Seperti biasa, setiap hari Ahad muncul, saya pasti *blank* ..
Entah kenapa. Saya selekasnya mahu jam berlari pantas, matahari lekas-lekas terbenam ke ufuk sana, menanti malam tiba. Setiap kali Ahad, saya akan merancang sesuatu yang ‘out’ dari rutin harian, berjam-jam membaca buku di MPH Bookstore atau di mana-mana saja yang ada kedai buku, menjahit, memerhati langit dan awan bergerak ditiup angin, langit biru, daun.. Bukan TV.. Oh tidak! Menonton TV pada hari Ahad membuat hari saya jadi ‘pucat’ tak berwarna.
Mujur Ahad semalam, sahabat saya Yati awal-awal lagi telah menjemput kami sekeluarga untuk menghadiri hari lahir anak perempuannya. Namun petangnya saya mendapat panggilan dari Yati bahawa majlis itu dibatalkan. Anak perempuannya Fizany kini baru selesai menjalani pembedahan kecil kerana kemalangan kecil di tangan. Oh Allah! Kasihan. Fizany terpaksa berehat di hospital untuk 1-2 hari ini, kebetulan jatuh pada hari lahirnya. Ay Allah.. Saya doakannya moga lekas sembuh! Amin ya Rabb..
Untuk mengisi hari ‘Ahad’ yang tinggal beberapa jam lagi ini, saya meminta Mehmet membawa saya ke MPH Bookstore di Mahkota Parade. Memang kalut petang-petang begini di Mahkota, jalanraya penuh dengan bas-bas pelancong, kereta dan orang ramai. Kami meredah kesibukan. Majalah Simply Knitting masih keluaran yang sama, dipenuhi dengan projek-projek Christmas. Menyelak-nyelak buku menyulam baru – A to Z Sulaman Benang Putih 1 & 2 terbitan Utusan Publications, saya dapati isinya adalah hasil kompilasi daripada beberapa edisi Majalah Inspiration (keluaran Country Bumpkins). Jadi bagi sesiapa yang sudah ada beberapa siri majalah Inspiration untuk tahun-tahun sebelum ini, buku ini sama saja, malah apa yang dipaparkan di majalah Inspiration lebih lengkap sebenarnya dengan paten dan projek yang bersesuaian. Cuma yang menarik, buku ini adalah dalam bahasa Melayu.
Mata saya ligat mencari buku-buku yang ‘asing’ dari kebiasaan. Oh Tuhan! Akhirnya, setelah beberapa bulan baru saya nampak buku “Aku Terima Nikahnya” karya Abu Saif, ustaz yang saya suka sekali idea dan penulisannya.
Ada tinggal setengah jam lagi untuk saya pulang, untuk ‘menamatkan’ hari Ahad ini. Saya ke kedai buku Popular. Satu lagi penemuan baru, Punchneedle Creations! Buku yang hampir saya pesan menerusi Internet dari Australia. Saya sudahi dengan majalah Quilts & More..
“Selesai?” tanya Mehmet.
”
Alhamdulillah.. rasanya dah selesai..”
“Mama, Etuy nak Pizza! Nak Pizzaaaaa!”
Aduh. Waktu sudah terlalu hampir masuk waktu Maghrib. Kami bergegas pulang ke rumah. Mansor juga dalam waktu ini akan mengambil dokumen untuk ditandatangani oleh Hanozzy dan Zahayu, dan saya juga perlu ke klinik mengambil ubat yang dipesan ibu. Sebelum itu kami singgah di kedai runcit berdekatan rumah.
“Kalau Mama buatkan Etuy popiah, boleh tak?” tanya saya.
“Popiahhh?? Wow, boleh juga! Letak ‘cheese’, okay Mama?” kata Ertugrul.
“Alright cinta. Baba, belikan cheese sekali!” pesan saya kepada Mehmet.
Sampai di rumah, giliran Mehmet pula memesan.
“Haiza, buat popiah, dan sup işkembe sekali ya?”
Semasa memasak, ibu mula membaca naskah ‘Aku Terima Nikahnya’.. Usai urusan memasak, malamnya lebih kurang jam 11, kami bawa ibu bersiar-siar malam di bandar Melaka. Eye On Malaysia cantik sekali dilihat dari atas jambatan besar – berpusing dengan cahaya warna-warni. Syukurlah. Hari Ahad telah tamat. Dalam menjalankan hal remeh-temeh kehidupan, hari ‘Ahad’ semalam telah pun habis dimakan waktu.
Syukur, hari Isnin sudah bermula. Moga Allah beri ilham buat saya, apa yang harus dan wajar saya lakukan untuk Ahad yang akan datang 6 hari lagi. Ahad yang penuh dengan rasa tidak selesa dan tanda tanya..
Wassalam.
rencahkehidupan@ ayzagursoy.wordpress.com




alhamdulillah
ayza
MPH tempat akak melepak dgn anak2 lagi satu kat Thai Kuang.
Kak Lizah,
Eish.. boleh sekampung kita nih..