Malam tadi sewaktu keluar sebentar untuk ke Jusco, kereta kami berhenti untuk lampu merah. Saya menutup radio sebaik saja mendengar laungan azan dari surau Al Awwam yang hampir dengan jalanraya.
Sejak umur saya belasan tahun, surau ini sudah banyak berbakti. Antara yang paling penting adalah melaungkan azan, menandakan waktu solat sudah masuk. Setiap kali azan berkumandang, dalam hati saya selalu berterima kasih kepada muazzin yang setia melaungkan azan, tetapi saya terkilan sesuatu. Setelah berpindah, saya tidak lagi dengar azan daripadanya.
Hari ini, saya mendengarnya kembali. Dan seperti biasa saya berterima kasih di dalam hati, dan rasa terkilan itu tetap ada.
Andai saya mempunyai satu cara untuk menyampaikan kepada muazzin berkenaan, tanpa dia merasa kecil hati, alangkah baiknya…
Sejak dulu saya tidak suka cara dia melaungkan azan, meski saya berterima kasih kepadanya. ‘Lagu’nya amat meleset, amat tidak berseni dan amat tidak memikat. Ada waktu kalimahnya tidak lengkap, azan bercampur iqamat. Sungguh. Tapi kasihan, si muazzin itulah yang sering bertugas apabila sampai waktunya. Seolah-olah ahli jemaah masjid tidak bertelinga sehingga tidak dapat melatihnya dengan baik.
Dan hari ini saya mendengarnya lagi. Muazzinnya saya kira berbeza dari yang dulu, tetapi mutu penyampaian azannya tetap sama. Tidak menarik hingga mengeluarkan rasa tidak tertarik. Mujur saya selalu menginsafkan diri bahawa laungan azan itu adalah kalimah yang amat suci dan tinggi sekali, dan untuk itu saya abaikan selalu apa yang tidak lunak di telinga saya.
SERONOK SOLAT DI MAKKAH?
Saya selalu perhatikan, ramai orang suka bercerita tentang kehebatan bersolat di tanah suci Makkah, juga Madinah. Ia memang benar. Bererti bukan saya seorang yang merasakan sedemikian, tetapi semua orang menikmati keindahan bersolat di sana.
Azan adalah salah satu perkara terbesar dalam diri saya yang mendorong untuk bersolat. Bukan bersolat nanti-nanti, tetapi bersolat pada masanya. Azan yang berkualiti adalah azan yang mampu membangkitkan perasaan yang tidak sabar-sabar untuk solat. Baik di Makkah, atau di Madinah, kualiti azannya jelas sungguh hebat. Caranya menyebut permulaan ALLAHHHH itu pun sudah menggegarkan jiwa saya, menusuk hati. (Cuba dengar cara muazzin yang azan di Masjidil Haram/Masjidin Nabawi. Tak ada? Cari di internet, download dan dengar berkali-kali!). Cara mereka azan menjadikan kita ingin cepat-cepat turut serta berjemaah di masjid.
Ada banyak faktor lain yang membuat kita rasa terdorong untuk bersolat di Masjidil Haram/Masjidin Nabawi, tetapi bagi saya, salah satunya adalah tarikan dari sisi teknik azan itu dilaungkan.
Di Turki, saya menikmati azan yang ‘lazat’ didengar (oh, mereka banyak vibration!
) Saya bukan maksudkan di masjid-masjid besar seperti Masjid Biru sahaja, tetapi masjid-masjid kecil dalam taman pun azan mereka serupa.
Salah seorang peserta sedang memperdengarkan azan dalam pertandingan azan yang diadakan di Masjid Selimiye, Edirne – Turki.
LATIHAN
Saya tidak tahu ke mana harus dibawa hal ini, tetapi saya fikir, muazzin yang azan di masjid atau surau haruslah dilatih. Tidak boleh tangkap muat sahaja tanpa ada mutu yang boleh menghidupkan perasaan syahdu kepada si pendengar azan. Kalimah yang disebut dalam azan bukan kalimah-kalimah biasa, ianya bagi saya harus disampaikan dengan cara paling baik dan paling berseni. Jika tidak menyamai muazzin Makkah sekalipun, tetapi mereka ini mesti diberi latihan yang bersungguh-sungguh. Jika menonton Akademi Fantasia, ramai bijak memberi komen ‘pitching lari’, ’suara flat’ dan sebagainya itu, AZAN juga tidak terkecuali.
Saya tidak katakan semua masjid/surau begitu. Tidak. Tetapi saya membayangkan, alangkah baiknya jika semua muazzin yang memikul tugas melaungkan azan itu dilatih terlebih dahulu. Yang pastinya, di masjid-masjid besar, perkara yang saya sebutkan ini tidak berlaku. Masjid Al Azhim adalah yang terbaik bagi saya, diikuti masjid Al Alami dan lain-lainnya.
Saya maksudkan muazzin untuk masjid kecil dan juga surau. Mereka ini juga bertugas sama seperti Muazzin masjid-masjid besar, benar bukan? Jadi mereka harus diberi latihan yang sama.
PAGI SUBUH
Surau di taman saya baru dibangunkan 2 tahun yang lepas. Sedikit waktu dahulu ada muazzinnya, tetapi kini setahu saya muazzinnya tidak tetap. Ada kalanya ia langsung tidak melaungkan azan, dan solat jemaah hanya didirikan oleh pelajar-pelajar Islam warga asing yang bermukim di sini.
Saya teringat suatu pagi, lebih kurang jam 5.30 pagi, angin bertiup kencang di luar. Bersiul bunyi angin, diiringi dentuman guruh dan hujan yang sungguh lebat. Apabila masuk waktu, saya dengar sayup-sayup bunyi azan berkumandang dari surau baru taman saya itu. Suaranya lunak dan azan dialun sebaik-baiknya dalam ketegangan angin ribut yang masih belum berhenti. Kerana azannya sungguh baik (bagi saya), satu persatu kalimahnya meresap ke jiwa saya..”Allah Maha Besar, Allah Maha Besar..” Mata saya masih tertutup dek kerana angin sejuk luar yang masuk di celah-celah tingkap, kalimahnya menyerap lagi.. “Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allahhhh, tiada Tuhan yang disembah melainkan Allaaaahhh!” .. Mata saya sedikit terbuka, masih mamai. Angin terus-terusan membawa suara muazzin ke telinga saya, “Marilah menunaikan solaaaaaat, marilah menuju kejayaaaaaannn..!”
Alangkah itu!
Mata saya tidak boleh tertutup lagi. Kaki tangan saya minta dibangunkan. Muazzin itu dalam ribut kuat telah melaungkan dengan lunak sekali, memanggil-manggil, mengejutkan jiwa-jiwa yang sedang tidur. Azan pagi itu buat saya banyak berfikir. Terima kasih kepada si muazzin dan saya tidak terkilan subuh itu. (Bukankah baik jika setiap Subuh ianya begitu?)
HARAPAN
Hakikatnya, saya menghargai semua azan yang dilaungkan, lunak mahupun tidak. Tetapi harapan saya, jika seseorang ingin menjadi muazzin – sama ada ditugaskan atau secara sukarela – berusahalah sebaik-baiknya sewaktu menyampaikan azan. Ia amat bermakna kepada saya dan seluruh umat Islam. Baikilah mutu azan yang dilaungkan, kerana ia memberi kesan mendalam kepada si pendengarnya.
Dan..
…kerana laungan muazzin itu bukan main-main, ia suatu seruan yang sungguh besar!
kritik@ayzagursoy.wordpress.com
Teringat Bilal bin Rabah.. Oh Allah, pasti hebat!
* Gambar di atas – diambil dari www.thewhitepath.com

Assalamualaikum..
Setelah membaca “Azan”,
saya memang sangat bersetuju terhadap pendapat saudari ayza untuk melatih muazzin bagi melaungkan azan yang berkualiti yang dapat membangkitkan semangat muslimin dan muslimah untuk terus mengerjakan suruhan Allah tanpa berlengah. Ini kerana di kampung saya, perkara yang sama juga berlaku dan sememangnya hati sedih mendengarkan laungan azan yang begitu lemah dan kadang-kadang tidak betul sebutannya.
Dan benar, azan di Turki memang ‘lazat’, ketika kali pertama saya mendengarnya, hati saya begitu seronok mendengar azan-azan yang saling bersahutan dan penuh semangat. Memang indah
Semoga Allah memberikan kita hidayah dan petunjuknya. Amin.
Alaikum salam sahabat,
Memang sedih mendengar laungan azan yang lemah. Jika kita yang Muslim mendengar tidak lunak, bayangkanlah bagaimana seruan itu dapat menyentuh hati-hati mereka yang tidak langsung ambil peduli, juga mereka yang bukan Islam. Jika pihak berwajib mensyaratkan semua surau dan masjid yang dibina mesti mempunyai muazzin, dan muazzin itu wajib mendapat latihan yang khas, alangkah baiknya..
Iya, semoga Allah memberikan kita hidayah dan petunjuknya. Amin.