
NESCAFE
“Cuba Etuy cakap Nescafe,” soal saya.
“Nesfeke!” jawabnya. Penuh yakin.
“Sekali lagi Mama dengar,” pinta saya.
“NES-FE-KE! Hihi..”
HOSPITAL
“Cuba Etuy cakap – Hospital.”
“Hosifal.”
“Cuba sebut Hos-pi-tal,” ajar saya.
“HO-Si-FAL,” sambil matanya mencerut memandang saya mentertawakannya.
Hari-hari seterusnya, Ertugrul sudah memperbaiki perkataannya.
“Etuy, cuba cakap – Hos-pi-tal,” pinta Mehmet.
“Etuy tau.. HOS-Ti-PAL,” jawabnya.
“HOSPITAL!” kata Mehmet lagi.
“Baba, Etuy kata HOS-Ti-PAL! Huh!”
Haha, marah pula tu!
MINYAK CAP KAPAK
“Etuy, cuba cakap minyak Cap Kapak,” usik saya.
“Minyak CE-PAKAK,” jawab Ertugrul.
“Ha? Ce-pakak?” berderai kami ketawa.
“Iyyy, geram tau! Etuy cakap minyak CE-PA-KAK lah!”
ANAK PRINTER?
“Mama nampak tak anak printer masa kita kat SSM tadi?” tanya Ertugrul.
“Anak printer? Kat mana Etuy nampak?”
“Ala.. masa kat SSM tu. Yang kat MiTC tu.. Mama perasan tak?”
“Anak printer??”
Pada hari-hari seterusnya, Ertugrul kembali menyoal soalan yang sama.
“Mama, kat MiTC ada anak printer. Kat dalam TV pun ada, kan Mama?”
“Etuy, Mama tak faham. Anak printer ni apa? Apa dia buat?” saya cuba selidik.
“Kan ada Mama, yang cakap huruf-huruf tu..”
“Cakap huruf-huruf macam mana? S-A-Y-A? Macam ni ya?” teka saya.
“Haa! Itulah anak printer!” jeritnya.
“Anak PINTAR??” tekaan saya makin jelas.
“Haaa! Baru betul! Anak PINTAR yang kat TV tu!”
Aduh Tuhaannn..
GELAP dan TERANG
“Haiza, awak tahu hari ni ada budak tu nak buang air kecil kat KUMON,” beritahu Mehmet.
“La.. kenapa macam tu? Kan Mama cakap lain kali selesaikan semua kat rumah. Habis tu siapa bersihkan Etuy?” soal saya.
“Cikgu yang warna GELAP tu Mama,” jawab Ertugrul selamba. Bibir mencebik.
“Ya Allah! Tak malunya anak Mama nih.. jadi, Cikgu warna Gelap tu nampak semua?” usik saya.
“Mamaaaaa.. ” bibirnya mencebik lagi. Hampir menangis kerana malu.
“Tapi Mama, Cikgu Gelap sayang Etuy. Dia selalu beri sticker dan gula-gula. Cikgu Gelap tanya Etuy sayang dia ke tak?” ceritanya lagi.
“HA? Habis tu? Etuy cakap apa?” tanya saya sambil membesarkan mata.
“Etuy kata sayang..”
OH ALLAH! Anakku!
* * *
“Siapa nama cikgu yang ajar Maths?” tanya saya
“Tak tahu. Tapi dia cikgu warna TERANG,” jelas Ertugrul.
“Cikgu Cina ya?”
“Cikgu warna terang tu tak Cina. Tapi dia cakap Cina dengan orang-orang lain kat sana.”
Ya Allah, syukurlah ada anak kecil yang mindanya seikhlas ini untuk menghiburkan hati..
anakkumanja@ ayzagursoy.wordpress

salam..amboi! hero sorang ni petah yer bercakap..hehe. sori ayza, nurin sll gak baca blog ni walau tak komen apa2. tgok ismail cute betul,geram!nak gigit pipi bleh tak?hehehe..n etuy pun makin pintar berkata2. semoga ayza sekeluarga sihat2 sll..
Salam sahabatku Nurin,
Hey apa khabar? Moga kamu sihat selalu di samping keluarga. Ertugrul memang petah bercakap. Baru-baru ni dia pakai cermin mata saya, katanya “Wah, ada karen (power)..!” Hihi, vocab belum banyak. Macam-macam perkataan keluar.
Nak gigit pipi? Buleh.. Ertugrul dah gigit dah jari-jari Ismail.. haru!