Alhamdulillah, kakak kedua saya berserta suami dan anak lelakinya telah selamat berlepas dari KLiA jam 7.30 pagi tadi. Pada kiraan saya, mereka akan sampai lebih kurang jam 3.30 petang ini, Insha’Allah. Mereka adalah dari kumpulan jemaah haji Malaysia kapal pertama yang terbang ke Tanah Suci hari ini.
Alhamdulillah, jam 6 petang tadi saya menerima sms daripada Kak Ngah, memberitahu mereka telah selamat sampai di Madinah.
Oh Allah!
Terbit air mata. Sungguh saya rindui tanah suci tempat bersemadinya Nabi Muhammad s.a.w. itu. Semalam, sepanjang perjalanan dari Melaka ke Kelana Jaya, saya bercerita dengan suami tentang pengalaman-pengalaman mengerjakan haji semasa saya masih kecil dan setelah menginjak umur belasan tahun. Haji adalah ibadah yang berat dan amat hebat. Mengimbas kenangan dahulu, ayah saya bersai’e sambil membawa saya di bahunya.. waktu saya menjadi terlalu penat dan enggan bertawaf, dipikul Hanozzy ketika saya jatuh dirempuh orang ramai yang berlari keluar dari Masjidin Nabawi semasa berlakunya rusuhan kecil oleh jemaah haji Iran, menangis kerana demam panas di Arafah.. Allah, semuanya amat jelas di hadapan mata.
Dahulu semuanya ringkas – tanpa anak, suami. Tanpa tanggungjawab yang berat. Saya bebas bergerak, melakukan apa yang difikir wajar, dan semuanya serba pantas. Jika ke Tanah Suci, kami selalu berenam. Saya, ibu dan abang. Kak Ngah, Bangah dan anaknya Mazby. Namun semalam keadaan sudah berbeza. Abang saya Zahayu sudah berkeluarga, saya juga. Sudah ada komitmen sendiri yang perlu digalas dengan baik. Perjalanan sejauh ini dan ibadah yang seberat ini juga tidak seringkas seperti yang saya lihat sewaktu usia remaja.
Haji bagi saya suatu ibadah yang menuntut pengorbanan 360 darjah. Hati dan iktikad perlu benar-benar fokus dengan pengertian ibadah itu sendiri. Ia bukan ibadah yang dilakukan untuk mendapatkan taraf Hajjah atau Haji, bukan untuk dipamer-pamer, bukan untuk sesiapa. Ia dilakukan oleh diri sendiri dan kerana Allah. Dan kesan daripada ibadah 45 hari itu (atau lebih pendek) wajibnya tidak boleh habis di situ sahaja, malah perlu diperbaiki terus-menerus sehingga habis hayat. Oh, saya bukan pengulas yang baik tentang ibadah haji – tetapi percayalah ia ibadah yang paling sukar dan paling ‘best’!
TURKI atau MALAYSIA?
Sebelum ke Tanah Suci, Kak Ngah ada menasihati saya untuk mendaftarkan diri di Tabung Haji awal-awal supaya kelak saya tidak perlu menunggu lama jika ingin pergi menunaikannya lagi. Saya sudah lama terfikir yang sama, namun saya tidak tahu sama ada suami saya boleh didaftarkan sama atau tidak. Seperti imigresen, saya gusar jika banyak prosedur yang perlu dipatuhi.
“Bagaimana jika suatu hari nanti saya menyertai jemaah haji Turki?” tanya saya.
“Mestilah boleh, tak ada masalah,” jawab Mehmet ringkas.
“Wah, mesti saya pun berpakaian seperti jemaah haji Turki, kan? Macam buyukanne-buyukanne yang pipinya kemerah-merahan tu ya?” saya mula berangan.
“Ya, Haizam…” Mehmet terus melayan angan-angan saya.
“Tapi saya tetap nak jadi jemaah Malaysia juga, walaupun saya dari Turki. Saya nak ikut jemaah kita, Mehmet.. macam mana?”
“Eh, di Turki, ikut di Turkilah. Apa bezanya?” tanya Mehmet.
“Saya orang Malaysia. Semangat ke’Malaysia’an saya tinggi tau! Mesti ikut jemaah Malaysia – Tabung Haji semua tu.. Eh macam mana ni Mehmet? “
Kami ketawa berderai. Allah, semoga angan-angan saya itu kelak menjadi kenyataan. Yang pastinya, dari Malaysia atau dari Turki, atau dari mana sahaja, ibadah haji tetap sama.
“Jika awak ikut Malaysia bagaimana dengan mazhab awak?”
“Itu kena study hukumnya betul-betul..”
Hmm. Dan kami terus berangan sepanjang jalan.
2 HARI SAHAJA?

“Mazby, janganlah pergi..” Ertugrul sudah mula menangis.
45 hari sungguh lama baginya. Setelah lama menunggu, akhirnya para jemaah dipanggil masuk ke dalam. Kami berpelukan untuk perpisahan ini.
“2 hari saja okay, Mazby?” kata Ertugrul.
“4 – 5 hari.. nanti Mazby balik.”
“4 hari?” tanyanya lagi.
“4 – 5 hari,” jawab Mazby.
“5 hari?” soalnya lagi.
“Kan Mazby kata, 4 – 5 hari..”
“4 – 5 hari tu dah 9 hari, sudah dekat 10 hari?!” suaranya mula meninggi.
“Yelah.. 4 – 5 hari..” Mazby terus menyakat.
“Pak Ngah, 2 hari saja Mazby pergi, okay? Dan semua-semua pun 2 hari saja, lepas tu balik okay?”
Aduh. Dalam kenakalannya, gugur juga air mata Ertugrul untuk Mazby. Dan setelah mereka masuk, Ertugrul tercari-cari lagi untuk mengucapkan selamat jalan, namun tidak lagi kelihatan kelibat mereka.
“Kenapa sedih sangat Mazby nak pergi ni?” tanya saya.
“Mestilah sedih, lama tau Mama – 45 hari! Habis siapa nak main Get Four dengan Ertugrul nanti??” katanya mencebik.
Ay Ertugrul!
HAJI MABRUR
Saya doakan, untuk kakak saya sekeluarga yang sedang dalam tempoh menunaikan fardhu haji, juga kepada seluruh umat Islam yang sedang menjalani ibadah ini, semoga memperolehi haji yang mabrur. Tiada apa yang lebih penting dalam hidup ini, melainkan mendapat keredhaan Allah dan sampai ke jalanNya dengan cemerlang.
haj@ ayzagursoy.wordpress.com

Alhamdulillah..Mudah-mudahan Allah akan bersama mereka sepanjang masa. Amin.
Amin ya Rabb.. terima kasih adikku, Er..
Alhamdulillah…
Ckp ngan Etui, Pak Ngah dia Mak Cik Serindit dia boleh main game tu ngan dia.. ha ha ha kuat dengki betul kita ngan Etui..
Mana ek gambar kita beraya ek?
Kalau Etuy tahu ni tentu suka, aunty Zana nak main game Get Four dengannya. Aduh Zana, Mak saya pun diajaknya main, lepas tu tanya – “Nenek nak menang ke tak nak?” Sebabnya kalau Mak kata nak menang, nanti dia beri laluan kat Mak untuk dapat mata penuh. Nakal!
Ehem, gambar sudah pun dihantar ke e-mel kamu ‘Arisa something something’? .. Check ya!