak perempuan di sekolah kerajaan, atau memilih untuk menyekolahkan mereka ke sekolah-sekolah bayar/private agama. Bukan langsung tidak ada, tetapi ini inisiatif ibubapa sendiri. Saya selalu melihat pelajar-pelajar perempuan kolej di kawasan saya ini (kolej apa? biarlah rahsia..) Waktu siang semasa kelas, santun sekali berbaju kurung labuh – labuh tangan labuh kainnya juga. Kepala dilitup tudung bawal, sedondon dengan bajunya. Senang mata memandang. Menjelang senja, masing-masing sudah berseluar panjang dan pendek, baju t-shirt tak berlengan, tanpa tudung dan saya kira, hampir tidak kenal siapa mereka. Betapa tidak berharganya nilai kebebasan mengamalkan Islam, kebebasan menutup aurat yang dikurnia Allah di bumi Malaysia ini untuk anak-anak gadis itu. Di Turki, Muslimah yang bekerja di jabatan awam terpaksa membuka tudung atau menggunakan rambut palsu sebagai alternatif menutup rambut. Jika di tempat kita ada di kalangan remaja perempuan yang tunggu keluar sekolah untuk buka tudung, di turki remaja perempuan yang bertudung tunggu waktu keluar sekolah untuk menyarungkannya semula. Sebagai alternatif lain, ramai wanita bekerja dari rumah, membuka bisnes sendiri dan bekerja di sektor swasta.
Menurut suami saya, pendidikan Islam selepas waktu persekolahan terbentang luas di luar. Khasnya masjid. Banyak aktiviti dan kelas dianjurkan. Terpulang kepada ibubapa untuk menghantar anak atau tidak. Apa lagi jika tiba percutian musim panas, ada banyak aktiviti keagamaan untuk remaja dan anak-anak dijalankan di masjid-masjid.
Kerana mereka juga seperti kita. Mereka orang Islam. Mereka juga terus-menerus mencari jalan agar Islam dapat dipraktik secara bebas. Dihalang atau diharamkan, ia bukan satu sebab untuk tidak meneruskan Islam.
* * * * *
Begitu juga saya melihat Driyah. Anak perempuannya belum lagi menginjak 3 tahun, manakala anak lelakinya baru berusia setahun lebih. Kehidupannya baik sekali di Turki. Tetapi Driyah punya visi jelas di Indonesia buat masa depan keluarga, dan salah satu sebabnya adalah pengamalan Islam itu sendiri. Beliau mahukan yang lebih harmoni. Jika itulah matlamat utamanya, saya kira pengorbannya besar, dan moga Allah permudahkan buat Driyah dan suaminya dalam segala urusan.
Tak semua dari kita mempunyai perspektif yang sama. Jika ‘ya’ untuk saya, mungkin ‘tidak’ untuk orang lain. Dan kita semua berhak untuk menentukan jalan hidup, hala tuju fikiran masing-masing.
Teringat tentang Saudara Azmil Mustapha ( Ali Setan) yang kini merantau ke Syria bersama anak-anaknya dalam usaha mencari dan memperdalam Islam. Ia bukan soal di Malaysia tidak dapat mencari Islam atau tidak buatnya, tetapi tidak semua dari kita memperolehi sesuatu yang sama rata untuk setiap orang. Rezeki dan perolehan kita tidak sama. Nasib juga lain-lain bukan?
Kerana nasib kita tidak sama, rezeki tidak sama, perolehan tidak sama – setiap masa kita perlu perbaiki diri. Dan dari situ kita akan menyerap kabaikan itu kepada anak-anak dan masyarakat sekitar. Tidak kira di mana, semuanya bermula dari dalam diri sendiri.
Rabbim benimmm…
Ke mana pun arah yang kita cari dan tujui, moga Allah sentiasa memimpin tangan kita supaya tidak tersasar dari hakikat sebenar.
Salam subuh buat semua.
5.49 am
tafakkur @ ayzagursoy.wordpress
