Puisi: Medine’nin Gülü (Mawar Madinah)

Rindu puisi ini, rindu Hocaefendi Fethullah M Gulen…

AyzaGürsoy

mawarmadinah.jpg

Andım yine Sen’i her şey yâdımdan silindi,
Hayâlin gönlümün tepelerinde gezindi;
Bu bir serâp olsa da hafakanlarım dindi..
Andım yine Sen’i her şey yâdımdan silindi.

Keşke her an aşkınla oturup aşkınla kalksam,
Rûhlar gibi yükselip de ufkunda dolaşsam;
Bir yolunu bulup gönlünden içeri aksam..
Keşke her an aşkınla oturup aşkınla kalksam.

Bir bilsem, vuslata ne zaman ferman gelecek?
Yoksa bu yanan gönlüm durmadan inleyecek;
İnleyip en taze hislerle hep bekleyecek..
Bir bilsem, vuslata ne zaman ferman gelecek?

Kalbim bir güvercin gibi titrerken adından,
Ne olur Sana ulaşmam için kanadından;
Bana bir tüy ver, pervaz edeyim hep ardından..
Kalbim bir güvercin gibi titrerken adından.

Ey kupkuru çölleri Cennet’e çeviren Gül;
Gel o bayıltan renklerinle gönlüme dökül!
Vaktidir, ağlayan gözlerimin içine gül!
Ey kupkuru çölleri Cennet’e çeviren Gül!

Mecnûn gibi arkanda koşan kulun olayım,
Bir kor saç içime ocaklar gibi yanayım;
Sen’siz geçen bu acı rüyâdan kurtulayım..
Mecnûn gibi arkanda koşan kulun…

View original post 54 more words

Tulis Pendek-pendek

Bismillahirrahmanirrahim.

Teringat saya waktu Ketua Editor MustRead memeriksa contoh tajuk-tajuk yang saya bawa ke pejabat MustRead pada pertengahan Disember 2013, kira-kira tiga hari sebelum saya terbang pulang ke Turki. Beliau menasihati saya agar penulisan saya lebih fokus dan ‘sharp’. Tersenyum besar saya. Seolah-olah saya rasa ‘ditangkap’ tiba-tiba, kerana memang kebanyakan yang saya tulis itu ‘longgar’ dan menerawang meliputi semua, sedangkan hanya saya sahaja yang tahu apa yang perlu saya fokuskan.

Dan Ketua Editor itu jugalah yang meluluskan penulisan saya, memberi ruang dan peluang untuk saya mengasah bakat. Allahu Allah, jasanya akan saya kenang sampai akhir hayat. Itulah pengalaman pertama saya, dengan naskah manuskrip pertama, dan ianya diterima! MashaAllah SubhanAllah. Percubaan yang berbaloi!

HURAIAN YANG DIRINGKASKAN

Saya sejak itu konflik pula dalam diri. Saya sejak sekolah memang suka menulis panjang-panjang, jika melebihi 180 patah perkataan itu kacang saja untuk saya. Meringkaskan karangan menjadi tidak lebih 90 patah perkataan itu pun mudah untuk saya. Tapi meringkaskan huraian kehidupan menjadi tidak lebih 2 helai muka A4 dengan font bersaiz 12 dan double spacing itu, agak terlalu sukar untuk saya.

“Jadi, Tuan.. Puan, maksudnya proposal  saya ini diterima?” tanya saya.

“Ya, Puan..” senyum Puan Najah kepada saya.

“Betul ni?”

“Rezeki Puan.. Tahniah!” kata Ketua Editor kepada

Allahhh… Tuhan saja yang tahu bagaimana gembiranya saya saat itu. Ia hari yang bertuah. Sebaik keluar dari kawasan MustRead, saya dihubungi oleh seorang lelaki ‘orang putih’ daripada Australia, bertanyakan tentang adakah saya hendak menerbitkan buku. MashaAllah, terkejut saya. Tetapi saya menolak dengan memberitahu saya baru sahaja memeterai perjanjian dengan sebuah badan penerbitan. Hari itu sepatutnya kami ingin membawa Ertugrul dan Ismail merai hari jadi Ertugrul yang ke 10 tahun, tetapi cuaca mendung, dan kami terus pulang. Sekitar Nilai, saya tiba-tiba rasa hendak pengsan (ini nanti saya ceritakan kemudian).

Rezeki Allah. Sepanjang 10 jam dalam penerbangan pulang ke Turki, saya merangka-rangka apa yang hendak ditulis. Apabila sampai ketika lampu semua dipadamkan di dalam pesawat, saya membuka lampu bacaan yang terus menyuluh ke nota catatan saya. Tidak boleh pejam mata saya dibuatnya. Jika hendak saya catat dari saat meninggalkan ahli keluarga dan Malaysia di KLIA tadi, hinggalah pesawat terbang dan hilang dalam kegelapan malam, dengan hidangan ala-Turka, gelagat penumpang-penumpang Turkish dan sebagainya itu, boleh berkajang-kajang saya menulis.

“Ringkaskan.. make it sharp!” terngiang-ngiang di telinga saya.

“Jika boleh, sebelum hujung Januari 2014 ya Puan..” kata Puan Najah.

Saya tersenyum sendirian. Senyum perasan barangkali. Perasan hendak jadi penulis. Oh!

Dan lampu bacaan pun dipadam. Saya terlelap dalam senyuman malam itu, di dalam pesawat Turkish Airlines membelah langit pulang ke Turki.

MENULIS DALAM KELAS SEJUK

Kami sampai ke Turki dalam suhu yang amat sejuk. Sejuk itu satu kekejaman, dan pada masa yang sama satu rahmat yang sangat besar pada saya. Sepanjang perjalanan pulang ke Denizli, di dalam bas ekspress Pamukkale saya mencatit-catit. Mengarang dalam fikiran, bagaimanalah saya hendak menyampaikan penulisan saya. Saya penulis picisan. Dalam setiap penulisan saya, ada perkara yang penting hendak saya sampaikan. Dan perkara itu selalunya berkaitan hati dan perasaan.

Sampai di Denizli, kami sangat penat. Keterlaluan penat. Sewaktu solat Subuh pagi itu, kaki saya kekejangan setiap kali bangun dari sujud. Dan sebelah paginya saya dapati pintu dapur bahagian tengah rumah kami diumpil tetapi gagal dibukanya kerana berkunci. Dalam tempoh 24 jam sejak pulang, sempat berjumpa mertua, sempat membersihkan seluruh rumah, membersihkan anak-anak, menyiapkan makanan, membasuh pakaian dan sebagainya, sehinggalah memanggil pihak polis ke rumah.

Persekolahan Ertugrul juga perlu diselesaikan. 11 bulan di Malaysia pada tahun 2013, Ertugrul berpindah sekolah dari Turki ke Malaysia dan sempat bersekolah selama 6 bulan. Dan selama 6 bulan itu Ertugrul menjalani 2 kali peperiksaan tahunan. Kasihan anakku. Dalam keadaan yang tidak bersedia, dan terjun tiba-tiba di lapangan pembelajaran di Malaysia yang jauh beza dengan pembelajaran di Turki, Ertugrul berjaya mendapat tempat pertama dalam kelasnya di Sekolah Kebangsaan Batu Berendam II. Dan dia berjaya lompat 2 kelas! Tetapi Allah lebih mengetahui, permintaan saya kepada suami untuk terus menetap di Melaka tidak terlaksana. Bungkam. Lantas sebelum pulang ke Turki, pertukaran sekolah Ertugrul dari Turki ke Malaysia, dan kemudian ke Turki semula itu, sudah dikhabarkan kepada pihak Turkish Embassy.

Saya dan suami jadi berang apabila mendapat tahu Turkish Embassy tidak mengemaskini apa-apa rekod untuk Ertugrul. Benar-benar ia menggugat kesabaran. Proses menyambung persekolahan Ertugrul di Turki tergendala seketika. Saya menulis dan menelefon beberapa kali kepada pihak Turkish Embassy di Malaysia tetapi ia ternyata sia-sia. Allah menyaksikan segala.

Kan lebih baik jika kami menyambung hidup di Malaysia, dalam keadaan semuanya sudah lancar. Ertugrul juga sudah boleh menyerap pelajaran dalam tempoh itu. Ismail juga sudah boleh masuk tadika pada awal 2014. Bisnes juga sudah berjalan baik. Lantas apa yang membawa saya pulang kembali ke Turki?

Ah, saya perlu letak emosi dan fikiran-fikiran seumpama itu ke belakang.

Saya perlu menulis!

PENDEK – PENDEK – PENDEK

Saya masih ingat, dalam tempoh singkat itu kami suami isteri nekad positif menyelesaikan semua permasalahan. Dan satu persatu Allah lorong dan permudahkan. Suami dan anak-anak memberi sokongan padu kepada saya untuk terus menulis, kami ‘berkampung’ di ruang tamu. Masing-masing tidak mahu meninggalkan saya menulis berseorangan. Dan akhirnya malam itu saya selesai menulis, dan manuskrip lengkap akhirnya dihantar kepada editorial MustRead. Serius, saya kaget kerana barangkali tulisan saya tidak ‘lengkap’ kerana semuanya – pendek-pendek!😀 Usai menghantar, saya terus menelefon Mak di Melaka. Mohon doa dan restu daripada orang-orang yang menyayangi saya.

Dua hari kemudian saya mendapat maklumbalas daripada MustRead, menyatakan mereka menerima penulisan saya. Allah! Alhamdulillah!

Beberapa hari selepas itu saya dihubungi oleh bahagian editorial lagi, meminta saya menyediakan guide ringkas untuk ke beberapa kawasan popular di Istanbul. Saya dan suami tidak lengah lagi, terus mengambil tiket ke Istanbul untuk menulis catatan yang tepat (dan terkini, untuk waktu itu). Saya juga diminta untuk menyertakan beberapa keping gambar, kata-kata mutiara dan beberapa lagi.

Ah.. ah..

(Oh panjangnya.. Sudah 849 words! Saya sudah hilang fokus menuliskah? :D)

Saya patut berhenti menulis sekarang.  Ternyata saya belum betah menulis pendek-pendek. Kerana pengalaman, penghayatan dan serapan itu jauh lebih panjang daripada yang mampu saya catatkan.

InshaAllah, ada kesempatan saya menulis lagi.

Sudah jam 10.24 malam.
Waktu untuk makan ubat. Saya sedang demam sejak 2 hari ini.

-Ayza G.
20085 Denizli, Turkey

 

23 April 2016

Bismillahirrahmanirrahim.

Sudah lama saya tidak menulis di blog ini. Rindu rasa hati. Bertahun-tahun saya menutup blog ini, dan hari ini terasa ingin menulis sesuatu. Baru saya tersedar bahawa saya menulis panjang-panjang sebelum ini. Oh Tuhan. Catatan-catatan lama yang banyak mengimbau nostalgia kehidupan yang penuh warna.

APRIL 2016

Sejak beberapa hari ini fikiran saya penuh dengan 1001 fikiran, sehingga saya tidak tahu apa yang perlu saya ungkapkan. Dalam perbualan harian bersama suami dan anak-anak juga saya hanya memperkatakan perkara-perkara yang sangat asas.

Allah.

Allah.

15 April 2010 adalah tarikh saya tiba ke Turki. Suatu penghijrahan yang sangat besar pernah saya lakukan dalam hidup. Ini sudah tahun ke-6 saya di bumi bertuah ini. Turki adalah negara saya selain Malaysia. Turki sangat merai dan menghargai kehadiran saya di buminya. Allahu Allah. Saya menangisi semua ini. Saya barangkali kehilangan sesuatu yang sangat-sangat saya sayangi, meninggalkan tanah air dan ahli keluarga, dan banyak lagi. Tetapi saya sedar bahawa tawakkal dan pasrah menyerah kepada Allah itu tidak pernah sia-sia. Dan saya sering membangkitkan wijdan diri, bahawa saya tidak pernah memiliki apa-apa dalam hidup ini – jika tidak Dia yang meminjamkan untuk saya.

Allah.

Allah.

Tuhanku Allahim.

6 TAHUN YANG PANJANG

Saya tidak tahu, sama ada ia benar-benar tempoh yang panjang atau tidak. Kerana keberanian semalam untuk membuat keputusan meninggalkan tanah air itu masih berbekas di jiwa. Dan keberanian yang sama masih utuh, malah lebih subur untuk bersedia untuk langkah-langkah yang lebih besar daripada ini.

Allahu Rabbi.

6 tahun masa berlalu, langit masih sama. Matahari masih sama. Bintang-bintang yang tersusun 3 berderet itu juga masih sama, menemani saya di sepanjang jalan yang asing ini. Angin masih menyapa mesra seperti selalu, membawa khabar dan salam dari kejauhan.

Dan syukur, tanah dan debu berterbangan di bumi Turki ini juga sudah mesra dengan saya. Pohon-pohon mawar yang harum dan tulip-tulip yang sempat singgah sebulan dua dalam setahun itu juga sudah tidak canggung dengan saya.

Dalam tempoh 6 tahun ini juga saya sudah 3 kali berpindah. Suasana yang berbeza-beza tetapi syukurlah, ia menjadikan saya lebih matang dalam menimba pengalaman.

* * *

Sudah jam 7.04 malam.
Saya akan menulis lagi, InshaAllah.

Salam dari kejauhan,
-Ayza G.
20085 Denizli, Turkey

Ahad :)

Bismillahirrahmanirrahim.

2 hari ini cuaca turun kembali menjadi sejuk. Langit mendung dan awan turun rendah. Semalam kami dibawa berjalan sekitar, tidak tahu ke mana ingin dituju. Hujan turun lebat. Saya migraine tidak terhingga. Sudah makan ubat, masih saja sakitnya tidak mahu reda.

jalan_ayza

Jalanraya lengang semalam. Cuti sekolah untuk musim sejuk ini sudah bermula.

ayza_jalan2Suami saya memandu lagi. Kami lihat di hadapan awan sudah turun sangat rendah. Awalnya saya fikir ia asap dari cerobong rumah-rumah di situ, tetapi ternyata ianya kepulan awan. MashaAllah SubhanAllah!

ayza_jalan3Kami ke Servergazi. Ay Allah, lama saya tidak lihat tempat ini. Ia buat saya tersenyum mengimbas kenangan lalu.

Ay Allah. Betapa masa berlalu begitu pantas. Hidup sangat singkat untuk kita sia-siakan, bukan?

TETAMU KECIL

Ismail, anak kecil kesayangan saya ini sangat suka meneman saya di dapur. Ismail sangat suka bertanya, “Mama sudah siap masak? Mama boleh masakkan Ismail? Oh sedapnya bau Mama ni masakkkk!”

Ismailmama1

Petang tadi sewaktu di dapur, Ismail menyelak tirai memerhati luar. Ada seorang budak kecil sedang bermain. Saya sekejap ke bilik, sekejap ke hadapan, dan tanpa sedar Ismail sudah memanggil budak kecil tadi ke rumah!

“Gel abi, gel! (Mari abang, mari!)” jemput Ismail.

Budak itu tidak mahu masuk. Dia berlari kembali ke luar bermain tanah di tepi rumah. Saya pertama kali melihatnya. Ismail memanggil lagi. Kasihan anakku, beria-ia memanggil teman baru.

Saya meminta suami saya memanggil budak tadi untuk masuk ke rumah.

“Katakan padanya yang saya akan buatkan segelas air coklat panas untuknya!”

Alhamdulillah tetamu kecil kami akhirnya sudi masuk ke rumah, air coklat panas nampaknya menarik perhatian tetamu kecil kami.

komsuveailem

“Siapa nama awak?” tanya saya.

“Semih..” jawabnya.

“Umur awak berapa?” tanya saya lagi.

“Beş! (Lima)” katanya lagi.

Ay Allah, kecil lagi rupanya. Bagaimana ibu ayahnya boleh melepaskan dia bermain sendirian di luar ya?:)

komsuveailem2

Ismail sangat gembira, begitu juga dengan Ertugrul. Semih rupanya anak jiran kami di tingkat 2. Kata Semih ibunya akan keluar sebentar lagi. Alhamdulillah sempat bermain mainan bersama dan ya, segelas air coklat panas!😀

Terima kasih Ismail anak Mama kerana mencari satu tamu baru untuk rumah kecil kita! Alhamdulillah!

Saya belum berkesempatan berkenalan dengan semua jiran di sini. Rumah ini baru saja disiapkan pada awal Dec 2012, jadi penghuni-penghuninya masih baru. Musim sejuk begini jarang mereka keluar rumah. InshaAllah setelah matahari kembali kelak, dan bunga-bunga menyeri, InshaAllah kami akan berkenalan lebih rapat lagi.

Oh rendang daging saya sudah hampir masak. Sudah jam 7.21 malam, waktu untuk makan malam.

Salam dari kejauhan,
-AyzaGursoy
Denizli, Turkey

:)

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah. Ibu dan abang sudah pun selamat mendarat di KLIA hampir jam 7 pagi. Kami di rumah menanti sehingga lewat malam. Suami saya meneliti kemaskini penerbangan yang sudah mendarat.

“Alhamdulillah Haizam, penerbangan Mak dah mendarat!”

Waktu yang sama SMS dari abang saya sampai dan Mehmet menelefon abang saya. Mereka masih di dalam pesawat.

“Assalamualaykum Bang! Sudah tiba ya? Alhamdulillah Bang, selamat datang ke Malaysia!” kata suami saya.

Abang saya ketawa. Alhamdulillah semua sudah selamat sampai. Saya bercakap dengan ibu, suaranya kepenatan tetapi tergelak kecil mendengar saya mengucapkan selamat datang. Kaki ibu sedikit bengkak kerana perjalanan yang sangat jauh. Kasihan ibuku!

ALHAMDULILLAH

Beberapa mesej sudah saya terima dari ahli keluarga. Anak cucu datang memenuhi rumah Mak di Melaka, menyambut kepulangan Mak. Ay Allah, gembira sekali saya mendengarkannya, meski jauh di sudut hati saya sangat merindui Mak, dan abang saya. Pagi ini kami rasa sunyi tanpa mereka. Anak-anak saya juga mendung. Ertugrul rindukan Nenek dan rindu bersolat jemaah bersama Pochik.

Petang tadi saya menelefon Mak. Ay Allah, rindunya suara Mak!

* * *

Hidup mesti diteruskan, bukan?:)

Esok hari terakhir persekolahan untuk semester ini dan sekolah akan bercuti selama 2 minggu.

Terasa ingin bertemu gunung di Baskarci, sahabat lama saya. 2 minggu sebelum ini saya ke sana bertemunya, dalam kesejukan -4 darjah diselangi salji halus yang turun merai pertemuan kami. Sudah hampir 7 tahun saya tidak bertemunya bersemuka, hanya melihat dari jauh. Gunung itu bersuara dan waktu saya ke sana petang itu bersama suami saya, ia menelah hati saya dengan nasihat tersirat. Bulu roma masih meremang memikirkan hari itu.

Allah Maha Besar. Allahu Akbar!

Salam dari kejauhan,
-Ayza Gursoy
Denizli, Turkey

 

Sehingga Jumpa Lagi Ibuku Sayang!

Bismillahirrahmanirrahim.

Hari ini Rabu, 23 Januari 2013. Di sini sudah mula Mevlid Kandil, meraikan maulud Nabi Junjungan s.a.w.

Sekarang sudah jam 3.28 petang. Lebih kurang setengah jam sebelum ini ibu dan abang saya sudah pun berlepas dari lapangan terbang antarabangsa Ataturk, Istanbul.

PERPiSAHAN

Perpisahan sesuatu yang amat sulit, perit dan penuh derita. Sewaktu bas bergerak malam semalam dari Denizli, kami dari selekoh dapat melihat kelibat ibu dan abang, melambai untuk kali terakhir ini. Ertugrul berlari mengejar dari sisi bas.. Kami segera menaiki kereta dan mengekori bas untuk melihat mereka. Dan sampai satu haluan, kami terpisah. Ya, sekali lagi perpisahan itu singgah dalam hidup saya.

Setelah beberapa hari cuaca baik, semalam cuaca mendung. Hujan gerimis sejak pagi dan suhu turun menjadi sejuk. Malam tadi di stesen bas Denizli, saya memegang tangan ibu. Hangat tangan ibu. Jari-jari saya membeku sejuk, dan ibu menggenggam tangan saya. Ay Allah. Hati saya menangis semahunya.

Ay Allah. Lunakkanlah hatiku ya Allah.

Ay Allah. Aku serahkan segalanya padaMu ya Rabb.

Oh mataku, berhentilah menangis. Oh hatiku, janganlah kau bersedih berterusan.

Ay Allahim, hatiku aku serahkan padaMu. Lunakkanlah hatiku, dan hati ibuku.

MASA iTU EMAS

Hargailah masa yang ada. Buatlah sehabis baik yang dapat kita lakukan, untuk Allah, untuk ibubapa, untuk suami dan anak-anak, untuk keluarga, sahabat dan masyarakat. Hargailah masa sementara ada, dan usahakanlah untuk lakukan yang paling baik dalam apa jua keadaan. Masa berlalu sangat pantas. Kita mesti bergerak lebih pantas daripada masa!

IBUKU, SYURGAKU

Semoga Allah temukan kita lagi, ibuku syurgaku. Semoga selamat sampai ke tanah air esok pagi, InshaAllahu Ta’ala.
Ben seni cok seviyorum annecigim, dunya ve ahiret. Allah’a emanet olun, canim benim.

Salam dari kejauhan,
-Ayza Gursoy
Denizli, Turkey

ibukusayang@ ayzagursoy.wordpress.com

Resepi Masakan Turki: Dolma Versi AyzaGursoy :)

Bismillahirrahmanirrahim.

Hari ini saya ingin kongsikan satu resepi masakan Turki dengan pembaca semua. Dolma adalah makanan tradisi yang sangat popular di Turki. Saya mula memasak Dolma sejak tahun 2002, dan pelbagai versi sudah saya cuba.

AyzaDolmaDolma yang sudah siap dimasak

Dolma selalunya berasaskan bulgur atau gandum hancur, dan boleh juga menggunakan beras jika tiada bulgur. Lazimnya inti dolma diisi di dalam terung, kobis, tomato, bawang – atau boleh dibalut dengan daun anggur (dipanggil yaprak sarması). Selama saya di Turki, saya lebih gemar menggunakan daun anggur dan lada benggala (capsicum). Berikut adalah resepinya untuk anda cuba:

Bahan-bahan: (Hidangan untuk 4-6 orang)

1/2kg bulgur (gandum hancur) atau beras, cuci bersih dan toskan
1 kg lada benggala/capsicum sederhana saiz
1/2 kg daging cincang
2 biji bawang besar, dipotong dadu
3 sudu besar tomato puree (jika di Malaysia, cuba guna dari jenama Life)
2 biji tomato segar, di potong ulas-ulas (untuk jadi penutup)
1/2 cawan minyak zaitun
4-5 tangkai  daun Maydanoz (Italian Parsley), diracik halus
1 sudu besar serbuk daun pudina (atau 4-5 tangkai daun Pudina segar, diracik halus)
1 sudu kecil lada hitam
1 biji lemon, diperah airnya
2-3 cawan air, ikut kesesuaian
Garam secukup rasa

Cara-caranya:

1. Panaskan minyak zaitun di dalam periuk yang sederhana besar. Masukkan bawang besar yang telah dipotong dadu. Kacau sehingga naik bau dan kekuningan.

2. Masukkan tomato puree dan kacau sehingga sedikit garing. Pastikan api kecil dan terus kacau supaya masak rata.

3. Setelah tomato puree sedikit garing, masukkan daging kisar. Pastikan ia dikacau rata supaya tidak berbuku-buku.

4. Setelah daging kisar separuh masak, masukkan bulgur/beras ke dalam periuk. Kacau rata selama 2-3 minit.

5. Kemudian masukkan garam dan lada hitam. Kacau sehingga rata dan kemudian masukkan air sedikit demi sedikit. Pastikan api kecil, dan kacau selalu. Masukkan air lemon dan kacau lagi.

6. Apabila bulgur/beras sudah separuh kembang, masukkan daun Italian Parsley dan daun pudina. Kacau rata dan masukkan air sedikit demi sedikit sehingga bulgur/beras hampir masak keseluruhannya.

7. Tambah garam jika tawar dan rasa bulgur/beras tadi. Jangan biarkan terlebih masak. Jadikan ia 90% masak, okay? Kemudian tutup api  dan tutup tudung periuk.

8. Langkah seterusnya, sediakan lada benggala. Basuh bersih-bersih dan menggunakan pisau kecil yang tajam, tebuk lada benggala mengikut tampuk tangkai. Tebuk kemas-kemas menjadi bulatan.

9. Masukkan bulgur/beras yang telah masak tadi ke dalam lada benggala yang sudah ditebuk tadi sehingga hampir penuh. Kemudian di atasnya letakkan seulas tomato. Susun lada benggala yang sudah berisi inti dolma tadi di dalam satu periuk bersih yang berisi 2 cawan air dan  2 sudu minyak zaitun. Ulangi langkah 9 sehingga periuk penuh/inti habis.

10. Setelah selesai, naikkan periuk di atas api kecil dan biarkan air merenih selama 15 – 20 minit, sehingga isi lada benggala lembut. Pastikan tudung periuk ditutup rapat. Tutup api dan biarkan selama 10 – 15 minit. Sedia untuk dihidangkan. 

AyzasarmasiDan ini pula yang dibalut menggunakan daun anggur (menggunakan inti yang sama)

Ini adalah salah satu cara memasak dolma. Ada banyak lagi cara untuk memasak dolma/yaprak sarmasi. Dan bagi saya, ini adalah versi yang saya gemari dan enak rasanya untuk selera orang asia seperti saya.:)

Sudah jam 4.24 pagi. InshaAllah ada kesempatan saya kongsi resepi lagi.
Selamat mencuba!

Afiyet Olsun!😉

Salam dari kejauhan,
-Ayza Gursoy
Denizli, Turkey

resepiTurki@ ayzagursoy.wordpress.com