SEKILAS TENTANG PEMILIHAN BENANG
Untuk mengait, biasanya saya suka mencuba apa saja pattern. Namun ada perkara yang lebih penting perlu diambil kira sebelum memulakan sesuatu projek – iaitu pemilihan benang.
Di pasaran kita – Malaysia lazimnya terdapat dua benang yang popular, iaitu Minlon dan Nona. Ada jenis orang panggil benang bulu, hakikatnya ia bukan benang bulu. Ia di perbuat daripada Akrilik. Benang yang diperbuat daripada akrilik adalah sesuai digunakan di negara-negara beriklim panas seperti negara kita. Ia juga lebih murah dan mudah dijaga. Sejauh ini saya dapati, jenis benang akrilik yang dihasilkan Nona ada lebih lembut daripada benang Minlon, namun jika dibanding dengan benang akrilik yang saya perolehi daripada Turki, jauh berbeza. Cara pintalan benang itu sendiri ada pelbagai jenis, yang akan menghasilkan mutu jahitan yang memuaskan. Saya telah mencuba beberapa jenis benang Minlon, yang biasa atau pun yang sedikit lagi baik kualitinya, hasil jahitan boleh dikatakan memuaskan juga tetapi TIDAK LEMBUT seperti yang saya kehendaki.
Ia tidak terlalu keras, tetapi tidak lembut. Boleh saya katakan ia agak ‘gersang’. Oh! Saya ada banyak benang minlon dan nona, yang saya gunakan untuk menguji jenis-jenis pattern mengait.
Tahun-tahun yang sudah, saya beberapa kali membeli jarum-jarum kait daripada Australia kerana brand yang baik dan harganya yang berpatutan. Ada sesetengah kedai benang online menawarkan contoh-contoh benang dan warna-warna yang ada dalam stok mereka. Jadi setiap kali ada peluang itu, saya akan memesan katalog contoh-contoh benang tersebut, dan setakat ini saya perolehinya secara percuma. Suatu waktu saya pernah terjumpa satu laman web menjual benang bulu kambing biri-biri yang diusahakan oleh sebuah keluarga, lalu saya meminta katalog benang bulu biri-birinya. 2 minggu kemudian saya menerima katalog tersebut. Nah! Pertama kali saya rasa benang biri-biri sekasar itu, dan syarikat tersebut menyarankan benang-benangnya digunakan untuk dibuat ‘throw’ dan selimut sahaja.
Benang untuk baju bayi .. oh, sangat lembut dan ya, saya pasti bayi akan berasa amat selesa. Tetapi harganya sedikit mahal, dan adakalanya gulungan setiap benang pendek sahaja – lingkungan 30m/25g – bergantung kepada pengeluar benang tersebut.
Yang paling menawan hati saya adalah jenis benang cotton, atau benang kapas dan benang misir. Pada saya ia selesa, lembut, tidak ‘gersang’, dan hasil jahitan amat memuaskan. Dalam bahasa Turki, misir boleh bererti jagung, atau Mesir. Pada kertasnya tertulis 100% misir – yang saya olahkan maksudnya barangkali diperbuat 100% daripada gentian jagung. Benang jenis ini lembut, tidak kira benangnya halus atau pun tebal. Sesuai sekali digunakan di tempat berhawa panas.
Oh.. Ismail menangis yaw! Nanti saya sambung lagi..
