Sebelum Ismail Zubeyr lahir, saya berjanji kepada diri untuk beri komitmen yang lebih baik daripada dahulu. Lebih lagi dengan pengalaman yang telah kami lalui bersama Mukhlis Ertugrul yang sudah hampir 5 tahun lebih, Insyaallah saya boleh melakukan lebih baik.

Ismail Zubeyr sudah masuk 4 bulan. Awalnya kami sangka Ismail sama seperti Ertugrul sewaktu kecil. Ertugrul tidak banyak ragam, selalu beri kerjasama dan tidak sering menangis panjang pada awal-awal kelahirannya. Berbeza dengan Ismail, orangnya cukup aktif, jika menangis dia akan menangis semahu-mahunya. Tidak ada tolak ansur atas apa-apa kelewatan, dalam erti kata lain, semuanya mesti siap sebelum dia menangis. Ismail suka dipujuk dan dipeluk lama-lama. Tidur dalam pelukan Mama adalah satu nikmat terbesar, atau kalau tidak, Ismail akan merajuk dan menangis lebih lama. Zaman Ertugrul, saya adalah orang terakhir yang dapat disebutnya. Ba-ba, Ne-ne di antara yang terawal dapat disebut. Berbeza dengan Ismail, yang sudah mampu menyebut Ma-ma, Me-me.. Oh Allah, panggilan itu membuatkan saya lebih bersemangat. Meragam? Oh tak mengapa, saya sanggup semuanya!

Sejak 3 minggu lalu, saya menyediakan jadual waktu untuk Ertugrul. Saya menaipkan jadual itu di hadapannya. Bermula daripada hari Isnin sehingga Jumaat. Rutinnya setiap hari saya senaraikan, daripada bangun, menggosok gigi, mencuci muka sehingga kepada menyiapkan kerja sekolah, membaca buku dan sebagainya. Alhamdulillah, nampaknya sepanjang 3 minggu ini saya tidak perlu marah-marah, kerana Ertugrul lebih selesa mengikut jadualnya. Dia tahu bila waktu menonton TV, bila waktu rehat, waktu menyiapkan kerja etc. Sejak membuat keputusan untuk menghantar Ertugrul ke KUMON dan tidak menghantarnya lagi ke Tadikom, saya lihat prestasinya jauh lebih baik. 3 bulan belajar di Tadikom, Ertugrul hanya diajar menulis A sehingga C (huruf kecil dan besar), mewarna, dan menulis angka, terlalu asas. Amat membuang masa bagi saya. Berbanding di KUMON, dalam masa 3 bulan Ertugrul telah jauh melangkah. Matematik Ertugrul sudah mencapai tahap Darjah 2, dan pembacaan Bahasa Inggerisnya jauh lebih baik. Guru-guru amat supportive dan positif (tidak jumud seperti di Tadikom BB). Bahasa Melayu, pendidikan Islam, mewarna, melukis, menyanyi, bersosial dan seumpamanya itu, saya dan Mehmet melatihnya dari rumah. Tidak ada yang mustahil jika kita yakin boleh dan bersungguh-sungguh.
Meniliti dan mengamati sikap dan kelakuan kedua-dua anak kecil ini amat menyeronokkan. Abaikan semua kepenatan dan keletihan dan nilai semula apa yang dipelajari dari kedua-dua makhluk kecil yang baru mendiami dunia, ia suatu ilmu yang amat berharga. Menghayati bagaimana Allah membentuk peribadi manusia dari seawal dia lahir ke dunia dan menyesuaikan diri dengan perkembangan mereka, kemudian beransur-ansur menyalurkan ilmu kepada anak-anak ini. Syukurlah kepada Allah.
Saya akan terus belajar untuk membesarkan anak-anak kurniaan Allah. Cantik buruk bukan ukurannya, tetapi pengisian dalam jiwa dan ketinggian akhlaknya. Moga Allah beri kekuatan kepada kami yang serba kekurangan dan serba lemah ini, untuk memimpin mereka menjadi generasi yang tidak tersesat. Amin ya Rabb.

Setiap orang ada kelebihan dan kekurangan,kan
Macam mana pulak nanti adik zubeyr ye,hehehe
Salam Ustaz Zamry,
Benar kata Ustaz, setiap orang ada kelebihan dan kekurangannya.. si kecil ni pun aduh, menangis nombor satu.. tu baru 4 bulan, esok-esok tak tahu lagi.. mohon sama-sama doakan untuk kebaikan mereka ya, Ustaz..
salam..besar sudah ismail yer..cutenya. semoga dia menjadi anak2 yg soleh. Etuy..rindunya dgn abg etuy kita ni..kim salam kat dia. nurin busy sikit kebelakangan ni. tapi sempat gi baca blog ayza cuma tak komen jer..semoga ayza sekeluarga dibawah lindungan dan Rahmat Ilahi..amin
Salam Nurin,
Ya Ismail sudah besar sikit, dan makin berat
Abang Etuy senyum jawab salam. Terima kasih dan amin atas doa kamu. Semoga Allah memberikan yang terbaik untuk kita semua.
Terima kasih sudi ke sini dalam kesibukan. Doa kami moga Allah mempermudahkan segala urusan Nurin, dan moga Nurin sekeluarga senantiasa dibawah rahmat dan kasih sayangNya. Amin.